Cyberjaya / Kajang / Shah Alam / Klang, Selangor – 29 JULAI 2023: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding untuk 4 kerusi di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, dengan meletakkan calon di kawasan DUN Dengkil, Kajang, Kota Damansara dan Meru.

PSM menawarkan calon yang berkaliber dan berjiwa rakyat untuk membawa budaya politik baharu yang menegakkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat. S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, bertanding untuk kerusi DUN 25 Kajang; Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, bertanding untuk kerusi DUN N39 Kota Damansara; Sivaranjani Manickam, Ahli Jawatankuasa Pusat merangkap Ketua Biro Pekerja PSM, bertanding untuk kerusi DUN N42 Meru; Dr. Darren Ong Chung Lee, Pengerusi PSM Cawangan Dengkil, bertanding untuk kerusi DUN N55 Dengkil.

Hari ini, 29 Julai 2023, ialah hari penamaan calon untuk PRN 2023 yang diadakan di 6 buah negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Sebanyak 245 kerusi dipertandingkan, dengan 36 kerusi di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 di Terengganu, 40 di Pulau Pinang, 56 di Selangor dan 36 di Negeri Sembilan. Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu juga diadakan serentak dengan PRN 2023. Pengundian awal akan diadakan pada 8 Ogos 2023, manakala hari mengundi jatuh pada 12 Ogos 2023. Sebanyak 9,773,571 orang pengundi layak untuk mengundi dalam PRN 2023.

Sebanyak 570 orang calon bertanding untuk 245 kerusi DUN dalam PRN 2023. Perikatan Nasional (PN) meletakkan 168 orang calon untuk semua kerusi di Pantai Barat, sementara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan parti komponen utama PN bertanding untuk 77 kerusi di Kelantan dan Terengganu dengan menggunakan lambang sendiri. Pakatan Harapan (PH) meletakkan 137 orang calon, sementara Barisan Nasional (BN) yang bergabung dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan pula meletakkan 108 orang calon. Parti Rakyat Malaysia (PRM) meletakkan calon di 13 kawasan DUN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Parti Barisan Penang (PFP) bertanding untuk 2 kerusi di Pulau Pinang, Parti Utama Rakyat (PUR) bertanding untuk 1 kerusi di Selangor. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang menjalin kerjasama pilihan raya dengan PSM bertanding untuk 19 kerusi di Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Selain itu, terdapat 41 orang calon bebas bertanding dalam PRN 2023.

Pertandingan satu lawan satu berlaku pada 180 kerusi DUN yang dipertandingkan; 51 kerusi DUN menyaksikan pertandingan 3-penjuru; 13 kerusi DUN berlaku pertandingan 4-penjuru; manakala hanya 1 kerusi menyaksikan pertandingan 5-penjuru. Dari segi pecahan jantina calon, 499 orang adalah lelaki dan 71 orang adalah wanita, di mana calon wanita hanya 12.46% daripada jumlah calon dalam PRN 2023.

Di kawasan DUN N25 Kajang di Selangor, calon PSM S. Arutchelvan menghadapi pertandingan 3-penjuru, dengan dua orang calon lain ialah David Cheong daripada PH (PKR) dan Allan Liew Sin Kin daripada PN (BERSATU-Bersekutu). Di kawasan DUN N39 Kota Damansara, calon PSM Sivarajan bertembung dengan Izuan Kasim daripada PH (PKR) dan Radzlan Jalaludin daripada PN (BERSATU). Di kawasan DUN N42 Meru, calon PSM Sivaranjani Manickam berhadapan dengan Hasnizam Adham daripada PN (BERSATU) dan Mariam Abdul Rashid daripada PH (AMANAH). Di kawasan DUN N55 Dengkil, calon PSM Darren Ong menghadapi pertandingan 4-penjuru, dengan tiga orang calon lain ialah Noorazli Bin Said daripada BN (UMNO), Jamil Salleh daripada PN (BERSATU) dan Mohd Daud Leong daripada Parti Utama Rakyat (PUR).

**********

Berikut ialah sepintas lalu suasana hari penamaan calon di kawasan DUN Selangor di mana PSM meletakkan calon:

Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM berarak bersama Arutchelvan, calon PSM untuk kerusi Kajang, menuju ke pusat penamaan calon di Kajang.
Arutchelvan (ketiga dari kanan) dalam majlis pengumuman calon untuk kawasan DUN Kajang.
Sivarajan (kanan) bersama ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM di luar pusat penamaan calon di Shah Alam.
Dr. Nasir Hashim (tengah), mantan Pengerusi Nasional PSM dan mantan ADUN Kota Damansara, hadir bersolidariti untuk Sivarajan yang bertanding di kawasan DUN Kota Damansara.
Perarakan menuju ke pusat penamaan calon di Klang untuk pencalonan bagi kerusi DUN Meru.
Sivaranjani, calon PSM untuk kawasan DUN Meru, berucap sebelum masuk ke pusat penamaan calon di Klang.
Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PSM berhimpun sebelum menuju ke pusat penamaan calon di Cyberjaya untuk pencalonan bagi kawasan DUN Dengkil.
Perarakan menuju ke pusat penamaan calon di Cyberjaya untuk pencalonan bagi kawasan DUN Dengkil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *