Kenyataan oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM)
Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) amat kecewa dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang menafikan pengorbanan pekerja pembersihan di hospital kerajaan. Dalam sidang Dewan Rakyat pada 30 November 2020, Mohd Redzuan menyatakan bahawa bayaran one-off RM300 kepada petugas barisan hadapan hanya untuk “orang yang lebih tinggi risikonya” seperti para petugas yang berurusan dengan gologan tinggi risiko atau pesakit.
Kesatuan ingin menekankan bahawa:
1. Pekerja Pembersihan di hospital kerajaan juga bekerja di hospital yang mengendalikan kes COVID-19 dan wad COVID-19. Mereka menjalankan tugasan mereka bersama-sama dengan petugas-petugas kesihatan yang lain. Pekerja pembersihan yang mencuci, membersihkan wad-wad COVID-19 dan juga adanya “berhubung secara langsung” (direct contact) dengan pesakit-pesakit di wad tersebut. Maka risiko yang dihadapi oleh pekerja pembersihan sama dengan petugas-petugas di wad COVID-19.
2. Ini adalah kali kedua, pekerja pembersihan tidak mendapat elaun/bayaran daripada kerajaan kepada petugas barisan hadapan (frontliner). Pada bulan Mac lalu, Kerajaan telah mengumumkan elaun khas RM600 kepada frontliner, tetapi pekerja pembersihan tidak diiktiraf sebagai frontliner, maka mereka tidak mendapat elaun khas ini. Dalam Belanjawan 2021, sekali lagi pekerja pembersihan tidak mendapat bayaran one-off RM300. Ini amat tidak munasabah, dan tidak hargai jasa pekerja pembersihan.
3. Menurut Mohd Redzuan, para petugas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti tentera, polis, kastam, imigresen dan RELA, akan mendapat bayaran one-off ini. Pekerja pembersihan yang juga mengorbankan keselamatan mereka sepatutnya juga berhak mendapat elaun dan bayaran ini.
4. Kesatuan ingin menegaskan bahawa pekerja pembersihan juga frontliner yang penting dalam usaha membendung wabak COVID-19. Justeru, hargailah jasa pekerja pembersihan. Berikan semua elaun khas yang boleh didapati oleh frontliner kepada pekerja pembersihan juga.
One thought on “Jangan anaktirikan pekerja pembersihan di hospital kerajaan”