Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.
==========
PUTRAJAYA: Sekumpulan wakil warga Orang Kurang Upaya (OKU) telah berjumpa dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun, pada 26 April 2021, untuk menyampaikan ketidakpuasan hati mereka terhadap insiden layanan yang tidak profesional oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap warga OKU yang hendak membuat aduan mengenai tentang masalah bayaran elaun bulanan OKU mereka yang tergendala. Mereka juga mengutarakan isu Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan JKM yang bersifat birokratik dan menyusahkan golongan OKU.
Mereka yang hadir pada 26 April 2021 untuk menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, termasuk G. Francis Siva selaku Presiden Independent Living and Training Centre (ILTC) dan A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Menurut Francis Siva, ILTC tidak berpuas hati dengan insiden yang berlaku di Pejabat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 30 Mac 2021, di mana pegawai JKM di situ mengintimidasi dan mengugut golongan OKU yang hendak mengadu tentang elaun bulanan OKU mereka yang tergendala pada masa itu. Pihak Pejabat JKM Kuala Lumpur memberi layanan teruk kepada golongan OKU yang mengadu tentang masalah mereka itu dengan memanggil polis dan melayan mereka seperti penjenayah. Francis Siva berkata, “Lapan OKU yang berkerusi roda dan dua orang yang mempunyai kesukaran berjalan telah mengalami trauma kerana peristiwa tersebut. Kami ingin tahu kenapa polis dipanggil oleh JKM, dan sama ada ini dasar mereka untuk mengendalikan perkara sebegini. Adakah pegawai JKM bertindak mengikut dasar dan kod etika JKM semasa menjalankan tugas mereka?”
Isu yang hendak diadu oleh pihak ILTC pada 30 Mac 2021 di Pejabat JKM Kuala Lumpur ialah masalah Elaun Pekerja Cacat (EPC) yang dibayar kepada warga OKU telah diberhentikan secara tiba-tiba kerana mereka tidak mengisi Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan JKM (Borang 20). EPC diberikan kepada pekerja OKU yang mampu bekerja supaya mereka memperoleh bantuan untuk menampung kos sara hidup. Namun, sekiranya OKU yang menerima bantuan itu gagal mengemaskinikan maklumat mereka melalui Borang 20, bantuan bulanan yang dibayar kepada mereka akan ditamatkan kerana dianggap sebagai penerima bantuan yang “tidak sah”. Memandangkan keadaan negara kita masih melaksanakan kawalan pergerakan untuk membentung wabak COVID-19, ramai dalam kalangan warga OKU mendapati mereka tidak dapat pergi ke pejabat JKM untuk mengemaskinikan maklumat mereka. Warga OKU daripada ILTC telah pergi ke Pejabat JKM Kuala Lumpur pada 30 Mac 2021, untuk bertanyakan kenapa bantuan yang diberikan kepada OKU yang sah itu diberhentikan tanpa sebab. Namun, pihak JKM telah memanggil polis dan mengintimidasi mereka.
Oleh yang demikian, ILTC menuntut supaya pihak JKM memohon maaf atas tingkah laku pegawai JKM yang tidak profesional dan amat mengecewakan itu. “Matlamat JKM adalah untuk memastikan kebajikan OKU terpelihara, bukannya diintimidasi,” tegas ILTC dalam memorandumnya yang diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Selepas memberi tekanan, wakil daripada ILTC dapat berjumpa dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri untuk membangkitkan isu mereka. PSM telah membantu mereka dalam menyediakan memorandum yang diserahkan kepada Menteri.
Antara isu dan tuntutan yang telah dibangkitkan dalam memorandum kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah seperi berikut:
1. Hentikan amalan memaksa warga OKU mendaftar semula semasa PKP
Warga OKU telah disuruh oleh pihak JKM untuk mendaftar semula dengan mengisi Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan (Borang 20), selepas bantuan yang diterima oleh mereka sebelum ini diberhentikan. Persoalan di sini adalah, bagaimana warga OKU yang tinggal jauh hendak pergi ke pejabat JKM semasa pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Prosedur pembaharuan maklumat melalui pengisian borang ini menimbulkan kesukaran untuk warga OKU dan pesakit yang terbaring di atas katil (bedridden patient). Pada masa ini, Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan hanya boleh diisikan di pejabat JKM. Ini sangat menyusahkan golongan OKU kerana bukan semua warga OKU dan pesakit yang terbaring di atas katil itu mempunyai pengangkutan sendiri. Mereka perlu mengambil perkhidmatan Grab atau mendapatkan bantuan orang lain yang berkereta untuk menghantar mereka ke pejabat JKM. Walaupun begitu, adanya juga sesetengah OKU tidak dapat mengunjungi pejabat untuk mengisi borang tersebut kerana pelaksanaan PKP. Ini menyebabkan mustahil untuk mereka mendapatkan semula elaun EPC apabila bayaran EPC diberhentikan. ILTC mencadangkan supaya memberi pilihan kepada warga OKU untuk mengisi borang tersebut secara atas talian supaya kesulitan ini dapat dielakkan.
ILTC mencadang supaya memperkenalkan dasar baharu yang mengembalikan semua tunggakan bayaran EPC yang tidak diterima oleh warga OKU berkenaan bagi meringankan beban hidup mereka.
2. Penambahan bilangan pegawai JKM dan pekerja sosial yang melawat OKU di rumah kediaman
Pegawai JKM harus membuat lawatan lapangan (field visit) ke rumah kediaman OKU. ILTC difahamkan bahawa pegawai JKM berhenti memeriksa tempat tinggal warga OKU selepas pandemik berlaku, dan perkara ini telah menyebabkan warga OKU dan pesakit yang terbaring di atas katil tidak mendapat bantuan seperti makanan dan minuman. Pegawai JKM harus menyiasat keadaan tersebut dan menentukan mengapa sesetengah warga OKU gagal mengemaskini borang tersebut, bukannya memotong elaun mereka apabila gagal memperbaharui borang mereka. Ini juga memastikan keadaan hidup OKU itu memuaskan dan bantuan yang sesuai dapat diberikan kepada mereka.
3. Hapuskan “pita merah” yang menyukarkan kehidupan OKU
Kerajaan harus menyedari dan membincangkan masalah karenah birokrasi “pita merah” (red tape) dengan pertubuhan-pertubuhan OKU. Amalan “pita merah” telah menyebabkan sesetengah OKU kehilangan elaun yang sepatutnya diterima mereka. Salah satu amalan “pita merah” ini ialah keperluan untuk OKU hadir ke pejabat JKM setiap tahun untuk mengisi Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan walaupun teknologi masa kini telah dapat membolehkan proses ini dibuat secara automatik dan lebih cepat.
Rumusan cadangan daripada warga OKU
ILTC menyatakan bahawa mereka ingin berbincang lebih lanjut dan menukar pandangan dengan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengenai beberapa isu kritikal yang lain, supaya dapat memberi faedah kepada golongan OKU dan meningkatkan kualiti hidup mereka, seperti kebebasan kewangan dan membina hubungan positif antara golongan OKU.
ILTC telah mengemukakan cadangan-cadangan yang berikut:
- Memberi pilihan untuk mengisi Borang Kaji Semula Bantuan Kewangan JKM secara atas talian supaya isu elaun diberhentikan secara tiba-tiba itu dapat dielakkan. Talian hotline perlu disediakan untuk OKU yang memerlukan bantuan daripada JKM.
- JKM harus menambahkan bilangan pegawai yang turun padang melawat OKU, bukannya OKU yang dipaksa untuk pergi ke pejabat JKM. Semua OKU perlu dilawat secara berkala supaya JKM dapat mengetahui keadaan hidup OKU semasa. JKM juga perlu melaksanakan penilaian terhadap keadaan mereka untuk memahami isu-isu mereka dan menyelesaikannya. Susulan perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka supaya mereka dapat hidup dengan selesa.
- Konsultasi dengan pertubuhan-pertubuhan OKU sebelum memperkenalkan apa jua dasar atau peraturan baharu JKM. Konsultasi perlu dijalankan dengan OKU yang mempunyai pelbagai jenis kurang keupayaan untuk memahami situasi secara terperinci dan kemas kini tindakan yang perlu dilakukan.
- Pertingkatkan fungsi dan ketelusan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya. Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sepatutnya berfungsi untuk memberi manfaat kepada semua golongan OKU di Malaysia. Namun, daripada pengalaman ILTC yang terlibat dalam gerak kerja persatuan OKU dan aktivisme OKU selama 21 tahun, mereka tidak mendapat maklumat perkembangan daripada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya. Oleh itu, ILTC mencadangkan kepada Menteri untuk menwujudkan laman sesawang pada masa yang terdekat, supaya golongan OKU dan NGO dapat memperoleh maklumat terkini yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya.
https://partisosialis.org/ms/
Pada Kha, 29 Apr 2021, 6:31 PG PANGLIMA PEMUDA ARMADA BERSATU pedana N menulis:
> > > Pada Sel, 27 Apr 2021, 2:41 PTG Sosialis > menulis: > >> Sosialis PSM posted: ” PUTRAJAYA: Sekumpulan wakil warga Orang Kurang >> Upaya (OKU) telah berjumpa dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan >> Masyarakat, Rina Harun, pada 26 April 2021, untuk menyampaikan >> ketidakpuasan hati mereka terhadap insiden layanan yang tidak pro” >>
Hafizrelax26@gmail.com