Puluhan ribu orang berdemonstrasi di pusat bandar Rom, Itali, pada 16 Oktober 2021, untuk bersolidariti dengan kesatuan sekerja di negara itu yang diserang oleh golongan fasis yang anti-vaksin. Aksi protes ini dipanggil oleh kesatuan-kesatuan sekerja nasional di Itali, termasuk Konfederasi Buruh Umum Itali (CGIL), Konfederasi Kesatuan Pekerja Itali (CISL) dan Kesatuan Buruh Itali (UIL). Orang ramai yang berprotes dalam demonstrasi ini mengecam serangan oleh golongan fasis terhadap pejabat CGIL di Rom pada 9 Oktober 2021.
Pada 9 Oktober 2021, berlakunya satu protes yang disertai oleh golongan anti-vaksin dan mereka yang membantah keputusan Kerajaan Itali yang mewajibkan “Pas Hijau” (sijil yang mengandungi maklumat lengkap mengenai vaksinasi, ujian negatif COVID-19 atau bukti pemulihan daripada penyakit yang terbaru) di tempat kerja yang berkuatkuasa mulai 15 Oktober 2021. Sebahagian daripada demonstran yang menyertai protes itu dalam jumlah ratusan orang, yang kebanyakannya dimobilisasi oleh Forza Nuova, sebuah parti politik pelampau kanan di Itali, telah menyerbu ke dalam ibupejabat CGIL dan merosakkan harta benda di dalam bangunan itu.
Serangan terhadap pejabat CGIL tersebut membawa kembali memori ngeri rakyat Itali mengenai serangan oleh golongan pelampau kanan terhadap kesatuan sekerja pada tahun 1920-an yang menandakan kemunculan zaman fasis di negara itu. Walaupun situasai pada hari ini amat berbeza berbanding 100 tahun dahulu, tetapi krisis sistem kapitalis yang semakin teruk dan kegagalan kerajaan negara borjuis untuk menangani ancaman neo-fasis, sedang membantu dalam perluasan fahaman pelampau kanan yang sempit. Kumpulan pelampau kanan di Itali cuba mempergunakan kesempatan kehidupan rakyat menjadi lebih susah kerana penularan wabak COVID-19 untuk menyebarkan fahaman fasis mereka yang bersifat rasis, anti-migran dan anti-demokrasi.
Kesatuan-kesatuan sekerja dan organisasi-organisasi politik yang progresif di Itali telah mengecam tindakan golongan fasis yang menyerang secara ganas terhadap pejabat CGIL. Sehari selepas serangan itu, iaitu pada 10 Oktober 2021, mobilisasi yang anti-fasis tercetus di seluruh negara Itali. Pada 11 Oktober 2021, dalam aksi mogok yang diadakan oleh kesatuan-kesatuan sekerja untuk membantah dasar Kerajaan Itali yang menghakis hak pekerja, pekerja-pekerja yang berprotes untuk menyuarakan kecaman mereka terhadap serangan fasis itu. Kesatuan-kesatuan sekerja utama di Itali kemudiannya menganjurkan satu lagi aksi massa anti-fasis pada 16 Oktober 2021.
Mereka yang bermobilisasi semasa aksi protes anti-fasis pada 16 Oktober 2021 melaungkan slogan “demi kerja, penyertaan, demokrasi” dan “tak nak lagi fasisme”. Aksi demonstasi ini juga disertai oleh kumpulan-kumpulan anak muda dan parti politik kiri, termasuk Partito della Rifondazione Comunista (PRC).
Semasa berucap dalam perhimpunan anti-fasis di Rom pada 16 Oktober 2021, Setiausaha Agung CGIL, Maurizio Landini, berkata, “Mobilisasi yang hebat ini bukan sahaja respon terhadap fasisme, tetapi lebih daripada itu: ia mewakili seluruh rakyat Itali yang inginkan perubahan. Menjadi anti-fasis sebenarnya bukan bermakna menentang seseorang, tetapi adalah demi demokrasi dan jaminan hak yang termaktub dalam Perlembagaan.”
“Melawan fasisme bermakna berjuang untuk demokrasi dan asas perjuangan ini, adalah maruah rakyat, kerja, dan budaya. Semenangnya oleh sebab ini, satu fasa perubahan sosial yang hebat adalah diperlukan di negara kita, bermula daripada menangani kecemasan kerja yang hebat: untuk mewujudkan kerja yang selamat dan terjamin. Namun, tindakan pertama hanyalah satu: kuasa yang menggunakan keganasan dan merujuk kepada fasisme itu harus dibubarkan,” kata Landini. Seruan kepada pihak berkuasa Itali untuk membubarkan kumpulan neo-fasis di negara itu semakin kuat.
Selain di Itali, aksi demonstrasi bersolidariti dengan CGIL juga diadakan di banyak bandar Eropah yang lain, termasuk aksi massa yang dianjurkan oleh Persekutuan Umum Pekerja Belgium (FGTB/ABVV) di Brussels.
Dalam keadaan krisis kapitalis yang mendalam, rakyat Itali dan banyak lagi negara lain bukan sahaja perlukan vaksin untuk melindungi diri daripada ancaman wabak COVID-19, malah juga perlu vaksin politik untuk menghindarkan masyarakat daripada ancaman keganasan fasis.
(sumber maklumat: Peoples Dispatch)
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.