oleh S. Arutchelvan

Satu lagi detik bersejarah dalam perjuangan Ladang Kirby tercatat pada 23 Mei 2022 apabila Menteri Besar Negeri Sembilan mengadakan Majlis Pecah Tanah dan Perasmian Projek Perumahan Taman Kirby. Amat berpatutan bahawa taman yang bakal dibina ini mengambil nama Ladang Kirby untuk menunjukkan kesinambungan sejarah. Saya, saudara Gandi dan para bekas pekerja ladang turut dijemput untuk merayakan upacara bersejarah ini.

Projek Taman Kirby dibina di atas tanah seluas 16.57 ekar di Ladang Kirby, Mukim Labu, Daerah Seremban, Negeri Sembilan, dan merupakan Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) milik MBINS (Menteri Besar Negeri Sembilan Incorporated). Sebanyak 203 unit rumah akan dibina di kawasan ini, merangkumi 94 unit rumah Type A dan 109 unit rumah Type C yang dijangka akan siap pada bulan Februari 2024.

Melalui projek pembangunan ini, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan permasalahan tempat kediaman bagi 44 orang bekas pekerja ladang Sime Darby Plantation yang telah berlanjutan selama lebih 20 tahun tanpa sebarang penyelesaian di bawah pimpinan Kerajaan Negeri yang terdahulu. Dalam Majlis Pecah Tanah pada 23 Mei 2022, Menteri Besar YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun mengatakan bahawa jumlah keseluruhan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada bekas pekerja ladang tersebut adalah sebanyak RM1.74 juta. Beliau juga berkata bahawa projek ini akan menjadi satu lagi bukti komitmen Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan untuk terus membela nasib rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri pada harga mampu milik.

Menteri Besar dan saya berjabat tangan, mengucapkan tahniah antara satu sama lain. Dalam kesempatan ini, kami turut bergembira atas kerjasama yang diberikan oleh pihak Menteri Besar, Ahli EXCO Negeri Saudara Arul Kumar dan juga pemaju Dato’ Lau kerana mengotakan janji mereka.

Perjuangan Ladang Kirby telah berlanjutan untuk lebih dua dekad setelah para pekerja diberhentikan kerja. Mereka dulu diugut dengan pengusiran paksa dan sering diberikan janji setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU). PRU datang dan pergi banyak kali, tanpa rumah yang dijanjikan.

Pekerja Ladang Kirby yang bersama PSM dan JERIT pada ketika itu enggan keluar dari kawasan ladang. Mereka telah melawan dengan mengadakan pelbagai aksi, antaranya protes di hadapan pejabat Sime Darby dan juga pejabat Kerajaan Negeri Sembilan. Mereka juga membuat puluhan aduan polis, laporan kepada SUHAKAM dan puluhan rundingan. Setelah bertukar kerajaan, mereka masih berjuang untuk mendapatkan hak mereka.

Akhirnya, satu kejayaan dicapai apabila tuntutan pekerja direalisasikan hari ini. Mereka mendapat perumahan dengan harga yang sangat rendah, iaitu RM36 ribu pada zaman harga rumah hari ini adalah dalam lingkungan RM300,000. Selain itu, mereka juga diberikan sewa sementara menanti rumah siap dibina dan pembayaran boleh dibuat secara sewa beli. Kemenangan ini turut membawa erti tambahan apabila rumah baharu akan dibina di tempat yang diduduki mereka sekarang dengan kuil mereka kekal di tempat yang sama. Kini nama taman pun dipanggil Taman Kirby.

Hari ini, ramai bekas pekerja ladang yang amat gembira dan turut mengucapkan terima kasih kepada kami kerana sentiasa bersama mereka dalam perjuangan yang berpanjangan dan berliku-liku ini. Akhirnya, pengorbanan pekerja ladang untuk 3-4 generasi direstui. Saya berharap bahawa projek perumahan tetap dapat dibina di setiap ladang yang ada pekerja untuk menyanjungi sumbangan mereka.

Baca lebih lanjut tentang kronologi perjuangan pekerja Ladang Kirby di sini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *