KLANG, SELANGOR – 15 JULAI 2022: Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-24 dirasmikan pada hari ini di Klang, dengan kehadiran hampir 200 orang hadirin. Ini merupakan kongres pertama yang diadakan secara bersemuka untuk 3 hari selepas dua tahun kongres yang diadakan secara atas talian untuk setengah hari.
Selain delegasi-delegasi daripada cawangan-cawangan PSM di seluruh negara, pemerhati-pemerhati luar parti turut hadir untuk memeriahkan majlis perasmian pada hari ini. Antara pemerhati-pemerhati luar yang hadir termasuk wakil daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti MUDA, Parti AMANAH, Parti WARISAN, Sisters in Islam, North South Initiative, GEFONT, KLSCAH, SUARAM, Persatuan Agora, Undi 18, Rumah Attap, kesatuan-kesatuan pekerja dan sebagainya. Tetamu kehormat khas yang turut hadir ialah Florentino Batista González selaku Duta Besar Kuba ke Malaysia.
Dalam ucapan pembukaannya, S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, berkata, “Matlamat PSM ialah membina kuasa rakyat dari bawah, bukannya dari Hotel Sheraton atau apa-apa tempat di atas. Kuasa rakyat itu haruslah wujud dari bawah, bukan dari atas.”
Kongres Nasional PSM tahun ini turut menerima mesej solidariti daripada organisasi-organisasi di peringkat antarabangsa, termasuk Socialist Alliance dari Australia, Parti Sosialis dari Belanda, Party of the Laboring Masses (PLM) dari Filipina, Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan, Konfederasi Pergerakan Rakyat Indonesia (KPRI), Partai Rakyat Pekerja (PRP) dari Indonesia, Potere al Popolo! dari Itali, Socialist Popular Alliance Party dari Mesir, Parti Komunis Nepal (Sosialis Bersatu), Nouveau Parti anticapitaliste (NPA) dari Perancis, Parti Kiri dari Sweden, Socialist Workers Thailand (SWT), Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh dari Vietnam, Die Linke dari Jerman, Parti Kiri Eropah, dan Progressive International.
Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, menyampaikan ucapan dasar yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk senario politik-ekonomi antarabangsa, pergolakan dalam negara kita, krisis makanan, hubungan antara kaum yang semakin merosot kerana kegagalan parti arus perdana dalam membawa analisis yang berasaskan kelas sosial dan peranan PSM dalam membangunkan politik baharu dengan menjadi sebuah kuasa politik yang berpengaruh dalam tempoh masa 10 tahun akan datang.
“Kita harus berfikir untuk jangka masa yang panjang… Kita ada banyak kerja perlu lakukan. Dalam 10 tahun akan datang, kita hendak menghantar 10 hingga 20 orang ke dalam Parlimen, dengan idea-idea yang bernas dan tidak boleh dibeli oleh golongan korporat. Inilah cabaran untuk kita dalam PSM,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj. “PSM dan kawan-kawan yang progresif mempunyai satu tanggungjawab yang bersejarah. Kitalah pewaris kepada perjuangan kiri di tanah air kita. Kita harus memastikan kita meneruskan perjuangan ini. Kita harus mengemukakan analisis yang baik, memobilisasi rakyat, menubuhkan gabungan politik yang meluas dan terdiri daripada berbilang kaum, serta menghantar lebih ramai wakil rakyat yang progresif ke dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam 10 tahun yang akan datang ini.”
Ucapan dasar daripada Pengerusi Nasional PSM telah diulas oleh wakil-wakil daripada cawangan-cawangan PSM dan Pemuda Sosialis pada sebelah malam ini.
Kongres PSM akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai 2022, untuk membincangkan idea-idea dan cadangan-cadangan bagaimana menggerakkan kerja-kerja parti dan membina gerakan rakyat yang progresif.
2 thoughts on “PSM pikul tanggungjawab bersejarah untuk bangunkan politik progresif di tanah air: PSM bersidang untuk Kongres Nasional ke-24”