PEKAN PEDAS, NEGERI SEMBILAN – 17 NOVEMBER 2022: S. Tinagaran @ Cikgu Tina, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan Parlimen P131 Rembau, mengetengahkan isu-isu tanah dan perumahan yang dihadapi oleh beberapa komuniti rakyat marhaen di Negeri Sembilan dalam satu sidang akhbar khas pada hari ini.
Sidang akhbar ini turut dihadiri oleh John Cantius dari Kampung GATCO, Muniandy Krishnan dari Ladang Kirby, Chong Tze Yaw dari Kampung Hakka dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM.
Wakil daripada komuniti yang hadir dalam sidang akhbar ini menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan-kerajaan lalu yang tidak dapat menunai janji untuk menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi mereka.
Memandangkan isu tanah dan perumahan berlaku di seluruh Malaysia dan tidak dapat diselesaikan oleh sama ada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH), Cikgu Tina bertekad untuk membawa isu tanah dan perumahan yang dihadapi oleh golongan marhaen ke dalam Parlimen untuk dibahaskan supaya dapat menggubal undang-undang yang memanfaatkan komuniti-komuniti yang diancam masalah serupa.
Cikgu Tina mengambil kesempatan Pilihan Raya Umum (PRU) ini untuk mengetengahkan isu tanah dan perumahan golongan marhaen ini kepada perhatian orang ramai supaya orang ramai dapat mengenali masalah ini dengan lebih lanjut dan menyokong perjuangan komuniti-komuniti yang tertindas.
S. Arutchelvan berkata dalam sidang akhbar ini bahawa kedua-dua BN dan PH gagal dalam menangani masalah ini kerana penglibatan politik wang. Hasrat PSM ialah membawa dasar baharu dalam Parlimen untuk mengurangkan pengaruh politik wang dan mengurangkan pengaruh golongan korporat dalam isu tanah serta perumahan.
One thought on “PSM sedia membela rakyat marhaen yang hadapi masalah tanah dan perumahan”