BANGI, SELANGOR: Pada 12 Mac 2020, Lo Yoon Keong atau lebih dikenali sebagai Ah Keong, menang dalam kes di Mahkamah Buruh Bangi berkenaan isu pembuangan kerja tidak sah terhadapnya oleh pihak majikan. Ini merupakan satu kemenangan kepada seorang pemandu lori yang tidak berpelajaran dan dinafikan jaminan kerja oleh majikannya, Kong Hardware Trading. Ah Keong berjaya mendapat gaji ganti notis dan faedah penamatan kerja, berjumlah lebih kurang RM2,200.
Pada 23 Oktober 2019, Ah Keong membawa lori untuk menghantar barang seperti biasa, ke sana sini dari waktu pagi sampai petang. Pada hari itu, lebih kurang pukul 5.00 petang, Ah Keong dihubungi majikan untuk pergi ke pejabatnya. Apabila sampai di pejabat, majikan memberitahu pada Ah Keong bahawa dia hanya kerja sampai hari itu sahaja dan menyuruhnya untuk mengambil baki gaji. Ah Keong terkejut dan bertanya pada majikan kenapa bercakap macam itu, tetapi majikan tidak lagi memberitahu apa-apa dan mendiamkan diri.
Ah Keong yang marah dan tidak puas hati terhadap majikannya telah pergi mengadu di Pusat Khidmat PSM Semenyih. Kes ini dikendalikan oleh S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi PSM) dan Parames Elumalai (aktivis PSM Semenyih). Ah Keong telah dinasihatkan untuk membuat aduan polis dan aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Bangi. Ah Keong sudah 6 kali turun naik JTK dan akhirnya mendapat keputusan ex–parte (majikan tidak hadir semasa perbicaraan) dan menang kes terhadap majikannya. Inilah semangat perjuangan seorang pemandu lori yang tidak berpelajaran tetapi percaya bahawa hak hanya boleh dituntut jika sanggup melawan majikan yang zalim.
Penindasan terhadap pekerja tidak kira kaum dan agama. Selagi sistem kapitalis masih ada, selagi itu penindasan terhadap kaum pekerja akan berlaku. Kita perlukan ramai lagi orang seperti Ah Keong yang berani tampil ke hadapan untuk melawan majikan yang menindas pekerja.
One thought on “Pemandu lori menang kes di Mahkamah Buruh Bangi”