Pengumpulan modal atau akumulasi modal (capital accumulation) adalah proses permodalan nilai surplus, iaitu proses menukarkan nilai surplus kepada modal.
Pengeluaran kapitalis bukan sahaja pengeluaran komoditi (barangan yang dihasilkan untuk dijual) yang bermotifkan keuntungan, tetapi juga untuk pengumpulan modal. Logik kapitalisme menetapkan bahawa kebanyakan nilai surplus perlu dikumpulkan (untuk ditukarkan kepada modal tambahan, membeli mesin baru, membeli lebih banyak bahan mentah dan mengupah lebih ramai pekerja), dan bukannya digunakan tanpa pengeluaran (digunakan secara bersendirian oleh golongan kapitalis).
Kapitalis menggunakan sebahagian daripada nilai surplus yang diperah daripada pekerja upahan untuk kegunaan sendiri (untuk menyara hidupnya yang mewah, menyara kehidupan keluarganya, mengupah orang suruhan untuk menjaganya dan membayar pengawal peribadi), tetapi sebahagian besar nilai surplus dilaburkan semula sebagai modal, untuk membeli sumber pengeluaran dan tenaga buruh supaya memperluaskan skala pengeluaran. Oleh itu, pengumpulan modal merupakan syarat untuk perluasan pengeluaran semula sistem kapitalis.
Kapitalis menggunakan modal (dalam bentuk matawang) untuk membeli komoditi (bahan mentah, peralatan, mesin, tenaga kerja), komoditi yang dibeli itu dijadikan bentuk modal dalam proses pengeluaran. Proses pengeluaran itu menghasilkan modal yang berbentuk baru, iaitu komoditi baru yang dihasilkan melalui penggunaan tenaga kerja ke atas peralatan dan bahan mentah. Buruh mencipta nilai yang baru. Komoditi baru yang dihasilkan itu dijual untuk mendapatkan matawang yang lebih banyak daripada matawang yang dilaburkan sebelum itu. Proses yang berulangan sebegini adalah pengumpulan modal.
modal matawang –> modal komoditi (bahan mentah, peralatan dan tenaga buruh) –> modal pengeluaran –> modal komoditi (barangan pengeluaran) –> modal matawang (yang ditambah nilai)
Dalam sistem kapitalis, kapitalis perlu melakukan “pengumpulan” modal secara berterusan.
“Akumulasi! Akumulasi! Inilah Musa dan nabi-nabi.” (Karl Marx, Das Kapital, Jilid I)
Keperluan untuk mengumpul modal tidak ditentukan oleh kehendak atau kegemaran atau kepercayaan agama secara subjektif kapitalis individu itu, tetapi ditentukan oleh sifat semulajadi modal. Pengumpulan bukan sahaja sejenis hubungan antara pengeluaran dengan nilai surplus yang bertukar menjadi modal, pengumpulan juga merupakan sejenis hubungan pengeluaran semula.
Pengumpulan modal adalah pengeluaran semula hubungan sosial kapitalis pada skala yang lebih besar dari semasa ke semasa, iaitu pertambahan dalam saiz golongan pekerja dan pemusatan kekayaan yang dimiliki oleh golongan kapitalis.
Dalam proses pengeluaran kapitalis, pengumpulan modal merupakan sumber kepada perluasan pengeluaran semula kapitalis, manakala nilai surplus adalah sumber kepada pengumpulan modal.
Skala pengumpulan modal berkadar langsung dengan kuantiti nilai surplus. Apabila nilai surplus yang diambil oleh kapitalis itu lebih banyak, maka skala pengumpulan modal akan bertambah besar. Sementara itu, apabila skala pengumpulan modal itu semakin besar, kapitalis akan mendapat semakin banyak nilai surplus.
Pengumpulan modal adalah trend perkembangan kapitalisme yang tidak dapat dielakkan.
- Motif dan matlamat pengeluaran kapitalis adalah mengejar nilai surplus. Hukum nilai surplus sebagai hukum asas ekonomi kapitalis, menentukan bahawa kapitalis perlu melakukan pengumpulan modal untuk mengejar lebih nilai surplus, maka ini adalah pendorong dalaman untuk pengumpulan modal.
- Pengumpulan modal juga ditentukan oleh hukum persaingan, iaitu siapa yang menjadi pemenang dalam persaingan akan dapat memperluaskan skala pengeluaran dan menambahkan pelaburan. Persaingan memaksa setiap kapitalis perlu bertungkus-lumus untuk menjalankan pengumpulan modal, maka ini adalah tekanan luar untuk pengumpulan modal.
Pembentukan sistem ekonomi kapitalis perlunya dua syarat:
- Adanya jumlah besar tenaga buruh yang bebas tetapi kehilangan sumber pengeluaran dan tidak mencukupi pendapatan untuk menyara hidup;
- Segelintir kecil orang mengumpul kekayaan wang yang banyak untuk pembangunan pengeluaran kapitalis.
Proses untuk mewujudkan kedua-dua syarat ini adalah proses pengumpulan primitif untuk modal (primitive accumulation of capital).
Pengumpulan primitif adalah proses sejarah di mana pengeluar yang secara langsung (iaitu tenaga buruh) dipisahkan daripada sumber pengeluaran, untuk membolehkan kekayaan wang ditumpukan secara cepat dalam tangan segelintir kecil orang. Proses ini berlaku pada peringkat sejarah di mana mod pengeluaran kapitalis belum lagi terbentuk sepenuhnya.
Cara untuk menjalankan pengumpulan primitif adalah melalui perompakan secara ganas. Sumber untuk pengumpulan modal adalah pemangsaan ke atas pengeluar kecil dan petani, penjajahan ke atas negara yang belum membangun lagi, perampasan ke atas sumber asli tanah jajahan, perdagangan hamba dan sebagainya.
Inilah yang dimaksudkan oleh Karl Marx dalam tulisannya Das Kapital Jilid I,
“modal datang ke dunia ini dengan darah dan kotoran yang menitis dari setiap liang bulu, dari kepala hingga ke kaki.”
“Keganasan adalah bidan dalam setiap masyarakat lama yang menghamilkan masyarakat baru. Keganasan itu sendiri adalah kuasa ekonomi.”
Semua negara kapitalis yang “maju” boleh menjadi begitu “maju” pada hari ini, adalah bermula daripada pengumpulan primitif yang penuh kejam dan ganas.
Pengumpulan modal dalam ekonomi kapitalis yang sudah dibangunkan adalah berbeza daripada pengumpulan primitif sebelum ekonomi kapitalis membangun sepenuhnya. Cara pengumpulan primitif adalah melalui perampasan secara ganas, manakala cara pengumpulan modal “biasa” adalah melalui pemerasan (secara halus atau ganas atau kedua-duanya sekali).
Pengumpulan modal adalah proses mengumpulkan dan memusatkan kekayaan masyarakat dengan memeras pekerja yang menghasilkan nilai surplus.
Skala pengumpulan modal ditentukan oleh faktor-faktor yang menentukan kuantiti nilai surplus. Faktor-faktor ini termasuklah:
- Kadar nilai surplus: Semakin tingginya kadar nilai surplus, nilai surplus yang boleh didapati daripada modal bolehubah(tenaga buruh) yang berkuantiti sama akan menjadi lebih banyak, maka skala pengumpulan modal akan menjadi semakin besar.
- Tahap produktiviti buruh sosial: Peningkatan dalam produktiviti buruh, akan mengurangkan harga unit komoditi sehingga mengurangkan nilai tenaga buruh. Ini akan meningkatkan kadar nilai surplus, dan mempercepatkan pengumpulan modal. Penurunan harga komoditi juga akan menyebabkan modal bolehubah yang sama kuantiti boleh menggerakkan lebih tenaga buruh. Ini membolehkan modal bolehubah yang sama kuantiti dapat memproses lebih cara-cara pengeluaran, sehingga menghasilkan lebin banyak nilai surplus yang menambahkan pengumpulan modal.
- Perbezaan antara modal yang digunakan sepenuhnya dalam pengeluaran dengan modal yang dihabiskan secara beransur-ansur dalam barangan baru.
- Peningkatan dalam modal yang dibayar terlebih dahulu: Dalam keadaan di mana nisbah antara modal tetap dengan modal bolehubah dan kadar nilai surplus yang sudah ditetapkan, lebih banyak modal yang dibayar terlebih dahulu oleh kapitalis, lebih ramai pekerja diperah, maka nilai surplus yang diperoleh juga lebih banyak, dan pengumpulan modal akan bertambah.
Dalam proses pengumpulan modal, jumlah modal untuk seseorang kapitalis itu bertambah melalui pengumpulan, penumpuan dan pemusatan modal. Ini menyebabkan kekayaan masyarakat ditumpukan dalam tangan segelintir kecil kapitalis. Sementara itu, berikutan perkembangan pengumpulan modal, kapitalis perlu menambahbaikkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti buruh, menyebabkan peningkatan dalam komposisi organik modal.
Proses peningkatan komposisi organik modal juga merupakan proses pembentukan “tentera simpanan industri” (iaitu pekerja yang kehilangan kerja dan menganggur), dan pemiskinan kelas proletariat (iaitu kelas pekerja) yang mencipta kekayaan masyarakat. Ini disebabkan kapitalis melaburkan lebih dalam modal tetap, iaitu modal kewangan digunakan untuk membeli mesin baru dan meningkatkan produktiviti buruh, bermakna keperluan untuk tenaga buruh semakin berkurang, tetapi pada masa yang sama lebih ramai lagi petani, tukang kraf dan bourjuasi kecil yang bankrap (akibat peningkatan dalam teknologi pengeluaran) menjadi gologan proletariat, mengakibatkan wujudnya lebihan tenaga buruh, maka lebih pekerja akan menganggur dan menjadi lebih miskin.
Analisa Marx terhadap komposisi organik modal dalam pengumpulan modal telah mendedahkan bahawa – apabila modal yang melaksanakan fungsinya semakin besar, jumlah pengangguran akan meningkat, sehingga rakyat miskin yang memerlukan bantuan turut bertambah ramai. Hukum pengumpulan modal ini telah menyebabkan polarisasi dalam masyarakat kapitalis – pengumpulan modal untuk golongan kapitalis bermakna juga pertambahan kemiskinan untuk golongan pekerja.
Pengumpulan dan pemusatan modal merupakan asas kepada pembangunan ekonomi dan sosial yang tidak seimbang, di samping eksploitasi terhadap kelas pekerja yang berterusan. Proses pengumpulan modal bukan semata-matanya satu proses ekonomi, tetapi melibatkan penjajahan, imperialisme dan perubahan dalam peranan negara.