(Rencana khas ulangtahun ke-10 kempen pembebasan EO6)
oleh S. Arutchelvan, 28 Jun 2021
Saya masih mengingati hari ini 10 tahun yang lalu. Pada waktu pagi, kami membuat satu kenyataan akhbar mengutuk akhbar Utusan Malaysia yang menyebarkan tohmahan palsu bahawa kempen aktivis PSM didalangi oleh agen luar negara. Rencana Utusan mendakwa bahawa dua orang tetamu PSM, iaitu Romy Castillo daripada Partido Lakas ng Masa, sebuah parti kiri di Filipina, dan Song Min-young, seorang intern daripada May 18 Foundation, sebuah NGO Korea Selatan, terlibat dalam konspirasi jahat untuk menggulingkan Keajaan Malaysia.
Dalam aduan polis yang berkenaan, kami mengatakan kelucuan cerita dongeng Utusan seolah-olah mendakwa bagaimana seorang daripada parti kiri dan seorang lagi dalam program berhaluan kanan bergabung tenaga untuk menggulingkan Kerajaan Malaysia.
Pada hari yang sama, di luar Balai Polis Kepala Batas, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, ahli-ahli keluarga kepada 30 orang aktivis PSM yang ditahan pada 25 Jun 2011 membuat cubaan untuk berjumpa dengan ahli keluarga mereka dan memberikan desakan agar aktivis-aktivis tersebut dibebaskan. Kami bersama keluarga tahanan PSM yang cuba berjumpa dengan ahli keluarga mereka yang ditahan, tetapi permintaan kami dinafikan. Kami kemudian hendak membuat aduan polis, tetapi kami hanya dibenarkan membuat aduan polis satu persatu. Maka ini semua mengambil masa dan menyulitkan mereka yang datang jauh ke balai tersebut. Pintu balai polis dikawal rapi.
Di bawah keadaan panas terik, kami cuba mendapat bantuan untuk mendirikan satu kawasan berteduh sementara. Maka ada beberapa orang aktivis daripada Pakatan Rakyat yang berkata akan mendapatkan dan mendirikan khemah untuk kami di luar balai polis. Memandangkan pada masa itu negeri Pulau Pinang adalah di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat dan konspirasi terhadap PSM adalah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN), maka kami yakin mereka akan mendapatkan khemah. Kebanyakan orang yang ditahan datang dari Perak dan tiada tempat penginapan untuk ahli keluarga mereka di Pulau Pinnag. Namun, khemah yang kami menanti-nantikan itu tidak kesampaian… Lama-kelamaan semakin jelas mereka tidak mahu mengambil risiko untuk mendirikan khemah.
Kemudian apabila hari sudah semakin lewat petang, kami berhadapan dengan satu lagi masalah besar. Satu kumpulan orang yang melaungkan slogan-slogan berkumpul dan kemudiannya berarak menuju ke arah kami. Kami mendapat berita bahawa kumpulan besar ini adalah daripada UMNO dan Pekida yang bertindak mengintimidasi kami apabila kami berkumpul untuk membuat aduan polis. Keadaan menjadi sangat tegang dan apabila saya meminta bantuan dan perlindungan polis, polis tidak berbuat apa-apa terhadap kumpulan ini, malah menyuruh kami beredar dari sana demi keselamatan kami. Kami juga merayu untuk perlindungan, tetapi polis langsung tidak menghirau. Inilah suasananya – pada ketika itu wujud satu perasaan macam mungkin satu isu perkauman yang besar akan meletup.
Pada masa yang sama, adanya dua pihak datang membantu kami, satu adalah pihak Hindraf di Pulau Pinang yang mengatakan akan menyediakan tempat tinggal untuk kami dan satu lagi adalah pihak parti PAS yang sedia membenarkan kami tinggal di sebuah surau berdekatan. Kedua-dua kumpulan berkata kami kena keluar dari kawaan ini untuk menghindarkan satu insiden yang tidak diingini.
Memikirkan isu ini secara mendalam dan matang, kami mengambil keputusan untuk menerima tawaran daripada Parti PAS Kepala Batas untuk mendapat perlindungan di berteduh di Markaz mereka dan memastikan samseng-samseng UMNO tidak mengganggu kami. Mereka juga memberikan kami makanan dan tempat untuk tidur. Dengan cara ini juga kami dapat menghindar isu ini dilihat sebagai satu isu perkauman dan kami boleh fokus kepada isu pokok, iaitu penahanan dan pemangsaan ahli-ahli PSM.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan Setiausaha Agung PSM pada ketika berlakunya insiden penangkapan terhadap aktivis-aktivis PSM pada tahun 2011.
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.