oleh Gandipan Nantha Gopalan

Terlebih dahulu, Pemuda Sosialis ingin merakamkan terima kasih kepada ahli-ahli politik yang lebih berbincang mengenai keberkesanan polisi terhadap rakyat dan kurang ‘taksub’ mengenai defisit perbelanjaan. Inilah masanya untuk kita memahami bahawa sesebuah kerajaan yang mempunyai sistem kewangan yang berdaulat seperti Malaysia tidak mempunyai kekangan untuk berbelanja melebihi hasil selain daripada inflasi.

Walaupun kita faham bahawa adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyuntik lebih banyak dana ke dalam ekonomi tempatan ketika berlakunya kemelesetan untuk memesatkan kadar pertumbuhan ekonomi, Pemuda Sosialis khuatir bahawa perbelanjaan kerajaan dalam Belanjawan 2021 kurang memuaskan dan tidak berpotensi menjana nilai yang sepadan dengan perbelanjaan. Dalam kenyataan ini, kami fokus kepada penjanaan pekerjaan.

Pemuda Sosialis amat tertarik dengan skim JanaKerja di mana sebanyak RM3.7 bilion akan dibelanja untuk mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baharu, termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula. Persoalan-persoalan yang timbul di sini adalah:

a) Dalam 500,000 peluang pekerjaan yang dikatakan itu, berapa banyak pekerjaan akan diwujudkan dalam kapasiti sektor awam/kerajaan dan berapa banyak melalui swasta?
b) Jikalau 75% dalam 500,000 (iaitu 375,000) peluang pekerjaan melibatkan pihak swasta terutamanya melalui pelaburan asing, apakah faktor yang menyumbang kepada anggaran ini dalam situasi ekonomi yang merudum ini?
c) Apakah kekurangan atau ketidakpadanan kemahiran faktor utama pengangguran berlaku di negara kita?

Pemuda Sosialis berasa bahawa formula yang digunakan kerajaan-kerajaan sebelum ini untuk mewujudkan pekerjaan, iaitu bergantung kepada sumber swasta dan pelabur asing, nyata tidak berhasil. Ini amat ketara dengan pertumbuhan gaji rakyat Malaysia yang tidak sepadan dengan kadar inflasi serta sistem kontrak menindas yang semakin berleluasa.

Pihak swasta selalunya hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan berusaha untuk memaksimumkan dividen yang diterima oleh pelabur melalui cara meminimumkan kos, seperti gaji pekerja dikekalkan rendah. Dalam situasi sekarang, di mana ramai orang telah diberhentikan kerja, pihak swasta hanya akan menawar pekerjaan yang bergaji rendah dan kurang berfaedah. Pada masa yang sama, pihak swasta juga akan mengambil apa-apa insentif kerajaan seperti pengecualian cukai dan subsidi gaji. Situasi ini ibarat kerajaan membayar pihak swasta untuk melemahkan kuasa pekerja.

Pemuda Sosialis ingin menekan akan kepentingan skim jaminan pekerjaan untuk membendung pengangguran dalam ekonomi ini. Belanjawan 2021 ini sangat bergantung kepada pemain-pemain pasaran untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Insentif-insentif untuk para majikan adalah satu pendekatan yang lama dan diperbaharui melalui nama-nama baru, namun tidak memberi impak yang berkesan dalam usaha mengurangkan pengangguran yang melanda di negara kita.

Pemuda Sosialis dengan ini mencadangkan:

1) JanaKerja perlu memberi tumpuan kepada mewujudkan peluang pekerjaan dalam kapasiti kerajaan yang memberi gaji yang berpatutan dan memberi keselamatan sosial. Sekurang-kurangnya, pelaburan kerajaan bersama pihak swasta patut bersifat usahasama di mana pihak kerajaan memiliki saham yang berpatutan supaya ada pemilikan rakyat dalam pelaburan itu.
2) Satu jawatankuasa harus diwujudkan yang merangkumi pakar-pakar dari semua sektor ekonomi untuk membincang tentang sektor yang boleh diambil bahagian oleh kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Beberapa sektor seperti pertanian, penjanaan tenaga bersih serta perumahan adalah contoh sektor yang memerlukan pertolongan pada masa ini.
3) Dengan kadar pengangguran yang tinggi, pemain pasaran berpotensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang memberi gaji kurang daripada yang berpatutan. Penindasan ini boleh diatasi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang berpatutan di mana pekerja boleh memilih peluang yang sesuai dan meninggalkan pekerjaan yang membayar gaji yang kurang daripada yang berpatutan.
4) “Bayaran one off” bukanlah sesuatu yang berkesan dari segi ekonomi. Ia hanyalah satu pendekatan jangka masa pendek dan kemelesetan ekonomi ini dijangka akan melanda sekurang-kurangnya untuk 6 bulan yang akan datang. Golongan B40 memerlukan sokongan kewangan yang berterusan untuk memenuh keperluan asas mereka.
5) Menjadikan semua pekerja yang bekerja di premis pekerjaan sebagai pekerja kerajaan. Pekerja-pekerja pembersihan dan pengawal-pengawal keselamatan perlu dijadikan pekerja kerajaan dengan gaji yang berpatutan kerana pekerjaan-pekerjaan tersebut adalah nyata dan sentiasa yang diperlukan. Penyerapan mereka ke dalam sektor kerajaan adalah satu permulaan baik untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang munasabah.

Di samping kritikan di atas, Pemuda Sosialis juga mengalu-alukan keputusan kerajaan dalam menyediakan 500 peluang pekerjaan kepada orang asli dan komuniti tempatan untuk bekerja sebagai jurupandu pelancong dalam sektor eko-pelancongan. Program MyStep yang memberi peluang pekerjaan jangka masa pendek melalui kontrak boleh ditambahbaik dengan menjadikan pekerjaan-pekerjaan tersebut pekerjaan tetap dengan gaji yang berpatutan.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.

One thought on “Bilakah kebergantungan penuh terhadap pasaran bebas akan berakhir?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *