20200318 - dmr_cuci-hospital_bernama-01

oleh M. Sarasvathy

Menurut kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah pada 29 Mac 2020, jumlah kematian yang disebabkan oleh wabak COVID-19 mencecah 35 orang. Malah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dipanjangkan oleh kerajaan sehingga 14 Mac 2020. Keadaan ini menunjukkan bahawa ancaman penularan wabak COVID-19 adalah semakin serius dan orang ramai berisiko untuk dijangkiti sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan.

Golongan yang bertungkus lumus dalam menghadapi, mengawal dan mencegah wabak COVID-19 yang semakin serius adalah mereka di barisan hadapan. Mereka menjadi barisan hadapan dalam menjaga keselamatan dan memberikan perlindungan kepada kebaikan sejagat. Doktor, kakitangan perubatan, pekerja pembersihan dan pekerja sokongan hospital merupakan barisan hadapan yang mempertaruhkan keselamatan diri mereka dan berkorban untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

Akan tetapi, dalam realitinya, pekerja pembersihan dan pekerja sokongan di hospital tidak diiktiraf sebagai barisan hadapan dan masih disisihkan. Kenapa hanya doktor dan kakitangan perubatan dianggap sebagai barisan hadapan? Pekerja pembersihan hospital juga berganding bahu bersama-sama dengan doktor dan kakitangan perubatan dalam mengharungi detik sukar ini. Namun, kenapa wujudnya diskriminasi ini?

Malah, diskriminasi ini boleh dilihat dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yasin pada 27 Mac 2020. Dalam Pakej PRIHATIN tersebut, Bantuan Elaun Khas RM600 setiap bulan akan diberi kepada doktor dan kakitangan perubatan mulai 1 April 2020. Kesatuan Pekerja-Pekerja Swast Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) berasa terkilan dengan pengumuman ini kerana pekerja pembersihan di hospital disisihkan sama sekali. Kenapa golongan pekerja kolar biru disisihkan dan hanya golongan petugas kolar putih diberi keutamaan, walaupun kedua-dua golongan memainkan peranan masing-masing dalam pencegahan wabak COVID-19 dan berusaha menjaga keselamatan rakyat Malaysia secara bersama-sama?

Pekerja pembersihan juga memainkan peranan penting dalam menghadapi keadaan yang serius sekarang. Mereka membahayakan diri mereka dan juga berkorban untuk menjaga keselamatan semua pihak. Pekerja pembersihan juga merupakan wira negara yang berada di barisan hadapan bersama-sama dengan foktor dan kakitangan perubatan yang bertekad untuk melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman COVID-19.

Malah, majikan kepada pekerja pembersihan ini juga tidak membekalkan kelengkapan perlindungan diri (PPR) – seperti penutup muka, sarung tangan dan apron – yang mencukupi kepada pekerja pembersihan di hospital kerajaan.  ekurangan bekalan PPE ini menunjukkan majikan juga tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan pekerja. Keselamatan pekerja dipandang remeh dan diabaikan walaupun mereka juga merupakan barisan hadapan yang menghadapi ancaman pandemik ini.

Kontrak untuk kerja-kerja pembersihan di hospital kerajaan diberikan kepada 5 kontraktor utama, iaitu Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., Medivest Sdn.Bhd., Radicare Sdn. Bhd., Sedafiat Sdn. Bhd., dan One Medicare Sdn. Bhd. Sehingga tahun 1996, pekerja pembersihan merupakan kakitangan kerajaan yang mendapat segala faedah dan manfaat yang diberi oleh kerajaan. Malangnya, apabila penswastaan diperkenalkan oleh Dr. Mahathir Mohamd pada tahun 1996, pekerja pembersihan dijadikan sebagai pekerja kontrak dan dianaktirikan walaupun bekerja di hospital kerajaan. Disebabkan sistem kontrak ini, pekerja-pekerja hanya diberi gaji dan faedah minimum sahaja walaupun pekerja berkhidmat untuk jangka masa yang panjang di hospital kerajaan.

Oleh itu, KPSPSHKSM menggesa Kerajaan supaya mengiktiraf pekerja pembersihan di hospital sebagai barisan hadapan dan memberikan layanan yang samarata kepada semua golongan barisan hadapan yang terlibat dalam menangani ancaman pandemik ini. KPSPSHKSM juga berharap pada kerajaan supaya menghargai pengorbanan pekerja pembersihan dan pekerja sokongan di hospital-hospital kerajaan yang berada di barisan hadapan dalam pencegahan wabak COVID-19 ini.

KPSPSHKSM menyeru pada kerajaan untuk memberikan Bantuan Elaun RM600 sebulan kepada pekerja pembersihan di hospital kerajaan, dan elaun tersebut dibayar terus kepada pekerja.

Pada masa yang sama, KPSPSHKSM berharap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Bantuan Elaun RM600 ini akan membantu kumpulan sasaran dan mengurangkan beban rakyat Malaysia serta memberikan kebaikan kepada semua sepanjang tempoh yang kritikal ini.

==========

M .Sarasvathy ialah Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *