Saleha binti Abdullah, seorang penduduk yang tinggal di Cameron Highlands selama 41 tahun, tidak mampu memiliki rumah kediaman di situ kerana harga rumah yang tinggi, dan hanya boleh membeli rumah PPR. Kaneswary yang tinggal di Cameron Highlands selama 12 tahun juga berkata bahawa dia hanya mampu mendapatkan rumah PPR sewa-beli. Inilah suara hati ramai penduduk B40 di Cameron Highlands, Pahang, yang tidak mempunyai rumah sendiri walaupun sudah lama duduk dan membanting tulang di situ.
Seruan penduduk Cameron Highlands untuk menggesa pihak kerajaan supaya membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cameron Highlands ini telah diketengahkan dalam satu sidang akhbar atas talian yang dianjurkan pada 30 Oktober 2020 oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands.
Menurut A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM, Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands ditubuhkan kerana isu perumahan yang dihadapi oleh penduduk Cameron Highlands memang sudah lama wujud dan masih belum selesai sehingga kini. PSM Bersama dengan JRM Cameron Highlands telah melakukan tinjauan tentang masalah perumahan penduduk Cameron Highlands dan melancarkan kempen untuk menuntut pembinaan rumah PPR.
“Daripada tinjauan kami, sekurang-kurangnya 80% penduduk di Cameron Highlands tidak mampu membeli rumah di situ. Kita dapat lihat bahawa walaupun terdapat projek-projek perumahan di Cameron Highlands, tetapi kebanyakannya dibeli oleh orang bukan penduduk tempatan untuk tujuan menyewa kepada orang yang datang melancong. Rakyat yang memerlukan rumah tetapi tidak dapat membeli rumah. Inilah masalahnya,” ulas Sivarajan.
JRM telah pun membawa tuntutan penduduk Cameron Highlands ini kepada perhatian Kerajaan Negeri Pahang, dengan seruan kepada Kerajaan Negeri supaya memperuntukkan tanah untuk pembinaan rumah PPR, dengan mengadakan aksi penyerahan memorandum pada tahun yang lalu. Kerajaan Negeri Pahang sebenarnya telah mengenalpasti lokasi Batu 33, Ringlet, untuk tapak perumahan PPR, dan mengajukan cadangan ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak Rancangan Malaysia ke-11, namun belum ada apa-apa lagi perkembangan dari segi pelaksanaan. Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk melaksanakan projek pembinaan rumah PPR ini.
Perumahan kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah yang terakhir di Cameron Highlands dibina sudah lebih 40 tahun dahulu. Tiada lagi perumahan yang mampu dicapai oleh golongan berpendapatan rendah B40 sejak itu.
Menurut Nadarajan, seorang penduduk di Cameron Highlands yang juga merupakan anggota JRM, lebih kurang 1,000 keluarga miskin di Cameron Highlands tidak mampu beli rumah. Mereka yang tidak memiliki rumah terpaksa menyewa rumah, tetapi sewa rumah juga amat membebankan. Sewa rumah boleh mencecah RM500 untuk satu bilik dan RM1,000 hingga RM1,800 untuk satu unit rumah. Walaupun Kerajaan membina rumah PR1MA yang dikatakan rumah mampu beli, tetapi rumah PR1MA dijual dengan harga yang mahal mencecah RM200,000 dan ke atas, menyebabkan ramai penduduk tidak mampu menampung dari segi kewangan. Ramai penduduk Cameron Highlands tidak mempunyai slip gaji, menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pembelian rumah. Mereka juga susah mendapatkan pinjaman daripada bank kerana kebanyakan penduduk yang bekerja di kebun berpendapatan tidak tetap. Nadarajan berpendapat bahawa kebanyakan penduduk Cameron Highlands B40 hanya mampu membeli rumah PPR pada harga RM42,000 hingga RM70,000.
JRM telah melancarkan satu kempen petisyen atas talian untuk menggesa Kerajaan supaya meluluskan projek PPR untuk Cameron Highlands dalam Belanjawan 2021. Petisyen yang ditujukan kepada Mustapa Mohamed selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) dan Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini, telah mendapat lebih 1,100 tandatangan sokongan setakat 28 Oktober 2020. JRM bersama dengan PSM akan terus mendesak pihak kerajaan supaya melaksanakan pembinaan rumah PPR yang merealisasikan hak perumahan untuk golongan berpendapatan rendah di Cameron Highlands.