Kenyataan media oleh Gabungan Marhaen

Informasi kini di hujung jari dengan adanya media sosial yang sentiasa menyalurkan pelbagai maklumat sekaligus memudahkan informasi penting tidak tenggelam dalam arus peralihan zaman. Gabungan Marhaen sedar tentang ini dan berusaha untuk mengurangkan jurang informasi dengan menyatukan informasi perjuangan rakyat akar umbi dalam satu laman web khas yang dilancarkan hari ini, 1 Jun 2022.  

Gabungan Marhaen ialah gabungan komuniti akar umbi, kolektif masyarakat, kesatuan sekerja, NGO yang berfikiran sama, pemimpin masyarakat akar umbi dan aktivis masyarakat. Rancangan utama MARHAEN adalah untuk menggabungkan, memperkasakan dan memantapkan semua komuniti marhaen.

Gabungan Marhaen sedang mengusahakan satu platform informasi lengkap mengenai perjuangan akar umbi yang bersifat setempat dan nasional, kecil dan besar untuk tatapan umum kerana belum adanya platform sebegini lagi.

Laman web ini mempunyai beberapa kelebihan. Pertama, maklumat yang dipaparkan adalah daripada sumber asal kawasan perjuangan. Selain itu, pejuang dan aktivis yang terlibat secara langsung memberikan maklumat dan mensahihkan informasi yang diutarakan.

Kedua, laman web mengutarakan perjuangan-perjuangan setempat secara kolektif yang memberi gambaran besar bahawa penindasan berlaku secara sistemik yang perlukan kekuatan massa politik untuk mengubahnya.

Ketiga, setiap orang berpeluang untuk memberi solidariti dan menyertai perjuangan-perjuangan ini melalui laman web MARHAEN.

MARHAEN beraspirasi bahawa laman web ini dapat memberi mesej bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk membawa perubahan yang diingini apabila berganding tangan, bersolidariti untuk membawa penyelesaian kepada isu-isu yang melibatkan rakyat biasa menentang korporat kaya atau agensi yang berkuasa. Laman web ini juga memaparkan nombor-nombor telefon penyelaras gabungan yang terdiri daripada pelbagai sektor seperti jaringan pekerja kontrak, pekerja ladang, peneroka bandar, flat kos rendah, petani, penternak, pemandu lori, dan pekerja tidak formal. Rakyat biasa boleh menghubungi penyelaras tersebut sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah atau isu di kawasan mereka.

Laman web MARHAEN ini hanyalah satu langkah kecil tetapi signifikan untuk memastikan naratif rakyat akar umbi ditulis oleh mereka sendiri. Usaha ini mencabar dan memakan masa, namun berharga untuk perjuangan sejagat.

Akhir kata, laman web MARHAEN boleh diakses melalui pautan  https://gabunganmarhaenmalaysia.com/ dengan harapan untuk solidariti dan maklumbalas yang membina.

(Kenyataan ini dikeluarkan oleh S. Mathavi, Penyelaras Gabungan Marhaen.)

MARHAEN – Kuasa rakyat akar umbi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *