10 tahun dahulu, pada 25 Januari 2011, tercetusnya gelombang kebangkitan rakyat yang hebat di negara Mesir sehingga menjatuhkan pemerintahan diktator Hosni Mubarak, dalam tempoh 18 hari. Peristiwa Revolusi Mesir 2011 merupakan sebahagian daripada gelombang “Musim Bunga Arab” yang melanda banyak negara di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara pada masa itu. Walaupun revolusi rakyat yang hebat di Mesir pada tahun 2011 berjaya menjatuhkan sebuah rejim autoritarian, tetapi hasilnya telah diculik oleh golongan elit politik yang mempunyai agenda politik yang tiada kaitan dengan pembebasan masyarakat, dan usaha mewujudkan keadilan sosial masih penuh dengan rintangan hebat.
25 Januari setiap tahun ialah “Hari Polis Kebangsaan” di Mesir. Asal usul sambutan Hari Polis Kebangsaan Mesir ini adalah untuk memperingati 50 orang anggota polis yang dibunuh pada 25 Januari 1952 dalam satu serangan oleh Tentera British ke atas balai polis di Ismaïlia. Pada masa itu, pihak British yang masih menduduki negara Mesir mengarahkan anggota-anggota polis di balai polis Ismaïlia untuk menyerahkan senjata mereka dan berundur keluar dari balai polis di situ. Anggota-anggota polis Mesir enggan menuruti perintah tersebut. Tentera British mengepung balai polis itu, sampai mengerahkan kereta kebal untuk menyerang dan mengambilalih balai polis itu. Peristiwa ini menjadi pemangkin kepada rampasan kuasa pada tahun yang sama, yang dilancarkan oleh kumpulan “Pegawai Tentera Bebas” di bawah pimpinan Gamal Abdel Nasser dan Muhammad Naguib, yang akhirnya menjatuhkan pemerintahan monarki dan menamatkan pendudukan Tentera British di Mesir.
Pada tahun 2009, Hosni Mubarak, Presiden Mesir pada masa itu, mengisytihar 25 Januari sebagai hari cuti umum, kononnya untuk mengiktiraf pengorbanan polis Mesir dalam mengekalkan keselamatan dan kestabilan negara Mesir. Namun, dua tahun kemudian, 25 Januari 2011 menjadi tarikh keramat yang mengubah sejarah Mesir dalam abad ke-21.
Pada 25 Januari 2011, protes jalanan tercetus di Mesir apabila ramai orang yang menyahut seruan aksi “Hari Kemarahan” turun berdemonstrasi di bandar-bandar utama di Mesir, termasuk Kaherah, Iskandariah, Ismaïlia, Mahalla al-Kubra, Suez, Mansoura, Aswan dan sebagainya. Rakyat Mesir turun berprotes di jalanan pada masa itu, kerana mereka amat tidak berpuas hati dengan masalah-masalah serius seperti kemiskinan, pengangguran, sekatan terhadap ruang demokrasi, keganasan polis dan korupsi.
Kebangkitan rakyat Mesir pada 25 Januari 2011 mendapat inspirasi daripada gelombang protes di Tunisia sebelum itu. Gelombang kebangkitan rakyat di Tunisia yang tercetus pada 18 Disember 2010, berikutan peristiwa seorang anak muda yang bernama Mohamed Bouazizi membakar dirinya di bandar Sidi Bouzid untuk membantah layanan buruk oleh pihak berkuasa tempatan yang menjejaskan mata pencariannya, kemudiannya berkembang menjadi revolusi politik yang menjatuhkan pemerintahan Zine El Abidine Ben Ali yang berkuasa di Tunisia selama 23 tahun, pada 14 Januari 2011. Kejatuhan rejim autoritarian di Tunisia telah merangsang golongan aktivis politik pembangkang di Mesir untuk melakukan aksi yang serupa.
Bermula dari 25 Januari 2011, dalam tempoh masa 18 hari, dengan protes jalanan yang besar-besaran, tindakan keras daripada rejim dan serangan ganas ke atas demonstran tetapi gagal mematahkan semangat perjuangan rakyat, aksi mogok pekerja dan pelbagai lagi pergolakan yang hebat, akhirnya Hosni Mubarak yang sudah berkuasa selama 30 tahun dijatuhkan pada 11 Februari 2011. Lebih 800 orang mati sepanjang tempoh pergolakan revolusi yang hebat itu.
Revolusi Mesir, bersama dengan Revolusi Tunisia, menjadi perangsang kepada aksi-aksi protes “Musim Bunga Arab” yang lain pada tahun itu. Dataran Tahrir di pusat bandaraya Kaherah, di mana massa rakyat Mesir berhimpun membanjirinya untuk memperjuangkan pembebasan semasa Revolusi 2011, menjadi salah satu lambang kepada gerakan kebangkitan rakyat yang hebat ini.
Namun, perjuangan pembebasan masyarakat bukan sekadar menjatuhkan rejim yang zalim sahaja. Ia memerlukan organisasi dan mobilisasi massa dari bawah yang berterusan, untuk menggerakkan perubahan sebenar terhadap sistem yang sedia ada dan mengelakkan hasil revolusi daripada diculik oleh kuasa reaksioner. Ini adalah cabaran hebat yang dihadapi oleh kebanyakan gerakan revolusi di dunia, dan Revolusi Mesir 2011 yang begitu hebat pun tidak dapat berkecuali.
Aksi protes yang hebat tercetus daripada kespontanan rakyat, telah mewujudkan keadaan revolusi yang menakjubkan, sehingga berjaya mendesak pihak Tentera Mesir yang sangat berkuasa itu untuk memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden Mesir. Akan tetapi, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang menggantikan Mubarak, adalah dipimpin oleh jeneral yang langsung tiada hasrat untuk menunaikan segala tuntutan revolusi. Tidak lama selepas kejatuhan rejim Mubarak, rakyat Mesir perlu berdepan pula dengan perjuangan menentang pemerintahan jeneral tentera yang cuba menangguhkan usaha pembaharuan demokratik.
Memang tidak boleh dinafikan bahawa kespontanan revolusioner mempunyai peranan dan kelebihannya dalam mewujudkan gelombang kebangkitan rakyat yang hebat, tetapi tanpa organisasi revolusioner yang membawa hala tuju dan program perjuangan kelas yang jelas, revolusi yang sehebat bagaimanapun akan menemui kesukaran untuk melepasi jalan buntu, malah boleh diculik oleh elit politik yang reaksioner untuk kepentingan mereka sendiri. Oleh sebab tiadanya gerakan kiri dan organisasi massa progresif yang tersusun pada ketika berlakunya Revolusi Mesir (salah satu puncanya adalah penindasan terhadap golongan kiri oleh rejim pemerintah Mesir sebelum itu), ia membolehkan organisasi konservatif yang lebih tersusun untuk mengambil kesempatan dan ruang yang terbuka supaya berkuasa. Mohamed Morsi daripada Ikhwanul Muslimun muncul sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden Mesir pada bulan Jun 2012, tetapi tindakan melulu kerajaan pimpinan Mohamed Morsi untuk memperkenalkan dasar yang konservatif dan mengeluarkan perintah yang memberi kuasa yang tidak terhad kepada dirinya, telah mencetuskan lagi gelombang protes rakyat yang hebat. Protes rakyat yang hebat pada bulan Jun 2013 akhirnya menyebabkan pihak tentera yang mengambil kesempatan itu untuk menjatuhkan Mohamed Morsi, dalam kudeta yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah el-Sisi pada 3 Julai 2013. Penyokong-penyokong Mohamed Morsi telah ditindas teruk oleh kerajaan pimpinan Abdel Fattah el-Sisi. Abdel Fattah el-Sisi mengekalkan kekuasaannya sebagai Presiden Mesir melalui pilihanraya yang tidak bebas, di samping menggunakan pelbagai kekerasan untuk melenyapkan suara pembangkang.
Revolusi Mesir 2011 yang menjatuhkan rejim Hosni Mubarak, merupakan satu revolusi yang hanya sampai separuh jalan, satu revolusi yang jauh belum selesai. Ruang kebebasan dan demokrasi masih disekat teruk oleh rejim yang memerintah Mesir sekarang, masalah ketidakadilan sosial masih berterusan. Perjuangan untuk menyempurnakan revolusi ini pasti akan disambung dan diteruskan oleh rakyat yang berkesedaran…