Berikut ialah maklum balas daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang terhadap Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 (DRTPPp 2030) yang diserahkan kepada Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
oleh Choo Chon Kai
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang berpandangan bahawa Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 (DRTPPp 2030) mengandungi pelbagai kelemahan dan masalah yang boleh membawa impak besar kepada kehidupan penduduk di dalam kawasan bidang kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Berikut ialah bantahan terhadap perkara dalam DRTPPp 2030 yang diketengahkan oleh PSM Pulau Pinang: (nombor muka surat di sini merujuk kepada dokumen DRTPPp 2030, Jilid 1)
Sasaran penduduk kawasan Rancangan Tempatan
(muka surat 2-5 & 3-12)
Sasaran pertumbuhan penduduk di kawasan Rancangan Tempatan yang mencecah seramai 1,033,600 orang menjelang tahun 2030 dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 2.51% adalah sesuatu yang amat diragui dan tidak realistik.
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan penduduk di Pulau Pinang semakin menurun dan berada pada paras di bawah 2% dalam tempoh satu dekad yang lalu.
Apakah rasional DRTPPs 2030 mengunjurkan kadar pertumbuhan penduduk purata tahunan pada 2.51%?
Cadangan: Perlu adanya rasional dan justifikasi yang berasas dalam menyatakan sasaran pertumbuhan penduduk kawasan Rancangan Tempatan. Unjuran penduduk harus berasaskan realiti yang wujud di lapangan bukannya anggaran rambang untuk memenuhi kehendak pemaju hartanah. |
Melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di koridor transit pengangkutan awam (Tindakan 1.3)
(muka surat 5-15, 5-16 & 5-17)
Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) sepatutnya hanya boleh terpakai di kawasan yang belum dibangunkan sepenuhnya lagi. Pelaksanaan TOD yang akan meningkatkan lagi kepadatan di kawasan yang sudah dibangunkan lama akan mendatangkan impak buruk kepada penduduk yang sedia ada, dari segi gangguan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar.
Kebanyakan zon perancangan transit (ZPT) yang tertumpu dalam lingkungan 400m dari stesen transit untuk tujuan TOD yang disenaraikan dalam DRTPPp 2030 (seperti Sungai Pinang) ialah kawasan yang sudah dibangunkan hampir sepenuhnya dengan perumahan. Pembangunan berkepadatan tinggi yang selanjutnya akan menjadi pembangunan berlebihan yang boleh mendatangkan kesulitan kepada kehidupan penduduk yang sedia ada.
Cadangan: Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) TIDAK HARUS digunakan sebagai alasan untuk pembangunan berkepadatan tinggi. |
Destinasi pelancongan perubatan
(muka surat 5-20 & 5-21)
Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau yang merupakan hospital kerajaan yang memberikan perkhidmatan perubatan penting kepada semua rakyat yang memerlukannya TIDAK PATUT dianggap sebagai “produk pelancongan perubatan”.
Kerajaan memang TIDAK PATUT menggalakkan apa-apa pelancongan kesihatan yang hanya menguntungkan sektor kesihatan swasta yang mengutamakan keuntungan dan pada masa yang sama terus menghakis perkhidmatan kesihatan awam di negara kita.
Pada takat ini, pengaliran pakar dari sektor awam ke sektor swasta amat serius, di mana hanya tinggal 25% doktor pakar di hospital awam sedangkan terdapatnya 70% pesakit (in-patient) mendapat rawatan di hospital kerajaan. Apa-apa tindakan kerajaan yang menggalakkan pelancongan perubatan akan memburukkan lagi trend ini, dan menjejaskan sistem kesihatan negara kita secara keseluruhannya.
Kami meminta supaya jangan jadikan Pulau Pinang sebagai pemusnah sistem kesihatan awam di Malaysia!
Cadangan: Keluarkan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau daripada senarai produk pelancongan perubatan. Pelancongan perubatan TIDAK HARUS digalakkan lagi. |
Keperluan Penyediaan Perumahan Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik (Tindakan 2.1)
(muka surat 6-11)
DRTPPp 2030 mengunjurkan bahawa 60,017 buah rumah tambahan perlu disediakan menjelang tahun 2030, di mana 27,100 (45%) daripadanya digolongkan sebagai “perumahan kos rendah dan rumah mampu milik”. Peratusan penyediaan perumahan mampu milik ini adalah TIDAK MENCUKUPI. Ini kerana perumahan kos rendah dan rumah mampu milik perlu disediakan untuk golongan B40 dan M40, bermakna bahawa sekurang-kurangnya 80% daripada penyediaan perumahan keseluruhan harus dirangkumkan dalam kategori perumahan ini.
Cadangan: Peratusan penyediaan perumahan kos rendah dan sederhana (berharga kurang daripada RM72,500 seunit) untuk golongan B40 harus ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya 40% daripada jumlah penyediaan perumahan, dan penyediaan rumah mampu milik berharga RM72,500-RM200,000 untuk golongan M40 juga patut ditetapkan pada kadar 40%. |
DRTPPp 2030 tidak menyenaraikan bilangan penyediaan perumahan yang diperlukan bagi setiap kategori rumah mampu milik.
Cadangan: Nyatakan dengan jelas bilangan penyediaan perumahan yang diperlukan bagi setiap kategori rumah mampu milik selari dengan peratusan rumah mampu milik yang betul-betul diperlukan mengikut kumpulan pendapatan yang berbeza. |
Menurut maklumat pasaran harta tanah bagi suku ketiga tahun 2022 yang diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat 5,222 unit rumah kediaman yang masih tidak terjual di Pulau Pinang.
Kebanyakan unit rumah kediaman yang tidak terjual kerana harganya adalah di luar kemampuan rakyat biasa, termasuklah rumah yang berharga lebih RM200,000 tetapi dikatakan mampu milik. DRTPPp 2030 juga menyentuh tentang masalah kemampuan membeli rumah di Pulau Pinang (DRTPPp 2030, Jilid I, muka surat 6-3,), di mana indeks kemampuan membeli rumah di Pulau Pinang dikategorikan sebagai “sangat tidak mampu milik”, tetapi malangnya gagal menawarkan penyelesaian kepada masalah ini.
Rumah berharga RM200,000 ke atas tidak sesuai dikategorikan sebagai rumah mampu milik (RMM) bagi golongan M40.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, golongan B40 dan M40 akan semakin menghadapi beban membayar pinjaman perumahan sekiranya harga maksimum rumah mampu milik ditetapkan pada paras yang tinggi.
Oleh itu, pihak kerajaan perlu membuat pengubahsuaian ke atas harga maksimum rumah mampu milik bersesuaian dengan pendapatan isi rumah bagi setiap kategori rumah mampu milik.
Cadangan: Cadangan untuk pengubahsuaian takrifan Rumah Mampu Milik (RMM) adalah seperti berikut: Batalkan RMM Jenis C3 (rumah berharga lebih daripada RM200,000). RMM Jenis A (harga maksimum RM42,000) untuk pendapatan isi rumah < RM3,000 RMM Jenis B (harga maksimum RM72,500) untuk pendapatan isi rumah < RM5,000 RMM Jenis C1 (harga maksimum RM100,000) untuk pendapatan isi rumah < RM7,000 RM Jenis C2 (harga maksimum RM200,000) untuk pendapatan isi rumah < RM10,000 |
Program Perumahan Rakyat (PPR)
(muka surat 6-11)
DRTPPp 2030 tidak menyatakan bilangan unit rumah sewa dan rumah milik jual (berharga RM35,000) tambahan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang perlu disediakan.
Syarat kelayakan untuk permohonan rumah PPR di Pulau Pinang sekarang ini sudah ketinggalan zaman dan perlu dikemas kini.
Syarat “pendapatan pemohon / suami / isteri tidak melebihi RM750.00 atau Pendapatan seisi sekeluarga kurang daripada RM1,500.00” tidak lagi sesuai digunakan. Gaji minimum bagi pekerja sudah pun mencecah RM1,500 sebulan, maka adalah tidak masuk akal untuk menetapkan syarat yang mengecualikan pekerja B40 yang bergaji minimum daripada memohon rumah PPR.
Cadangan: Ubah syarat pendapatan pemohon kepada “tidak melebihi RM1,500 atau Pendapatan seisi sekeluarga kurang daripada RM3,000” untuk kelayakan memohon PPR. Pengubahan syarat ini juga bermakna permintaan untuk rumah PPR akan bertambah lagi berbanding sekarang, maka perlu adanya unjuran penyediaan rumah PPR tambahan yang jelas dalam DRTPPp 2030. |
Penyediaan perumahan yang berhampiran dengan pusat pekerjaan / pengaktifan semula rumah kedai yang terbiar dan usang di kawasan perbandaran bagi menampung permintaan perumahan yang tinggi (Tindakan 2.2)
(muka surat 6-12)
Kebanyakan rumah kedai dengan tingkat atas digunakan sebagai kediaman dahulu dikosongkan atau terbiar kerana peningkatan sewa yang mendadak dan pengusiran penduduk asal keluar dari situ berikutan pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1966 pada tahun 1997.
Cadangan: Perkenalkan semula kawalan sewa dengan menetapkan siling sewa rumah yang berpatutan dan mampu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah B40 supaya membolehkan pekerja dapat tinggal berhampiran dengan tempat kerja di pusat bandar. |
Meningkatkan semula bilangan penduduk dalam Bandaraya George Town (Tindakan 2.4)
(muka surat 6-16)
Punca utama migrasi keluar penduduk dari pusat bandar George Town adalah seperti yang dinyatakan di atas, iaitu pengusiran penduduk asal keluar dari kediaman rumah kedai berikutan pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1966 pada tahun 1997.
Cadangan: Perkenalkan semula kawalan sewa dengan menetapkan siling sewa rumah yang berpatutan dan mampu ditanggung khususnya oleh golongan berpendapatan rendah B40 untuk menggalakkan perpindahan masuk semula ke dalam pusat bandar. Ini juga akan mengurangkan tekanan untuk membina perumahan mampu milik baharu. |
Mod perkongsian pengangkutan awam dan kenderaan persendirian – 40%: 60% menjelang tahun 2030
(muka surat 7-1)
Memandangkan mod perkongsian pengangkutan awam di Pulau Pinang pada masa kini hanya 5%, meningkatkannya kepada 40% menjelang tahun 2030 ialah satu visi yang bercita-cita tinggi tetapi tiada rangka kerja tindakan yang jelas menuju matlamat ini (meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 8 kali ganda dalam tempoh 8 tahun akan datang) dalam cadangan-cadangan DRTPPp 2030 dan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang yang memberi terlalu banyak tumpuan kepada pembinaan lebuh raya baharu (seperti Pan Island Link 1, Pan Island Link 2 dan sebagainya) yang hanya terus menggalakkan penggunaan kenderaan bersendirian ke tempat kerja dan pembinaan LRT Bayan Lepas sebagai tulang belakang pengangkutan awam yang tidak ada kepastian dapat siap dibina menjelang tahun 2030.
Cadangan: Mengalihkan fokus pembangunan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang kepada pembangunan rangkaian sistem bas elektrik yang ekstensif dan komprehensif. Pembangunan rangkaian sistem bas yang ekstensif dan komprehensif ialah pilihan yang jauh lebih murah, cepat dan mudah diselenggara berbanding LRT. Perlu adanya cadangan kemudahan laluan first mile last mile yang lebih jelas untuk menggalakkan penggunaan bas awam dan mengelakkan daripada penggunaan kenderaan persendirian, dengan melakarkan peta bagi rangkaian laluan pejalan kaki yang komprehensif dan mewujudkan rangkaian laluan bas perantara (shuttle bus) yang menghubungkan kawasan perumahan kediaman dengan hab/perhentian bas dalam DRTPPp 2030. Perlu tambahkan hab bas dan kenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina hab bas baharu dalam DRTPPp 2030. |
Menyediakan rangkaian khas pejalan kaki berbumbung yang berkesinambungan, mesra pengguna, selesa, selamat, mampan serta mudah sampai oleh semua (Tindakan 3.1)
(muka surat 7-8 & 7-12)
Cadangan untuk penyediaan rangkaian pejalan kaki yang “berkesambungan, mesra pengguna, selamat dan mampan” hanya sekadar retorik kosong jika tiadanya pelan tindakan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang komprehensif dan mengehadkan penggunaan kenderaan persendirian.
Rajah 7.2 dalam dokumen DRTPPp 2030 menunjukkan cadangan rangkaian laluan pejalan kaki yang tidak lengkap dan tidak mencapai kesambungan untuk seluruh kawasan Rancangan Tempatan.
Laluan kaki lima di rumah-rumah kedai lama di George Town ialah contoh rangkaian pejalan kaki yang mampan hanya jika adanya penguatkuasaan yang tegas dalam memastikan laluan pejalan kaki ini bebas daripada halangan.
Cadangan: Perlu adanya rangkaian laluan pejalan kaki ekstensif yang dapat menyambungkan dan meliputi seluruh kawasan Rancangan Tempatan (bukannya berputus-putus seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 7.2) dan cadangan tindakan konkrit untuk melaksanakannya. Kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi seperti Jelutong, Paya Terubong, Sungai Ara, Batu Maung dan sebagainya juga harus dijadikan tumpuan kawasan penambahbaikan laluan pejalan kaki. |
Menambahbaik perkhidmatan bas sedia ada dan membangunkan jaringan laluan bas baharu (Tindakan 3.3)
(muka surat 7-16, 7-17 & 7-18)
Cadangan jaringan laluan bas dalam DRTPPp 2030 adalah amat tidak mencukupi untuk mencapai sasaran mod perkongsian pengangkutan awam kepada 40% menjelang tahun 2030.
Adalah tidak berguna langsung untuk membina perhentian bas pintar (Smart Bus Stop) jika laluan bas adalah tidak berfungsi secara optimum (dengan frekuensi laluan bas yang tinggi dan masa menunggu bas yang pendek). Juga adalah tidak berguna untuk membina perhentian bas yang canggih dan bereka bentuk cantik tetapi tidak selesa digunakan oleh golongan warga emas, OKU dan orang ramai lain.
Cadangan: Perlu wujudkan jaringan laluan bas awam yang lebih ekstensif meliputi seluruh kawasan Rancangan Tempatan dan juga sambungan langsung dengan kawasan tumpuan penduduk di Seberang Perai (Kepala Batas, Butterworth, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal), dengan pertambahan laluan baharu yang menyambungkan langsung semua kawasan padat penduduk. Sebagai contoh, dengan mengambil Air Itam / Bandar Baru Air Itam sebagai hab bas untuk permulaan laluan, boleh wujudkan laluan bas baharu seperti berikut: Air Itam – Jelutong Air Itam – Sungai Ara – Bayan Baru Air Itam – Tanjung Bungah |
Cadangan: Kenal pasti lokasi sesuai untuk hab bas baharu atau penambahbaikan hab bas (Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Pulau Tikus, Jelutong, Air Itam, Padang Tembak, Paya Terubong, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Bahang, Balik Pulau dan sebagainya). Perlu menambah baik reka bentuk perhentian bas supaya lebih selesa digunakan termasuk dalam keadaan cuaca panas dan hujan lebat. Perlu juga menambah baik infrastruktur pejalan kaki untuk akses ke perhentian bas. Wujudkan lorong khas untuk bas di jalan raya utama untuk mengurangkan masa perjalanan bas berbanding kenderaan persendirian (khususnya waktu puncak) dan meningkatkan frekuensi bas. |
Menyediakan laluan tambahan bagi perkhidmatan pengangkutan air (Tindakan 3.4)
(muka surat 7-20 & 7-21)
Cadangan teksi air hanya dapat memanfaatkan penduduk tempatan sekiranya mempunyai ketersambungan yang baik dan terselaras dengan pengangkutan awam yang lain, khususnya jaringan bas awam, dan juga kadar tambang yang murah untuk penduduk tempatan menggunakannya setiap hari.
Cadangan: Wujudkan laluan feri/teksi air yang mengelilingi seluruh pulau, dengan jeti tambahan di lokasi yang sesuai (selain yang disenaraikan dalam DRTPPp 2030) di: – Pantai Aceh – Kuala Jalan Baru – Kuala Sungai Betung – Teluk Kumbar – Permatang Damar Laut – Pantai Jerjak Pastikan wujudnya integrasi antara perkhidmatan feri/teksi air dengan perkhidmatan bas awam, dari segi ketersambungan dan penyelarasan masa perjalanan. |
Park and Ride (Tindakan 3.7)
(muka surat 7-24 & 7-25)
Pembinaan lebih banyak Park and Ride (termasuk menyediakan kawasan park and ride bertingkat atau berbumbung yang dihubungkan ke kemudahan pengangkutan awam lain seperti bas awam dan LRT) bukan sahaja TIDAK akan membantu banyak dalam meningkatkan penggunaan sistem pengangkutan awam, sebaliknya akan mengambil lebih banyak ruang, khususnya di kawasan sekitar kemudahan pengangkutan awam, dan mengurangkan ruang untuk pembangunan pengangkutan awam dan peningkatan kualiti hidup komuniti.
Cadangan: TIDAK PERLU membina Park and Ride, sebaliknya memberi fokus kepada peningkatan jaringan bas awam dan bas perantara yang memudahkan pengguna pengangkutan awam untuk terus menggunakan pengangkutan awam tanpa perlunya memandu kereta keluar dari rumah. |
Pengurusan ekosistem marin dan habitat persisiran pantai
(muka surat 8-5, tetapi telah silap dilabel sebagai 6-5 dalam dokumen DRTPPp 2030)
“Kawasan perairan kawasan rancangan tempatan adalah merupakan komponen penting dalam pembentukan jaringan ekosistem marin bahagian utara Semenanjung Malaysia. Ianya juga adalah merupakan sebahagian daripada kawasan penting sumber perikanan negara. Perlindungan dan penyuburan aset ekosistem persisiran pantai kawasan rancangan tempatan bukan hanya penting di peringkat mikro, malah akan memberikan impak dan manfaat yang besar di peringkat wilayah (makro).”
Kenyataan penting dalam DRTPPp 2030 ini dan peta dalam muka surat 8-5 jelas mengiktiraf kepentingan kawasan perairan di sekeliling Pulau Pinang dan juga kawasan laut yang lebih jauh ke sebelah barat dan selatan Pulau Pinang sebagai ekosistem marin yang kritikal dalam menyokong sumber perikanan di rantau ini.
Jadi, adalah tidak masuk akal untuk meneruskan cadangan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang akan mendatangkan kesan buruk kerana tebus guna tanah secara meluas dan memunsnahkan integriti ekosistem marin yang begitu penting ini.
Cadangan: Perlu keluarkan cadangan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang daripada semua peta Pelan Zon Guna Tanah DRTPPp 2030. |
Dengan perkara-perkara yang telah senaraikan di atas, PSM Pulau Pinang menggesa supaya DRTPPp 2030 ini ditolak dan dikaji semula dengan lebih menyeluruh serta dirangka semula demi mewujudkan sebuah rancangan tempatan yang benar-benar memanfaatkan semua penduduk di Pulau Pinang.
==========
Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Jurucakap PSM Pulau Pinang.