oleh S. Arutchelvan

Sudah tiba masanya orang ramai berfikir untuk diri mereka dan ramai lagi yang senasib dengan mereka daripada memikirkan tentang segelintir orang kaya. Sudah tiba masanya kita memilih kuasa politik yang akan mengenakan cukai ke atas golongan mahakaya dan menggunakan wang itu untuk meningkatkan penjagaan kesihatan awam, menambahbaik infrastruktur luar bandar, membina rumah mampu milik dan meningkatkan gaji minimum.

Oxfam Antarabangsa mendedahkan bahawa bilionair Asia telah meningkatkan kekayaan mereka sebanyak 74 peratus manakala 148 juta orang yang lain di rantau ini telah dihimpit dalam kemiskinan sejak bermulanya wabak COVID-19.

Satu-satunya penyelesaian sedih yang orang ramai bercakap pada masa kini adalah tentang mengeluarkan simpanan KWSP mereka sendiri. Kita hidup dalam keadaan terdesak dan jelas bahawa majoriti orang terhimpit ke satu sudut manakala golongan mahakaya terus bermaharajalela meningkatkan keuntungan mereka.

Apabila setiap kali kita bercakap tentang meningkatkan gaji minimum, meningkatkan keselamatan sosial rakyat, kelas majikan akan mengatur diri mereka dan berjuang habis-habisan untuk memastikan gaji dan faedah kebajikan pekerja ditekan ke paras rendah. Parti-parti politik arus perdana masih percaya dan menganuti idea-idea lapuk seperti teori trickle-down effect dan keagungan dasar kapitalis neoliberal. Di Amerika Latin, satu demi satu kerajaan puak kanan jatuh kerana masalah majoriti rakyat tidak diselesaikan. Idelogi kapitalisme neoliberal gagal menyelesaikan masalah rakyat terbanyak

Sudah tiba masanya kita memilih parti yang dapat menangani kesusahan majoriti rakyat dan bukan menari dengan kepentingan segelintir kecil golongan kaya. Walaupun 40% daripada ekonomi kita dikawal oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun mereka tidak mempunyai misi untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan. Mereka hanya wujud untuk memberi gaji yang tinggi kepada golongan atasan dan memastikan mereka dapat membodek demi sokongan politik elit semasa.

Laporan Oxfam mencadangkan beberapa penyelesaian seperti peningkatan cukai ke atas individu dan syarikat kaya, dan pelaburan yang lebih besar dalam perkhidmatan awam dan perlindungan sosial. Perkara-perkara inilah yang dibincangkan oleh PSM sejak dahulu lagi yang sudah pastinya akan membantu dalam mengurangkan ketidaksamarataan dan menjamin masa depan yang lebih baik untuk ramai orang.

Politik dan polisi negara kita cenderung dipesongkan oleh persoalan diskriminasi kaum yang membuatkan kita sibuk bergaduh dan bertelingkah antara satu sama lain, padahal diskriminasi yang disebabkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin adalah lebih meruncing dan lebih parah. Ini masanya untuk membina gerakan rakyat terbanyak demi melawan polisi yang memperkayakan segelintir kecil orang kaya.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *