20200507 - pascacovid (2)

[Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan cadangan Strategi Nasional untuk Menjamin Kesejahteraan Rakyat Pasca COVID-19, dalam satu sidang akhbar atas talian yang diadakan pada 7 Mei 2020.]

Malaysia menghadapi cabaran terbesarnya selepas zaman kemelesetan ekonomi tahun 1996-1997, dengan berlakunya pandemik COVID-19. Pandemik global ini, yang membawa kepada langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan semua aktiviti ekonomi dan sosial telah mengakibatkan rakyat terjejas dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial. Walaupun Kerajaan telah mengambil langkah-langkah segera dalam menangani kesan pelaksanaan PKP dan melancarkan 3 Pakej Rangsangan Ekonomi demi membantu rakyat dan meransang semula ekonomi negara, tetapi PSM berpandangan bahawa ini hanya merupakan langkah jangka masa yang pendek dan tidak menyeluruh.

Oleh itu, PSM mencadangkan satu STRATEGI NASIONAL PASCA COVID19. PSM akan menggunakan dokumen asas ini untuk menerangkan kepada rakyat dan mendesak Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin, tentang keperluan langkah-langkah drastik demi menjamin kesejahteraan rakyat pasca COVID-19 . Tuntutan-tuntuan ini akan dibawa sebagai satu kempen untuk mendesak agar Kerajaan dengan segera mengambil beberapa langkah konkrit seperti berikut yang kami harap akan membantu rakyat dalam mengharungi kesan pandemik COVID-19.

1. MENGUTAMAKAN PROGRAM MEMANTAU DAN MENGAWAL PENULARAN COVID-19

Keselamatan rakyat kita harus menjadi keutamaan kita semua. Antara perkara yang harus diambi berat adalah, terus memastikan keselamatan rakyat biasa berkaitan jangkitan COVID-19 melalui:

  • Pemantauan ke atas pasar, pasar malam, pasaraya dan tempat awam yang lain;
  • Pengasingan kes yang dikenalpasti sehingga keputusan negatif ujian saringan swabnya;
  • Kuarantin semua kontak kes yang dikenalpasti;
  • Pengumuman status kawalan mengikut pecahan daerah supaya aktiviti ekonomi boleh dibenar ataupun dikawal.

Amatlah penting untuk pelonggaran PKP dalam beberapa sektor perniagaan dan industri dilakukan secara berperingkat dengan pematuhan ketat oleh majikan pada syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Jika ianya tidak dipatuhi, maka akan berlaku semula lonjakan dalam bilangan kes dan segala usaha PKP fasa 1, 2 dan 3 akan gagal. Kerajaan harus dengan serius dalam mengerahkan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), MITI dan agensi sokongan lain untuk memastikan pematuhan diikuti.

  • Lindungi keselamatan kakitangan kesihatan. Bekalan pakaian keselamatan mesti mencukupi.
  • Kapasiti kita untuk melakukan ujian COVID-19harus ditingkatkan lagi.
  • Menyediakan asrama untuk tujuan mengkuarantin rakyat Malaysia dan juga pekerja migran yang merupakan kontak pesakit COVID-19. Asrama ini mesti membekalkan makanan yang mencukupi untuk semua orang yang dikuarantin.

2. MEMBINA SEMULA KEUPAYAAN PRODUKTIF NEGARA

Lanjutan daripada bantuan-bantuan yang telah disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Kerajaan harus melanjutkan pakej rangsangan untuk tempoh yang lebih lama terutamanya kepada PKS mikro.

Dana Kerajaan juga tidak harus digunakan untuk menyelamatkan (bail-out) syarikat korporat besar.

Kerajaan harus menasionalisasikan sektor perkilangan produk keperluan asas untuk memastikan bekalan tidak tergendala. Kilang seperti Imperial Garment, sebuah kilang pengeluar tekstil besar, baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan menutup kilang mereka. Kilang seperti ini harus diambilalih oleh Kerajaan untuk tujuan mengeluarkan pakaian keselamatan bagi kakitangan kesihatan kita dan juga untuk dieksport ke negara-negara sedang membangun yang menghadapi kekurangan dalam kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Kilang-kilang elektronik yang kehilangan pasaran luar negara harus dibantu supaya menukar pengeluarannya kepada pembuatan “termometer infra-merah” yang kita harus guna di semua tempat kerja untuk memeriksa suhu badan semua pekerja dan pelanggan, serta pengimbas infra-merah yang boleh digunakan oleh anggota unit kawalan kerajaan tempatan untuk memantau pelanggan yang datang ke pasar supaya mereka yang demam boleh dinasihati untuk mengasingkan diri dan berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Peralatan ujian untuk RNA COVID-19 dan juga antibodi melawan COVID-19 harus dibuat di Malaysia dalam skala yang besar. Kita memerlukan ujian-ujian ini. Banyak negara di Asia dan Afrika juga akan meminta ujian ini.

Kita juga dapat memacu ekonomi negara dengan melancarkan program-program yang bermanfaat, yang membantu rakyat biasa, dan juga memulihkan alam sekitar, antaranya:

  • Pembinaan tapak pelupusan sampahyang selamat dan mampan, supaya sampah domestik dan industri tidak menghancurkan alam sekitar kita.
  • Penanaman semula pokok di kawasan yang telah dibalak.
  • Insentif khas kepada industripembuatan yang berjaya menukar keupayaan produksinya daripada menghasilkan barangan bukan keperluan asas (nonessential) ke barangan keperluan asas (essential) harus disediakan.

3. TINGKATKAN KEUPAYAAN KHIDMAT KESIHATAN NEGARA

Banyak skop perkhidmatan biasa dalam sistem kesihatan awam kita telah ditangguh kerana hospital-hospital awam kita terpaksa memfokuskan wabak COVID-19. Oleh itu, banyak rawatan bagi penyakit lain seperti batu hempedu atau batu karang ataupun barah usus, telah ditunda kerana hospital kerajaan tidak ada kapasiti untuk melakukannya. Kekurangan ini harus ditangani. Hospital-hospital Daerah harus dipertingkatkan supaya pembedahan dapat dijalani. Jika perlu, pakar-pakar di sektor swasta harus dijemput datang dan bekerja secara “bersesi” (sessional) untuk menangani kes-kes penyakit lain yang telah diabaikan dalam 2 bulan yang lalu. Peruntukan Belanjawan Kementerian Kesihatan juga harus ditingkatkan untuk mempertingkatkan sektor khidmat Kesihatan Awam.

Pandemik Global COVID-19 telah membuktikan betapa pentingnya untuk sesebuah negara mempunyai khidmat kesihatan awam yang mantap. Oleh itu, Kerajaan harus mengatur semula dasar kesihatan awamnya agar memfokus dalam menambahkan dan mengekalkan bilangan doktor, doktor pakar, jururawat dan pembekal khidmat kesihatan yang lain dalam sektor awam. Hentikan penswastaan perkhidmatan sokongan seperti pembersihan dan penyelengaraan agar mereka menjadi barisan hadapan dengan jawatan tetap dalam perkhidmatan awam. Hentikan promosi program pelancongan kesihatan dan program Pesakit Bayar Penuh di hospital kerajaan, supaya tenaga kerja dalam sektor awam dapat memberikan khidmat tanpa berbelah bahagi kepada pesakit hospital awam. Hentikan penswastaan stor bekalan ubat, demi mengurangkan kos perolehan dan birokrasi. Elakkan daripada menandatangani apajua Perjanjian Perdagangan Bebas Antarabangsa yang meningkatkan hakmilik paten syarikat farmaseutikal, monopoli pasaran dan meningkatkan harga ubat.

Pengalaman COVID-19 telah membuktikan betapa pentingnya untuk menyediakan akses khidmat kesihatan awam kepada semua tanpa mengira kewarganegaraan. Demi menjamin kesihatan awam, maka warga asing tidak kira mereka yang ada dokumen, tanpa dokumen, pelarian, dan sebagainya, haruslah disediakan akses rawatan yang samarata dan dengan kos yang mampu untuk mereka. Kerajaan harus mengumumkan moratorium ke atas kesalahan imigresen untuk tahun ini supaya menggalakkan kaum pekerja migran untuk bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dalam memeriksa, mencari kontak dan mengasingkan orang yang disyaki sebagai pesakit COVID-19.

4. WUJUDKAN SKIM BANTUAN PENGANGGUR UNTUK TANGANI KEHILANGAN KERJA RAKYAT

Sesebuah masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua keluarga boleh cari makan – iaitu mereka boleh memerolehi pendapatan untuk membeli barangan keperluan keluarga.

Adalah dianggarkan seramai 2.5 juta rakyat pekerja Malaysia akan kehilangan kerja akibat PKP COVID-19 ini. Skim Insurans Pekerjaan yang sedia ada dan bantuan yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi tidak mencukupi untuk mengurangkan beban rakyat pekerja kerana ianya bergantung pada majikan untuk mendaftarkan pekerja. Skim ini juga tidak meliputi pekerja kontrak yang tidak ada majikan tetap ataupun peniaga kecil (yang tidak berdaftar dengan PERKESO). Kita memerlukan satu skim yang lebih menyeluruh dan ianya harus diperkembangkan kepada pekerja informal. Maka, kita perlu skim yang berasaskan konsep Pendapatan Asas Sejagat (Universal Basic Income) untuk semua rakyat yang hilang punca pendapatan mereka, termasuk pekerja harian, pekerja kontrak, dan peniaga kecil.

  • Bayaran setiap bulan sehingga pekerja itu dapat mencari kerja baru atau peniagaan baru.
  • Tidak mengandungi syarat mencarum terlebih dahulu

Apabila sektor swasta gagal menawarkan kerja, maka Kerajaan harus menggantikan tempat dan menjadi pihak yang dapat menawarkan kerja. Bidang-bidang ekonomi baru harus dibuka seperti industri jana elektrik daripada sumber boleh diperbaharui (renewable energy), industri baikpulih alam sekitar dan sebagainya.

Kerajaan harus menggunakan langkah fiskal dengan meningkatkan perbelanjaan pembinaan infrastruktur asas, sekaligus menjana pekerjaan dan menjana rantaian ekonomi domestik . Bayaran gaji kepada pekerja dalam kerja-kerja awam akan menjana permintaan pasaran dalam negeri dan ini akan menggalakkan PKS untuk mengeluarkan barangan yang diperlukan oleh rakyat.

5. TINGKATKAN JAMINAN BEKALAN MAKANAN

Malaysia amat terkesan dengan impak bekalan makanan luar, kerana kadar import negara kita yang tinggi untuk memenuhi keperluan tempatan. Maka kita perlu meningkatkan keupayaan dalam negeri, memastikan faktor luar tidak menjejaskan bekalan makanan. Syarikat perladangan besar yang juga merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus memperuntukan 10% daripada simpanan tanahnya untuk ditukarkan daripada tanaman pertanian komoditi eksport kepada tanah pertanian makanan harian. Pekebun kecil getah dan kelapa sawit juga harus digalakkan untuk berbuat demikian dengan memberikan insentif beralih ke tanaman pertanian makanan harian.

Hentikan pengusiran terhadap petani dan penternak yang sedang bercucuk tanam dan menternak di atas tanah kerajaan atau swasta. Hakmilik sementara dari 20 hingga 30 tahun harus diberikan agar mereka boleh melabur secara efektif dan menghasilkan produk tani untuk rakyat. Perkenalkan kemudahan keselamatan sosial kepada petani seperti skim PERKESO dan pencen agar pendapatan bidang pertanian menjadi lebih stabil dan menarik minat daripada anak muda untuk menceburkan diri dalam bidang ini.

Program hantaran bekalan makanan dari stok kerajaan ataupun pihak NGO harus dilanjutkan sehingga bulan Disember 2020, terutamanya kepada keluarga B40.

6. PEMBASMIAN KEMISKINAN

Cabaran yang besar adalah untuk memastikan warga berpendapatan rendah B40 (pendapatan isi rumah < RM4000 sebulan) tidak terjerumus dalam kemiskinan, kerana kehilangan mata pencarian. Oleh itu, langkah Kerajaan memberikan bantuan sara hidup RM1,600 kepada 4 juta isi rumah harus dipanjangkan sehingga isi rumah tersebut dapat kembali memperolehi pendapatan RM4000 dan lebih. Golongan B40 yang berdaftar dalam Bantuan Sara Hidup harus diberikan diskaun 50% dalam pembayaran bil elektrik TNB, bil telefon bimbit, kemudahan multimedia Unifi, Maxis dan sebagainya sehingga bulan Disember 2020.

Penambahan stok rumah-rumah teres di semua daerah untuk disewa kepada B20 yang tidak mempunyai rumah mereka sendiri.

7. BIAYAI BANTUAN DENGAN PERCUKAIAN KE ATAS GOLONGAN MAHAKAYA DAN KORPORAT

Kesemua bantuan yang penting untuk rakyat perlu diteruskan, tetapi dari mana pula datangnya dana tersebut? Selain daripada meningkatkan pinjaman Kerajaan melebihi tahap 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (yang akan membebani rakyat pada masa akan datang), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) harus memperkenalkan dasar baru untuk mencukai golongan 10% yang terkaya di Malaysia. Peningkatan cukai pendapatan bagi golongan ini, cukai harta (harta-harta yang bernilai melebihi RM1 juta), dan cukai keuntungan modal daripada saham perlu diperkenalkan. Kerajaan juga perlu mengenakan cukai ke atas aset kewangan seperti bon yang melebihi RM1 juta, mungkin cukai sebanyak 2%.

Hentikan semua insentif cukai dan pengecualian cukai kepada syarikat multinasional (MNC) yang telah menikmati insentif tersebut melebihi 5 tahun.

8. LANGKAH MONETARI

Bank Negara perlu mengambil tindakan untuk menambahkan bekalan kewangan dalam pasaran dengan merendahkan faedah pinjaman (kos pinjaman). Peruntukan simpanan rizab bank swasta juga boleh dikurangkan agar lebih banyak pinjaman boleh disediakan. Tetapi ianya harus dipacu supaya dapat sampai kepada sektor-sektor khusus yang ingin dibangunkan. Memandangkan keadaan ekonomi dunia yang merudum, tidak guna bagi pembiayaan ini digunakan untuk melabur dalam industri yang tidak menampakkan apajua prospek dalam masa dua tahun akan datang.

Bank Negara juga boleh membeli bon Kerajaan pada kadar faedah yang rendah, katakan 0.5%, agar Kerajaan mempunyai dana yang cukup untuk membiayai pelbagai program prihatin rakyat. Ini akan membolehkan jumlah pinjaman Kerajaan tidak melonjak.

Kerajaan juga harus mengelakkan dari menjual aset-aset Kerajaan untuk menjana dana. Ini kerana pada ketika kemelesetan ekonomi, Kerajan akan rugi dengan memperolehi harga jualan yang rendah dan tidak berbaloi.

9. JAMINAN PERUMAHAN RAKYAT

Keperluan asas perumahan haruslah dijamin dalam krisis ini agar rakyat tidak diusir dan dicampak ke jalanan kerana gagal membiayai pinjaman perumahan. Maka moratorium 6 bulan penangguhan bayaran perumahan ini harus dilanjutkan sehingga bulan Disember 2020 dengan menghapus kira faedah. Selepas akhir tahun ini, arahan mesti dikeluarkan kepada semua bank swasta untuk menstrukturkan semula pinjaman perumahan supaya peminjam dapat terus membayar mengikut keupayaan mereka.

  • Perkenalkan satu skim bantuan membayar sewa.
  • Memasukkan klausa dalam Akta COVID-19 berkaitan pengendalian kontrak yang sedia ada untuk mengharamkan pengusiran paksa terhadap penyewa rumah.
  • Wujudkan Tribunal di peringkat daerah untuk mendengar kes penyewa yang tidak mampu membayar sewa rumah.
  • Kes-kes harus diputuskan atas prinsip beban sewa perlu ditanggung bersama oleh penyewa (ikut kemampuannya), tuan rumah dan kerajaan (yang harus sedia membayar sebahagian daripada caj sewa rumah).
  • Kerajaan juga harus mendesak bank swasta untuk membatalkan terus pinjaman perumahan (rumah berharga RM150,000 ke bawah) bagi peminjam golongan berpendapatan rendah (gaji bulanan RM3,000 dan ke bawah) yang hilang kerja atau sumber pendapatan.

Kami juga mencadangkan supaya Kerajaan mengambilalih projek Perumahan Mampu Milik Swasta yang tidak terjual untuk menjadikannya rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), kerana terdapat ribuan rakyat B40 terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar utama masih menunggu untuk ditawarkan perumahan PPR sewa. Permintaan untuk perumahan PPR amatlah tinggi. Maka dicadangkan bahawa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambilalih projek perumahan mampu milik yang gagal dijual oleh pemaju swasta akibat pandemik COVID-19, untuk dijadikan PPR.

Semua PPR Pusat dan Negeri harus mengecualikan bayaran sewa untuk tempoh setahun.

10. KONSULTASI DAN LIBAT URUS DEMI MENJAYAKAN PROGRAM

Unsur demokrasi dan mendengar kritikan serta cadangan daripada rakyat dan pihak berkepentingan adalah amat penting untuk menjayakan semua langkah-langkah di atas dan membina semula ekonomi dan sosial rakyat. Oleh itu, perlu wujudkan mekanisme konsultasi yang berterusan dengan pertubuhan berkepentingan seperti kesatuan sekerja, pertubuhan petani, pelajar, nelayan, PKS dan sebagainya.

Parlimen sudah semestinya bersidang untuk lebih daripada satu hari , kerana ada banyak perkara, perundangan, dasar dan belanjawan bantuan baru yang perlu didebat dan diluluskan. Pemantauan oleh Parlimen juga perlu diaturkan melalui jawatankuasa khas yang dianggotai oleh ahli parlimen Kerajaan dan juga Pembangkang yang perlu mengadakan mesyuarat pemantauan mereka sepanjang tahun (selain daripada sesi persidangan Parlimen) agar menjadi pengaudit kepada keberkesanan langkah-langkah Kerajaan dan memberikan maklumbalas segera untuk penambahbaikan segera.

  • Mendapatkan maklumbalas daripada rakyat untuk semua skim yang akan dilancarkan dalam mengendalikan ancaman COVID-19 dan kegawatan ekonomi.
  • Melibatkan rakyat tempatan dalam pengendalian dan pemantauan program-program ini supaya kroni sesiapa pun tidak dapat merampas peruntukan yang diluluskan untuk kebaikan semua.

Hak demokrasi dan hak asasi perlu sentiasa ditegakkan. Tindakan keras hanya diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan berulang kali. Pemenjaraan seseorang boleh menghancurkan ekonomi keluarganya dan semua ahli keluarga itu – isteri, anak dan mungkin ibu bapa akan disusahkan. Hukuman penjara untuk kesalahan di bawah PKP harus dielakkan seboleh mungkin.

Pihak berkuasa juga harus diberikan “penerangan lanjut” (debriefing) agar mereka jelas tentang had kuasa yang telah diberikan kepada mereka semasa PKP, dari segi penahanan, pemeriksaan, soal siasat, kebebasan bersuara, mengkritik, komen media sosial dan sebagainya. Segala penyalahgunaan kuasa pihak berkuasa harus disiasat oleh badan yang bebas (seperti IPCMC).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *