oleh Titania
Baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah merangka garis panduan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi mengawal penglibatan mahasiswa dalam politik di dalam dan di luar kampus. Garis panduan tersebut mengandungi pelbagai pembatasan dan Pemuda Sosialis menentang sekeras-kerasnya pembatasan tersebut.
Pertama sekali, hak setiap rakyat untuk menyertai politik selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Memandangkan kebanyakan masa mahasiswa dihabiskan di kampus, membataskan penyertaan mereka dalam politik adalah pencabulan hak tersebut. Seperti orang dewasa yang lain, mahasiswa berhak untuk bergiat dalam politik. Tanpa kebebasan mutlak untuk menubuhkan cawangan politik di kampus, mahasiswa akan hilang semangat untuk menyertai kumpulan politik lantas menyebabkan anak muda tidak berminat untuk mengambil berat tentang pentadbiran negara. Hal ini amat memudaratkan bagi demokrasi negara.
Selain itu, pindaan baharu pada undang-undang telah membolehkan rakyat Malaysia semuda 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya. Perkembangan ini memperlihatkan kerajaan seakan-akan menggalakkan penyertaan anak muda dalam politik kerana setiap pengundi sepatutnya menyedari dan melibatkan diri dalam isu politik bagi memastikan demokrasi yang sihat. Namun demikian, tindakan merangka garis panduan yang sungguh membataskan ini bertentangan dengan perkembangan tersebut. Tidak munasabah bagi KPT mengawal kegiatan politik mahasiswa yang cukup umur untuk mengundi. Bahkan, perbuatan tersebut membelakangkan negara dan mensia-siakan keputusan Parlimen lantas menghina proses demokrasi.
Seterusnya, tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan awam yang sedia ada tidak mampu untuk melengkapkan pengetahuan pelajar tentang hak politik mereka. Sebaik sahaja menamatkan pelajaran di sekolah, peluang mereka untuk mempelajari hal-hal politik hanya wujud dalam aktiviti-aktiviti anjuran parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan. Jika aktiviti-aktiviti tersebut tidak dapat dijalankan di kampus, maka mahasiswa terpaksa melakukan demikian di luar. Disebabkan ramai mahasiwa terikat dengan kampur kerana tinggal di asrama, mereka tidak mampu meninggalkan kampus sesuka hati. Hal ini memberi kesan yang lebih besar kepada mahasiswa berpendapatan rendah lantas menyekat suara golongan misikin dalam arena politik negara.
Akhir kata, keputusan sengaja untuk membataskan penyertaan mahasiswa dalam politik membelakangkan kemajuan negara dan merupakan taktik basi kerajaan yang tamak kuasa untuk mengganggu proses demokrasi. Pemuda Sosialis bukan sahaja menuntut pada KPT supaya menggugurkan garis panduan ini, malah menuntut pemansuhan AUKU sepenuhnya. Mahasiswa tidak patut dikekang dalam menyertai politik. Oleh itu, kami mendesak setiap anak muda dan badan yang terlibat dengan politik untuk menentang garis panduan tersebut dan terus menjalankan kerja dalam politik mahasiswa.
==========
Titania ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis PSM merangkap Penyelaras Biro Pendidikan Pemuda Sosialis PSM.