oleh Dr Cecilia Anthonysamy
Mungkin ada yang salah faham. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei 2020 adalah untuk membenarkan aktiviti mencari makan dan menjana pendapatan, supaya rakyat tidak merana kerana tiada duit dan tiada makan.
Semasa PKPB, orang awam boleh keluar berdua atas tujuan membantu orang tua, dan membantu isi rumah yang perlu bantuan untuk membeli barang runcit dan pasar yang lebih senang diangkut oleh dua orang. Ini juga boleh membantu orang yang perlu pergi ke klinik atau hospital.
PKPB bukan lesen untuk semua orang keluar rumah sewenang-wenangnya.
Ini bukan masanya untuk keluar berdua-duaan pergi bersiar-siar, window shopping di pusat beli-belah. Ini bukan masanya untuk keluar rumah sebab rimas duduk rumah. Ini juga bukan masa pergi berjumpa dengan kawan kerana rindu. Orang ramai masih tidak dibenarkan untuk berkumpul, bersosial atau beramah mesra pada jarak dekat.
Virus COVID-19 masih berada di luar sana. Ia masih belum dihapuskan. Kita masih belum selamat. Kita ada risiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 jika keluar dari rumah.
Sebab itu, PKPB hanya benarkan kita keluar untuk menjalankan aktiviti pekerjaan.
Masih perlu duduk rumah untuk tempoh masa yang lama.
Kekalkan penjarakan fizikal yang selamat. Satu depa tangan dengan orang lain. Satu meter.
Keluar rumah hanya jika benar-benar perlu sahaja.
Teruskan melindungi keluarga yang dikasihi.
==========
Dr Cecilia Anthonysamy ialah Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Serdang.