20200227 - 87996464_10157106106128652_8428126672695328768_o (2)

oleh S. Arutchelvan

Nampaknya ada satu masalah utama dengan tugasan dan skop Perdana Menteri Interim. Saya difahamkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim untuk membolehkan beliau menjadi “kerajaan penjaga” (caretaker government) sementara Yang Di-Pertuan Agong mencari seorang pengganti kepada Jawatan Perdana Menteri yang dikosongkan oleh Tun Mahathir. Kita sedia maklum bahawa, Tun Mahathir telah meletak jawatan tanpa sebarang desakan daripada mana-mana pihak pada 24 Februari 2020. Pada hari yang sama, beliau telah dilantik menjadi Perdana Menteri Interim. Peguam Negara pula membuat kenyataan bahawa sebagai Perdana Menteri Interim, beliau tidak mempunyai had tempoh masa dan boleh membuat perlantikan Kabinet dan sebagainya.

Saya kurang setuju dengan pendirian Peguam Negara dan mandat ini, kerana pendirian saya adalah sebagai seorang Perdana Menteri Interim, Tun Mahathir hanya memegang jawatan sementara sehingga Perdana Menteri yang baru dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Dan andaikata, jika beliau melantik Menteri Kabinet, maka mereka juga menjadi Ahli Kabinet Interim sahaja. Ini akan merumitkan keadaaan apabila satu Kabinet sah hendak ditubuhkan. Memandangkan Tun Mahathir juga memberikan gambaran bahawa Kerajaan baru ini akan meliputi pelbagai pihak bukan berdasarkan parti politik, ini akan menyebabkan tugas Perdana Menteri yang bakal menggantikannya lebih rumit dan pelbagai konflik baru boleh wujud.

Namun, nampaknya setelah melihat dirinya mendapat sambutan daripada semua pihak pada hari Isnin lalu (24 Februari 2020), Tun Mahathir telah menjadi lebih angkuh dan lebih berkuasa. Ini kerana semua pihak pada masa itu, termasuk pembangkang, memintanya untuk meneruskan jawatannya menjadi Perdana Menteri. Partinya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menolak persaraannya. Semua pihak, satu demi satu berlumba-lumba dalam membuat kenyataan untuk Tun Mahathir meneruskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Kesemua pihak berkata ini adalah untuk kepentingan negara memandangkan pasaran saham dan ringgit jatuh dengan teruk.

Maka pada hari Rabu (26 Februari 2020), Tun Mahathir membuat satu pengumuman kepada seluruh negara, satu pengumuman yang nampaknya seolah-olah sudah direkodkan terlebih dahulu. Nampak gayanya, masa pengumuman ini diputuskan pada saat akhir apabila mengetahui bahawa Pakatan Harapan (PH) akan membuat satu sidang akhbar pada pukul 4.30 petang, maka Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim pula membuat pengumuman pada pukul 4.45 petang. Namun, PH kemudiannya telah memberikan laluan kepda pengumuman Perdana Menteri Interim.

Yang anehnya, semasa pengumuman Perdana Menteri Interim ini dibuat, beliau berkata bahawa kedua-dua pihak mahukan beliau menjadi PM, tetapi senario ini sudah berubah semasa perutusan itu. Pakatan BN-UMNO dan PAS telah membuat keputusan sehari sebelum itu, iaitu menuntut pilihanraya umum dan mereka telah menarik balik sokongan mereka untuk Tun Mahathir. Sejam selepas pengumunan Perdana Menteri Interim, PH pula membuat keputusan untuk melantik Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan bukannya Mahathir.

Kami sebenarnya menyambut baik tindakan parti-parti yang sedia ada dalam Pakatan Harapan atas tindakan tegas dan jelas untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri, dan pada masa yang sama memberikan komitmen untuk meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat pada bulan Mei 2018. Sebenarnya, masalah PH bukan pada dasar perjuangan mahupun manifesto mereka. Memang manifesto PH popular, tetapi masalahnya adalah PH telah membelakangkan manifesto sendiri atau terlalu lemah dalam melaksanakan manifesto mereka. PH juga terlalu kerap bergaduh dalam isu persoalan peralihan kuasa dan tidak mempunyai kata sepakat dalam isu-isu yang melibatkan isu perkauman.

Berbalik kepada isu sokongan kepada Tun Mahathir, nampaknya dalam masa satu hari sahaja, sokongan untuk Tun Mahathir menjadi PM sudah menjadi pilihan ketiga, memandangkan pilihan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri menjadi pilihan pertama dan bubar Parlimen menjadi pilihan kedua dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen. Walaupun ketiga-tiga pilihan ini tidak mendapat majoriti mudah, iaitu sokongan daripada 112 orang Ahli Parlimen, tetapi pilihan untuk Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri hanyalah pilihan ketiga.

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa Tun Mahathir sudah pun hilang mandat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan atau membentuk kerajaan campuran, kerana beliau tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen. Dalam keadaan ini, langkah terbaik untuk Tun Mahathir adalah berundur diri dan melepaskan masa depan politik negara kita kepada parti-parti lain. Tindakan Tun Mahathir untuk melepaskan kuasa dan membuat satu peralihan secara aman, akan dilihat sebagai tindakan bijak seorang negarawan kanan; manakala jika kemelut ini terus dimain-mainkan berdasarkan sentimen perkauman, atau sentimen kroni dan sebagainya, maka beliau akan dituduh sebagai pihak yang telah mencetuskan harapan dan juga pihak yang menghancurkan harapan tersebut.

========== 

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *