Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Gandipan Nantha Gopalan

1. Pemuda Sosialis mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang tidak melaksanakan semula Program Sarapan Percuma (PSP) bagi murid sekolah rendah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12

2. Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh UNICEF pada tahun 2018, ia didapati bahawa Malaysia sedang menghadapi masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak. Malaysia telah didapati merupakan antara negara yang paling teruk mengalami isu ini kalau dibandingkan dengan negara-negara ASEAN sekitar kita.

3. Data ini menunjukkan rakyat Malaysia memang mempunyai cabaran dalam mendapatkan makanan yang berkhasiat. Isu ini juga boleh dikait rapat dengan sosio-ekonomi rakyat di mana hanya golongan yang berada mempunyai akses kepada makanan yang berkhasiat (yang juga mahal) dan golongan marhaen makan berdasarkan apa yang boleh diperolehi berdasarkan kapasiti kewangan.

4. Pemuda Sosialis mendapati laporan ini tidak diambil berat oleh mana-mana blok politik. Walaupun Pemuda Sosialis gembira dengan program sarapan percuma yang diperkenalkan Dr. Maszlee Malik pada masa itu, kami juga kecewa dengan kadar peningkatan gaji minimum yang rendah yang secara langsung memberi impak kepada rakyat untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat.

5. Dr. Maszlee Malik pula dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa berdasarkan kajian, hampir 70 peratus murid tidak mengambil sarapan pagi pada hari persekolahan. Ini juga bermaksud bahawa Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disasarkan kepada pelajar B40 tidak mencukupi dan memadai.

6. Dalam situasi di mana purata gaji bulanan pada tahun 2020 turun 9 peratus, rakyat terpaksa mengeluarkan simpanan KWSP untuk menampung kehidupan semasa “lockdown”, tiadanya moratorium automatik, tiadanya program sokongan untuk rakyat yang kehilangan ahli keluarga yang merupakan punca pendapatan, Pemuda Sosialis khuatir bahawa keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan program sarapan pagi percuma ini hanya akan memberi impak negatif yang berlarutan kepada masalah nutrisi kanak-kanak di Malaysia.

7. Tambahan lagi, Pemuda Sosialis berpendapat bahawa tidak perlu diskriminasi dari segi pendapatan keluarga dalam pelaksanaan program ini. Setiap murid harus diberi sarapan berkhasiat secara percuma supaya tidak berlaku perpecahan antara mereka yang mungkin mengakibatkan perasaan kecil hati antara murid dari keluarga berpendapatan rendah dan juga meningkatkan insiden pembulian atas isu ini. Hubungan silaturrahim antara murid dari pelbagai latar belakang keluarga harus dipupuk melalui program ini, bukannya sebaliknya.

8. Apabila kerajaan hari ini dapat menukar kereta rasmi kerajaan dan melantik (baca: membeli) beberapa orang ahli politik dengan kerusi timbalan menteri dan posisi bertaraf menteri, tidak boleh kita ada justifikasi dari sudut fiskal untuk tidak melaksanakan program sarapan percuma ini kepada kanak-kanak kita.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

One thought on “Laksanakan semula Program Sarapan Percuma (PSP)!

Leave a Reply to qedx Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *