oleh Pasukan PSM Meru

Sivaranjani Manickam, seorang aktivis sosial yang berdedikasi dan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), telah mengemukakan pencalonannya untuk kawasan DUN Meru (N42) dalam Pilihan Raya Negeri Selangor yang akan berlangsung pada 12 Ogos 2023. Beliau yang juga dikenali, secara mesranya, sebagai Jani dalam kalangan rakan-rakan, keluarga, dan penduduk tempatan, beraspirasi untuk membina kawasan Meru yang makmur demi semua.

Kehidupan Jani bermula di Klang, di antara getaran keretapi dan kepulan habuk – maklumlah keluarganya bertempat di kawasan peneroka bandar bersebelahan laluan keretapi. Walaupun ayahnya seorang pemandu lori yang gigih dan ibunya seorang pekerja kilang, Jani yang membesar bersama enam orang adik-beradik sering melihat keadaan keluarganya yang serba kekurangan. Antaranya adalah kerana gaji minimum pada ketika itu belum jadi kenyataan. Kenangan-kenangan usia muda ini membentuk pemahamannya tentang cabaran yang dihadapi oleh sesebuah keluarga kelas pekerja atau pekerja marhaen. Beberapa dekad kemudian, terpengaruh dengan pengalaman-pengalamannya, beliau menjadi penyokong tegar untuk pelaksanaan gaji minimum, tanpa henti memperjuangkan tujuan tersebut sehingga ia berjaya digubal sebagai undang-undang.

Sekitar usia muda 11 tahun, Jani dan keluarganya terjejas oleh projek pemodenan dan pembangunan yang tidak sensitif seperti mana yang dialami oleh kebanyakan penduduk peneroka bandar dan perladangan sekitar Malaysia. Beliau sendiri telah mengalami kepahitan pengusiran paksa dari rumah kesayangan keluarganya untuk memberi jalan kepada pembangunan baharu. Ketidakpastian menerpa, dan mereka terpaksa tinggal di rumah panjang yang awalnya dijadikan sebagai tempat sementara di Pelabuhan Klang selama 13 tahun –  jauh lebih lama daripada yang dijangka. Ketika keluarganya diberikan pilihan untuk mendapatkan sebuah pangsapuri kos rendah di Pelabuhan Klang, dengan harga RM42,000, berserta diskaun “insentif pemindahan” sebanyak RM7,000, Jani baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hari ini, sebagai seorang aktivis, Jani sedar bahawa kemiskinan bukanlah takdir yang tidak dapat dielakkan tetapi sebagai akibat ketidakseimbangan sistem. Mengenang masa lalunya, beliau sedar akan kepentingan memperjuangkan pampasan yang adil, sebagaimana yang dilakukannya sekarang untuk mangsa-mangsa pengusiran paksa. 

Perubahan dalam hidup Jani berlaku ketika beliau menyertai kumpulan aktivis pelajar, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa/i (JKMI), semasa di universiti. Walaupun pada awalnya JKMI bertumpukan pada tuisyen percuma kepada kanak-kanak yang tinggal di kawasan perladangan, pengamatan Jani tentang kehidupan di sana membuka matanya terhadap perbezaan ketara dalam tahap kemiskinan antara golongan berada dan pekerja marhaen. Pengalaman ini membawa Jani ke arah memperjuangkan hak kelas pekerja dan membela mereka dari kemiskinan.

Komitmen Jani terhadap masyarakat massa semakin kuat apabila beliau secara aktif terlibat di dalam kawasan Parlimen Kapar, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menubuhkan Pusat Perkhidmatan. Pusat ini telah berkembang pesat bagi inisiatif-inisiatif komunitinya untuk menyediakan sokongan dan bantuan penting kepada mereka yang memerlukan.

Jani juga telah memegang peranan penting dalam organisasi terkemuka seperti Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR). Ketika ini, beliau bertugas sebagai Pengurus Rangkaian Masyarakat di Asylum Access, memperjuangkan hak dan pemberdayaan individu yang terpinggirkan.

Dalam organisasi PSM, Jani memainkan peranan penting dalam Jawatankuasa Pusat dan menjadi Ketua Biro Pekerja sejak tahun 2013. Kepimpinannya yang dinamik telah menghasilkan pencapaian yang besar, termasuk pelaksanaan Gaji Minimum pada tahun 2013 dan penubuhan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada tahun 2018. Pada tahun 2017, Jani memimpin usaha dalam penubuhan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), satu inisiatif bersejarah yang dengan gigihnya memperjuangkan hak lebih daripada 300,000 orang pekerja kontrak kerajaan, termasuk pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan, yang sering diabaikan dan dianggap remeh.

Perjalanan Jani menggambarkan komitmen yang teguh terhadap pemberdayaan dan advokasi, menjadikannya sebagai seorang yang komited untuk membina dunia yang lebih adil. Pencapaiannya terus menginspirasi dan menetapkan ukuran baharu dalam hak asasi manusia dan keadilan sosial.

Juster, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru penduduk Meru untuk menyokong dan menghantar Jani ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). PSM menjamin bahawa penduduk Meru akan mempunyai wakil yang berdedikasi untuk memperjuangkan hak-hak mereka serta memperkuatkan suara mereka untuk membawa perubahan positif yang besar. Bersama-sama, mereka dapat membina masa depan yang lebih cerah dan adil untuk semua penduduk Meru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *