IPOH, PERAK – 26 JULAI 2023: Sekumpulan pekebun dan penternak dari kawasan Batang Padang telah hadir ke Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini untuk meminta pada Menteri Besar Perak supaya mencampur tangan dalam isu pengusiran yang sedang dihadapi mereka.

Turut hadir bersolidariti bersama para pekebun dan penternak kecil ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Tan Tean Chee daripada Persatuan Petani Moden Chemor.

7 orang pekebun dan penternak dari kawasan Mukim Hulu Bernam Barat, Daerah Batang Padang, telah mengusahakan pertanian di kawasan berkenaan selama 30 tahun. Kawasan yang diusahakan mereka ini merupakan kawasan perlombongan sebelum tahun 1990. Pada awal tahun 1990-an, apabila kerja-kerja perlombongan telah berhenti di kawasan ini, syarikat perlombongan MMC mengizinkan para petani untuk menternak lembu dan menanam kelapa sawit di kawasan bekas lombong. Oleh itu, para pekebun dan penternak telah melabur banyak tenaga dan modal untuk memulihkan tanah perlombongan ini untuk menternak lembu dan kambing serta menanam kepala sawit.

Apabila lesen perlombongan di kawasan tersebut tamat tempohnya pada tahun 2004, pekebun dan penternak di situ telah memohon beberapa kali kepada Pejabat Daerah dan Tanah di Slim River untuk lesen pendudukan sementara bagi tujuan meneruskan kerja-kerja pertaian mereka di situ. Mereka telah menghadiri beberapa mesyuarat dengan Pejabat Daerah dan Tanah, tetapi masih tidak diluluskan permohonan lesen pendudukan sementara mereka.

Lebih-lebih lagi, 100 ekar tanah di kawasan tersebut telah dilupuskan kepada syarikat Visi Bumi Unggul Sdn Bhd, sebuah syarikat yang beribupejabat di Kuala Lumpur, pada tahun 2010. Kelulusan tanah kepada pihak lain ini dibuat tanpa pengetahuan pekebun dan penternak yang sedang mengusahakan tanah tersebut.

Baru-baru ini, para pekebun dan penternak di kawasan tersebut telah menerima notis Mahkamah Tinggi yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah yang sedang diusahakan mereka. Notis tersebut telah menggelar pekebun dan penternak yang mengusahakan tanah di situ selama 30 tahun sebagai “penceroboh”, di samping menuntut bayaran sebanyak RM825,000 daripada para pekebun dan penternak.

“Keputusan Kerajaan Negeri Perak untuk mengorbankan sebuah kawasan yang sedang diternak 900 ekar lembu, adalah satu keputusan yang kurang bijak pada pada ini,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj yang hadir bersolidariti bersama para pekebun dan penternak. “Malaysia sedang mengimport 75% daripada daging lembu yang diperlukan oleh penduduk Malaysia dari negara yang lain. Lebih daripada 50% susu lembu adalah dari luar negara. Dunia kita sedang menghadapi masalah kekurangan makanan dan harga makanan biasa sedang meningkat. Ini bukan masanya untuk menghancurkan kapasiti negara untuk mengeluarkan bahan-bahan makanan bagi rakyat. Kita telah menyaksi kegagalan projek penternakan seperti National Feedlot. Penternakan lembu memerlukan kemahiran tertentu. Penternak di situ mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang ini. Mereka boleh meningkatkan lagi pengeluaran susu dan daging jika mereka disokong sedikit oleh kerajaan dan tidak diusir sewenang-wenangnya.”

Para pekebun dan penternak di kawasan Batang Padang ini memohon pada Menteri Besar Perak supaya mengkaji semula keputusan yang memusnahkan satu perusahaan yang sedang mengeluarkan bahan-bahan makanan yang amat diperlukan bagi rakyat kita. Mereka meminta pada Kerajaan Negeri Perak untuk mengambil balik 100 ekar tanah yang termasuk kaswasan yang sedang diusahakan mereka, dengan meluluskan tanah kosong yang lain kepada syarikat Visi Bumi Unggul, dan memajak tanah ini kepada mereka supaya mereka boleh meneruskan kegiatan penternakan di kawasan tersebut. Mereka berharap bahawa Menteri Besar Perak boleh berjumpa dengan mereka untuk membincangkan isu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *