AIR KUNING, PERAK – 17 NOVEMBER 2022: “Orang luar mungkin ingat masyarakat Orang Asli ialah anak emas kerajaan memandang adanya agensi seperti JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) yang membantu Orang Asli seratus peratus, tetapi hakikatnya ada keluarga Orang Asli yang ibu bapa terpaksa masuk hutan dan keluar hutan untuk mencari rezeki tambahan supaya dapat terus hidup,” begitu katanya Yahya Yok Perukas, wakil masyarakat Orang Asli Perak, dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan bersama Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN48 Ayer Kuning di Perak pada hari ini. Punca utama kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli adalah ketiadaan pengiktirafan hak wilayah tanah adat Orang Asli.

Mereka yang hadir dalam sidang akhbar mengenai isu masyarakat Orang Asli ini ialah Bawani KS selaku calon PSM untuk kawasan DUN Ayer Kuning di Perak, Shazni Bhai yang merupakan seorang aktivis alam sekitar yang bersama dengan KUASA (Persatuan Aktivis Sahabat Alam), Suresh Kumar yang merupakan aktivis PSM Shah Alam dan Yahya Yok Perukas selaku Ketua Belia Jawatankuasa Kampung Orang Asli Negeri Perak (JKOANP).

“Isu utama yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli ialah pengiktirafan wilayah tanah adat Orang Asli. Isu ini isu yang lama. Masyarakat Orang Asli telah lama memperjuangkan pengiktirafan wilayah tanah adat. Wilayah tanah adat yang dimaksudkan oleh Orang Asli ini terdiri daripada pelbagai zon, bukan hanya sekadar zon penempatan, tetapi adanya zon tempat suci, zon perubatan, zon pencarian rezeki dan sebagainya. Zon-zon ini telah wujud secara turun-temurun dalam kehidupan komuniti Orang Asli,” kata Yahya yang berasal dari Kampung Ras, Pos Jernang, Sungkai, Perak.

“Mana-mana ahli politik yang betul-betul prihatin pada masyarakat Orang Asli, jangan hanya sekadar dengar orang lain cakap dan tinjau secara teori, tetapi harus turun ke padang sendiri untuk tinjau dan tinggal bersama masyarakat Orang Asli untuk merasai dan menjiwai apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli,” tegas kata Yahya. “Kita perlu adanya pendekatan yang praktikal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Orang Asli.”

Yahya juga mengetengahkan isu perampasan tanah dan pencerobohan ke dalam wilayah tanah adat Orang Asli yang berleluasa di sekitar negeri Perak. Masalah ini berlaku kerana kekurangan pengiktirafan hak wilayah tanah adat Orang Asli. Tanah adat penting untuk masyarakat Orang Asli, kerana dari tanah datangnya identiti Orang Asli yang hidup secara harmoni dengan alam sekitar.

“Kami masyarakat Orang Asli bukannya anti-pembangunan, tetapi pembangunan yang dilaksanakan itu harus mendapat persetujuan daripada masyarakat Orang Asli tempatan,” tambah Yahya. “Apabila kerajaan hendak menjalankan pembangunan di kawasan Orang Asli, perlu adanya perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan mendapatkan persetujuan daripada Orang Asli. Kita perlu lihat sama ada pembangunan itu bagus untuk akar umbi atau tidak. Apakah ertinya pembangunan jika ia tidak berkualiti?”

Yahya juga menyeru kepada masyarakat Orang Asli supaya mengundi secara bijak untuk memilih wakil rakyat yang sanggup menegakkan hak tanah adat Orang Asli.

“Tanah itu penting untuk Orang Asli, kerana dari tanah itu wujudnya jati diri Orang Asli.” kata Shazni Bhai. “Semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah kuat. Namun, oleh sebab pembangunan yang hanya menguntungkan pihak tertentu tetapi tidak memihak kepada masyarakat Orang Asli, masyarakat Orang Asli telah dipinggirkan dan semangat kemasyarakatan mereka dipecahkan. Kebanyakan pembangunan tidak berbincang dengan masyarakat akar umbi tempatan.”

Bawani KS juga bersetuju bahawa isu tanah adat penting bagi masyarakat Orang Asli. “Orang Asli mempunyai hubungan yang istimewa dengan tanah dan alam semulajadi. Mereka ialah penjaga alam semula jadi. Namun, hak wilayah tanah adat Orang Asli tidak diiktiraf dan tidak dilindungi. Tanah adat Orang Asli terus diceroboh dan dimusnahkan atas nama pembangunan,” kata Bawani. “Masyarakat Orang Asli harus menikmati hak tanah adat yang menjamin kesejahteraan hidup mereka, bukannya perlu turun naik mahkamah untuk mendapat semula hak ini.”

Bawani menegaskan pendirian PSM yang menyokong kebangkitan masyarakat Orang Asli untuk mempertahankan hak wilayah tanah adat. PSM bertekad untuk memperjuangkan pengiktirafan wilayah tanah adat Orang Asli.

One thought on “Orang Asli tuntut perlindungan hak wilayah tanah adat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *