36 tahun selepas Revolusi “Kuasa Rakyat” yang menjatuhkan rejim kediktatoran kleptokratik Ferdinand Marcos, Pilihanraya Umum di Filipina yang diadakan baru-baru ini telah menyaksikan kemenangan besar bagi anak bekas diktator itu dalam pertandingan untuk Presiden Filipina.

Daripada 98.35% keputusan yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Filipina (COMELEC), Ferdinand Romualdez Marcos Jr., atau lebih dikenali sebagai Bongbong Marcos, iaitu anak kepada bekas diktator Ferdinand Marcos, telah meraih hampir 59% undian, jauh meninggalkan calon-calon yang lain. Pesaingnya yang terdekat, Leni Robredo yang merupakan penyandang jawatan Naib Presiden Filipina, hanya memperoleh lebih kurang 28% undian.

Rakan segabungan Bongbong, Sara Duterte, iaitu anak kepada Rodrigo Duterte yang merupakan Presiden Filipina sekarang, telah meraih lebih 61% undian. Pesaingnya yang terdekat, Francis “Kiko” Pangilinan yang berganding dengan Leni Robredo, hanya memperoleh lebih kurang 18% undian. Di Filipina, pemilihan bagi kedua-dua Presiden dan Naib Presiden adalah secara langsung dan berasingan.

Dianggarkan lebih 80% daripada lebih 67 juta orang pengundi Filipina yang layak mengundi telah keluar mengundi pada 9 Mei 2022, untuk memilih pelbagai jawatan eksekutif dan perwakilan dalam dewan perundangan di pelbagai peringkat. Selain memilih Presiden dan Naib Presiden untuk peringkat nasional, pengundi-pengundi Filipina juga mengundi untuk 12 kerusi dalam Dewan Senat, kesemua 316 kerusi dalam Dewan Perwakilan, 81 jawatan gabenor dan naib gabenor, 782 kerusi dewan perundangan di semua wilayah, ratusan jawatan datuk bandar dan naib datuk bantar, serta ribuan kerusi dalam majlis perbandaran di semua bandar di Filipina.

Sebanyak 10 orang calon telah bertanding untuk jawatan Presiden Filipina. Selain dua orang calon yang berada di tangga teratas, iaitu Bongbong Marcos dan Leni Robredo, tiada calon lain yang memperoleh undian lebih 10%. Sementara itu, sebanyak 9 orang calon bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Berdasarkan Perlembagaan Filipina sekarang yang digubal selepas Revolusi “Kuasa Rakyat” pada tahun 1986 yang menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Ferdinand Marcos, penyandang jawatan Presiden dengan penggal 6-tahun tidak layak untuk sebarang pemilihan semula, maka Rodrigo Duterte selaku penyandang jawatan Presiden sekarang tidak boleh bertanding untuk Presiden, tetapi anaknya, Sara Duterte, telah bertanding untuk Naib Presiden, sebagai penyambung warisan politik Duterte.

Gabungan “Marcos-Duterte” turut menguasai kebanyakan kerusi dewan perundangan di semua peringkat yang dipertandingkan. Sokongan besar kepada gabungan politik antara keluarga Marcos yang mewarisi sejarah pemerintahan kediktatoran yang zalim dan Duterte yang terkenal dengan corak pemerintahan autoritarian selama 6 tahun lalu, merupakan produk daripada pengaruh kekuasaan dinasti politik yang berterusan dan kegagalan pembangkang arus perdana yang berfahaman liberal dalam usaha memajukan kesedaran politik rakyat melangkaui kerangka sistem dinasti politik yang mendominasi negara Filipina selama ini.

Gabungan “Marcos-Duterte” telah berjaya meraih undi yang banyak melalui kempen penyebaran maklumat palsu yang berleluasa, pertuduhan berniat jahat yang mensasarkan golongan pembangkang dan peningkatan pengerahan tentera di beberapa wilayah. Kempen Bongbong Marcos penuh dengan usaha penafian sejarah yang bertujuan untuk menjenama semula dinasti Marcos yang anti-demokratik dan mengaburkan kebenaran mengenai pencabulan hak manusia dan serta pencurian kekayaan negara semasa zaman pemerintahan kediktatoran Marcos, di samping memburuk-burukkan pesaingnya dengan dakwaan palsu.

Walden Bello, seorang ahli akademik dan aktivis sosial yang bertanding untuk Naib Presiden sebagai calon daripada parti berhaluan kiri Parti Massa Buruh (PLM), berkata selepas keputusan menunjukkan kemenangan besar “Marcos-Duterte”, “Negara ini bakal menghadapi enam tahun ketidakstabilan di bawah rejim akan datang. Sebagai sebuah pakatan yang bergabung untuk kesenangan sendiri, pasangan dinasti Marcos-Duterte akan bertuah jika dapat bertahan setahun sebelum ia dibatalkan oleh perbalahan yang tidak dapat dielakkan untuk perampasan jawatan. Satu sektor penduduk yang besar akan enggan memberikan legitimasi dan kredibiliti kepada pemerintahan keluarga pencuri. Birokrasi kerajaan mungkin akan berpecah, begitu juga dengan pihak tentera. Sokongan elektoral yang dibina di atas ilusi tentang Marcos menunaikan segala yang dijanjikannya di bawah matahari tidak lama lagi akan menjana kekecewaan dan kemudiannya kemarahan.”

“Tugas untuk tempoh yang akan datang ialah bukan sahaja memelihara hak demokratik kita daripada terus dihakiskan di bawah pemerintahan paksi kejahatan Marcos-Duterte. Ia juga untuk mengembangkan sokongan massa kepada masa hadapan sosialis demokratik bagi negara kita,” kata Walden Bello.

Parti Massa Buruh (PLM) telah meletakkan calon-calon yang membawa platform anti-kapitalis yang radikal dalam Pilihanraya Umum Filipina, dengan membariskan aktivis pekerja Leody De Guzman sebagai calon Presiden dan Walden Bello sebagai calon Naib Presiden. Undian yang diperolehi calon PLM untuk Presiden dan Naib Presiden sangat rendah, tetapi ini merupakan sesuatu yang sudah dijangkakan kerana ruangan untuk politik kiri dalam kerangka politik dinasti di Filipina memang sangat kurang. Leody De Guzman hanya meraih sebanyak 0.17% undian, sementara Walden Bello memperoleh 0.19% undian, dengan jumlah undi masing-masing menghampiri 100,000. Apa yang memberangsangkan ialah salah seorang calon PLM untuk Dewan Senat, Luke Espiritu yang merupakan seorang peguam dan aktivis buruh, telah meraih sebanyak hampir 3.5 juta undi (bersamaan lebih 6% undian), satu pencapaian yang menakjubkan bagi seorang calon berhaluan kiri yang bertanding untuk kali pertama bagi jawatan Senator. PLM telah mengemukakan platform politik anti-kapitalis yang radikal, merangkumi tuntutan seperti gaji minimum 750-peso (lebih kurang RM61) sehari, penghapusan sistem kontrak, cukai kekayaan terhadap golongan terkaya, pemansuhan Undang-undang Pentarifan Padi yang memangsakan petani kecil, pendapatan terjamin untuk semua warga Filipina, kesamarataan perkahwinan dan sebagainya, di mana tuntutan-tuntutan ini bergema dalam hati jutaan rakyat Filipina. Ini boleh menjadi asas kepada perjuangan massa yang seterusnya.

Seperti yang dikatakan oleh Reihana Mohideen yang merupakan pemimpin PLM dalam tulisannya sebelum pengundian pilihanraya, perjuangan menentang rejim yang berkuasa melalui penipuan pilihanraya memang tidak dapat dielakkan, dan “perpaduan di jalanan” menjadi penting dalam mobilisasi melawan rejim “Marcos-Duterte” yang bakal meneruskan warisan pemerintahan kediktatoran Marcos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *