Pada hari ini (8 Julai 2022), bekas pekerja Ladang Denudin mendapat salinan geran tanah untuk perumahan mereka di Taman Batu Tiga, Semenyih, iaitu kurang 1 km dari penempatan mereka yang asal. Salinan geran tersebut disampaikan oleh Encik Reduan selaku wakil bekas majikan mereka, Inch Kenneth Kajang Rubber Public Ltd Co., dan disaksikan oleh V. Ganabatirau selaku Ahli Exco Kerajaan Selangor dan Tuan Haji Najmuddin selaku Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah membantu masyarakat ladang di sini sejak surat pertama meminta perumahan sendiri pada 25 September 1995.
Ladang Denudin yang terletak di Batu 3, Jalan Bangi, dimiliki oleh Inch Kenneth, dan dahulunya diuruskan oleh Golden Hope Plantation. Pada asalnya, ia adalah ladang getah, kemudiannya ditukar kepada ladang kelapa sawit pada sekitar pertengahan tahun 1990-an. Pada 6 April 2011, 9 orang pekerja pengumpul buah kelapa sawit pula menerima notis pemberhentian kerja di mana tarikh akhir berkhidmat ialah 31 Mei 2011.
Pihak syarikat Inch Kenneth pada awalnya hanya berhasrat untuk memberi pampasan wang sahaja. Pihak penduduk bersama PSM kemudiannya membawa isu ini kepada perhatian Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu, Xavier Jayakumar, pada bulan April 2011. Namun, pihak Inch Kenneth telah menjual tanah di mana terletaknya rumah pekerja ladang ini kepada UEM Land pada bulan Oktober 2010 lagi. Jadi, ada desakan untuk pekerja keluar dari rumah kediaman mereka dan UEM land pula mengambil kes terhadap Inch Kenneth pada bulan Oktober 2012.
Akhirnya, setelah perjuangan yang berterusan dan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Selangor, maka satu persetujuan telah ditandatangani pada 13 Januari 2013, di mana Inch Kenneth bersetuju untuk membina rumah bagi 22 orang pekerja, termasuk pekerja yang sudah bersara tetapi masih tinggal di dalam ladang. Sejak 16 Mac 2014, pihak Jawatankuasa Penduduk mula berurusan dengan YB Ganabatirau. YB Ganabatirau turut membuat beberapa rundingan dengan pihak penduduk dan penasihat PSM di ladang itu, S. Arutchelvan. Isu pemindahan kuil dan gereja juga dibincangkan. Pada 30 Mei 2017, undian telah dibuat untuk menentukan alamat rumah di Pusat Khidmat Rakyat PSM Semenyih. Pada 21 November 2018, kunci baharu telah diserahkan.
Pada 21 Jun 2018, perjanjian yang dibuat pada tahun 2013 itu ditandatangani semula dengan sedikit pindaan. Pihak Inch Kenneth juga berjanji menambahbaikkan rumah yang hendak dibina.
Walaupun masalah geran rumah sudah selesai hari ini, terdapat beberapa isu lagi, seperti Sijil Perakuan Kelayakan (CF), masih belum selesai, dengan Exco Kerajaan Selangor memberikan masa kepada pihak pemaju untuk mematuhi syarat-syarat tersebut dalam tempoh masa 90 hari. Selain itu, Pejabat Tanah juga diminta supaya membuat permohonan untuk tanah bagi kuil kerana pihak Inch Kenneth sudahpun menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri. Beberapa isu lain juga dibangkitkan oleh Ahli Majlis dan wakil penduduk yang hadir pada hari ini, di mana Kerajaan Negeri Selangor dan MPKj memberikan beberapa cadangan penyelesaian.
Satu upacara penyerahan geran asal bagi rumah akan diaturkan oleh pihak syarikat Inch Kenneth dan Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat ini.
Tahniah PSM Terbaik!!!!