Y. Kohila, seorang aktivis sosial, telah dipecat oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2017 kerana penglibatannya dalam aktivisme pada masa di luar kerjanya. Antara pertuduhan terhadap Kohila adalah mengeluarkan kenyataan melalui Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) untuk menyokong penyertaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pilihanraya umum dan memakai kemeja-T yang membantah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) semasa perhimpunan Hari Pekerja. Aktiviti-aktiviti ini diadakan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional di mana GST telah diperkenalkan oleh kerajaan pada masa itu.

Kohila mencabar keputusan Bank Negara memecatnya kerana ini merupakan pembuangan kerja yang tidak sah dan mencabuli hak kebebasan asasnya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Bank Negara telah bertindak secara berat sebelah dan berniat jahat apabila memecat salah seorang kakitangannya kerana aktivitinya yang dilakukan semasa masa lapang di luar kerja. Berpandangan berbeza bukannya jenayah.

Pada 9 Oktober 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Ahmad Bache, telah menolak permohonan daripada Bank Negara mengenai persoalan undang-undang di bawah Aturan 33 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 dan memutuskan untuk meneruskan perbicaraan penuh. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyatakan bahawa beliau mengambil pendekatan yang menyeluruh dan hanya perbicaraan penuh akan mewujudkan keadaan yang adil untuk kedua-dua pihak.

Semasa memberi penghujahan pada 9 September 2020 untuk permohonan di bawah Aturan 33 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, peguam yang mewakili Bank Negara, Steven Thiru, berhujah bahawa mahkamah patut memutuskan terlebih dahulu persoalan berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan ini akan menjimat 50% masa untuk perbicaraan. Namun, peguam yang mewakili Kohila, Lim Wei Jiet, berhujah bahawa pihak Bank Negara hanya cuba membincangkan salah satu daripada enam perkara yang dibangkitkan dan hujahan mereka hanya andaian hipotesis untuk menyekat pihak Kohila daripada mengutarakan isu ini secara mendalam.  

Persoalan undang-undang yang dibawa oleh Bank Negara adalah sama ada Kod Etika Bank Negara selari dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak. Namun, peguam wakil Kohila berhujah bahawa mereka mempersoalkan pelaksanaan kod etika tersebut bukannya sama ada ia selari dengan Perlembagaan atau tidak. Selain itu, prguam wakil Kohila juga mengatakan bahawa Bank Negara tidak patut mengehadkan penghujahan pembelaan kepada skop yang sempit.

Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi berkata pada 9 Oktober 2020 bahawa persoalan utama di sini adalah adakah perkara ini akan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Beliau memutuskan bahawa ia tidak akan menjimat apa-apa masa, dan untuk menegakkan keadilan, adalah terbaik untuk seluruh isu ini dibicarakan secara penuh. Hakim mengatakan bahawa kedua-dua pihak patut diberikan peluang yang adil untuk menyampaikan penghujahan mereka. Namun begitu, Hakim masih menyatakan hasratnya untuk meminta kedua-dua pihak berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dan jika tidak beliau hendak kes ini dibicarakan secepat mungkin. Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 11-14 Januari 2021.

Kohila telah diwakili oleh peguam Bawani KS pada 9 Oktober 2020 sementara Bank Negara diwakili oleh peguam Steven Thiru. Turut hadir bersolidariti dengan Kohila ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Soh Sook Hwa selaku Bendahari PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *