Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan turun ke jalan raya untuk berhimpun secara aman bagi menggesa penangkapan dan pengadilan ke atas Azam Baki di samping menuntut rombakan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Aksi himpunan #TangkapAzamBaki akan diadakan pada 22 Januari 2022, 11 pagi, di hadapan SOGO Kuala Lumpur.

Integriti SPRM sedang tercabar pada masa kini dengan isu skandal yang melibatkan Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM. Dua laporan media yang diterbitkan pada 15 Disember 2021, mendedahkan isu pemilikan saham berlebihan yang melibatkan Azam Baki dan mungkin wujudnya salah guna kuasa. Laporan polis telah difailkan terhadap Azam Baki berhubung kes ini, dan ia juga dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Azam Baki dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 semasa Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri. Sejak skandal pemilikan saham berlebihan ini didedahkan, Azam Baki tidak memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berkenaan pembelian dan pemilikan saham tersebut. Sebaliknya, Azam Baki memfailkan saman dengan tuntutan sebanyak RM10 juta terhadap wartawan yang menulis laporan media mengenai isu pemilikan saham berlebihannya.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki yang disokong oleh 8 buah parti politik dan 16 buah organisasi masyarakat sivil, telah mengemukakan 3 tuntutan utama untuk mengelakkan episod rasuah daripada terus berulang:

  1. Tangkap Azam Baki dengan serta-merta;
  2. Mulakan segera proses undang-undang ke atas Azam Baki;
  3. Rombak SPRM dan letakkannya terus di bawah Parlimen.

“Negara ini sudahpun diselubungi kesan parah rasuah selepas tindakan pencurian bekas Perdana Menteri Najib Razak yang telahpun dikenakan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Penyakit rasuah memberi kesan pedih kepada rakyat pada waktu kos sara hidup serta harga barang giat meningkat. Tambahan pula, rakyat di 8 negeri yang terkesan banjir sedang terhimpit dengan cabaran memulakan semula kehidupan mereka tanpa bantuan kerajaan yang mencukupi,” begitu katanya kenyataan Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki.

“Setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri, termasuk menipu dan menyeleweng untuk kekal berkuasa,” ulas Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki. “Rakyat sekian lama dibiarkan tanpa penjelasan yang memuaskan daripada kerajaan dan pihak berkuasa. Malah mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang pada 19 Januari ini bagi menyiasat Azam Baki juga telah ditangguhkan. Maka apakah jalan lain bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan dan memastikan mereka yang diberi amanah menjalankannya dengan bebas dan adil?”

Oleh demikian, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turut bersama dalam aksi perhimpunan aman bagi menyuarakan tuntutan rakyat supaya ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan negara.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki juga menyeru pada mereka yang tidak dapat bersama dalam aksi protes pada 22 Januari 2022 untuk mengibarkan bendera hitam dan menggunakan tanda pagar #TangkapAzamBaki serta #RombakSPRM dalam setiap hantaran media sosial pada hari itu.

Organisasi-organisasi yang menyokong aksi himpunan anjuran Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki termasuk Angkatan Muda Keadilan, Pemuda AMANAH, DAPSY Malaysia, Pemuda HARAPAN, PEJUANG Muda, Pejuanita Muda, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Pemuda Sosialis, Sekretariat Solidariti Rakyat, Liga Rakyat Demokratik, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan sebagainya.

One thought on “Demonstrasi #TangkapAzamBaki gesa rombakan SPRM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *