Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

oleh Sivarajan Arumugam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan kenyataan YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail pada 24 Ogos 2021 di Dewan Undangan Negeri Pahang bahawa tiada kelulusan pajakan melombong untuk nadir bumi lantanid di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Jelai, Lipis, yang juga merupakan petempatan Orang Asli Pos Lanai.

Beliau mengatakan bahawa “Permohonan baru akan diproses oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan akan ada laporan awal teknikal. Ada dua perkara yang mesti dipatuhi iaitu Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Skim Pengendalian Melombong (OMS) sebelum pajakan lombong boleh diluluskan. Tanpa dua perkara ini, mereka tidak boleh beroperasi”. YAB Menteri Besar berkata demikian semasa menjawab soalan-soalan daripada YB Lee Chean Chung (ADUN Semambu – PKR) dan YB Young Syefura Othman (ADUN Ketari – DAP).

Walaupun penggerak projek (syarikat perlombongan) pernah melampirkan satu surat “kelulusan” daripada PTG Pahang dalam Laporan Terms of Reference EIAnya, tetapi kami berharap YAB Menteri Besar akan kekal dengan keputusannya untuk tidak meluluskan apa jua pajakan perlombongan nadir bumi dan terus membatalkan projek lombong nadir bumi lantanid di HSK Ulu Jelai ini.

PSM bersama pelbagai organisasi alam sekitar dan masyarakat yang prihatin telah menyuarakan bantahan kami terhadap projek ini kerana pencemaran alam sekitar yang teruk akan berlaku jika lombong toksik ini dibenarkan.

Perlombongan yang akan mengunakan suatu teknologi in-situ leaching ini melibatkan proses mengepam bahan kimia dalam tanah Hutan Simpanan Kekal untuk mengeluarkan mineral yang mengandungi unsur nadir bumi lantanid. Petempatan terdekat yang akan kena tempias projek perlombongan ini ialah Kampung Orang Asli Pos Lanai kerana tapak lombong berada di hulu Sungai Telom. Sungai Telom yang menjadi sumber air kepada semua aktiviti kebun dan penangkapan ikan komuniti Orang Asli Semai ini, mengalir betul-betul melalui tapak perlombongan ini!

Selain itu, yang merisaukan lagi ialah Sungai Telom dan juga Sungai Jelai merupakan lembangan sungai bagi Sungai Pahang yang menjadi sumber air untuk rakyat Pahang. Kami juga dimaklumkan oleh Pengurusan Air Pahang (PAiP) bahawa loji-loji air yang menggunakan Sungai Jelai telah ditutup sebanyak 23 kali sepanjang tahun 2020 oleh sebab aktiviti perlombongan dan perladangan yang mencemari punca air. Pihak Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) juga memberikan amaran bahawa terdapat 18 “water intake”, iaitu 5 loji rawatan di Sungai Jelai dan 13 loji di Sungai Pahang yang terpaksa ditutup jika pencemaran berlaku. Ianya akan menyebabkan bekalan air untuk lebih 120,000 akaun penguna terputus di seluruh Pahang.

Maka, kami berharap Kerajaan Negeri Pahang akan terus membatalkan projek ini, yang akan membawa kemudaratan jangka panjang kepada alam sekitar dan masyarakat setempat Orang Asli Pos Lanai. Tindakan sedemikian adalah selaras dengan hasrat KDYMM Pemangku Raja Pahang yang menekankan prinsip Environment, Social dan Governance (ESG) dalam titah baginda semasa pembukaan Dewan Undangan Negeri Pahang pada hari Isnin lalu.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *