Pada 11 Januari 2020, Kerjaan Iran mengaku bahawa pesawat Penerbangan 752 Ukraine International Airlines yang terhempas pada 8 Januari 2020 adalah ditembak jatuh atas kesilapan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC). Pengakuan tersebut dibuat selepas tiga hari Kerajaan Iran cuba menafikan dakwaan bahawa pesawat yang terbang dari Tehran ke Kiev itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu.
Kesemua 176 orang penumpang dan anak kapal yang berada di atas pesawat tersebut telah terbunuh. Mereka yang terbunuh terdiri daripada warga Iran, Kanada, Sweden, Afghanistan dan Britain. Ramai antara penumpang ini ialah warga Iran yang mempunyai dwi-kewarganegaraan.
Peristiwa tragik ini terjadi hanya beberapa jam selepas tentera Iran menyerang pangkalan Amerika Syarikat (AS) di Iraq sebagai tindakbalas terhadap pembunuhan komander Pasukan Quds IRGC Qasem Soleimani pada 3 Januari 2020. Iran telah memberi amaran awal kepada Kerajaan Iraq sebelum ia melancarkan serangan pada awal pagi 8 Januari 2020, membolehkan tentera AS mempunyai masa yang mencukupi untuk mengelakkan daripada kematian kerana serangan tersebut. Namun, Iran tidak membatalkan semua laluan penerbangan komersial di atas ruang udaranya semasa dan selepas serangan itu. Akibatnya, Pasukan Aeroangkasa IRGC yang berpangkalan di Tehran tersilap anggap pesawat komersial Ukraine sebagai peluru berpandu AS, maka membawa kepada tragedi maut yang teruk. Barangkali ini sebabnya kenapa Kerajaan Iran tidak meneruskan lagi serangan ke atas pangkalan tentera AS di Iraq selepas serangan pusingan pertama, kerana ia sedar bahawa kematian yang pertama dalam tindakan serangan bersifat “balas dendam”nya terhadap tindakan provokasi AS adalah warga awam yang tidak berkaitan langsung, walaupun ianya akibat daripada kesilapan yang tidak disengajakan.
Setelah Kerajaan Iran mengaku bahawa tindakan cuai IRGC yang membawa kepada tragedi pesawat penerbangan Ukraine itu, tercetusnya gelombang protes rakyat Iran yang marah di Tehran dan bandar-bandar lain. Aksi protes disertai oleh ramai pelajar yang marah pada penipuan Kerajaan yang cuba menutupi kebenaran pada awalnya. Walaupun diserang dengan tembakan peluru dan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan, para demonstran telah meneruskan mobilisasi untuk menyatakan bantahan terhadap Kerajaan Iran.
Walaupun Presiden Iran Hassan Rouhani mengaku bahawa peristiwa penembakan jatuh pesawat penumpang itu “kesilapan yang tidak boleh dimaafkan”, dan komander Angkatan Aeroangkasa IRGC Amir Ali Hajizadeh menyatakan bahawa dia rela mati kerana kesilapan itu, tetapi kenyataan ini tidak mencukupi untuk meredakan kemarahan rakyat. Sentimen nasionalis yang menyatukan rakyat Iran selepas pembunuhan Qasem Soleimani oleh AS tidak lama sebelum ini telah lesap dan kemarahan rakyat timbul semula atas kesilapan Kerajaan Iran itu sendiri. Kerajaan Iran kini menghadapi satu lagi krisis politik selepas gelombang protes massa pada bulan November 2019.
Gelombang protes yang berlaku pada bulan November 2019, dicetuskan kerana Kerajaan menaikkan harga bahan api, dan menular menjadi protes massa yang menentang penyelewengan dalam Kerajaan Iran. Negara Iran telah mengalami krisis ekonomi yang serius, khususnya selepas AS mengenakan semula sekatan ekonomi berikutan Kerajaan AS pimpinan Donald Trump menarik diri secara unilateral daripada Perjanjian Nuklear Iran pada tahun 2018. Protes pada bulan November 2019 di Iran telah dipatahkan oleh Kerajaan Iran dengan cara yang keras dengan ratusan orang dilaporkan mati terbunuh.
Selepas pembunuhan Qasem Soleimani, Kerajaan Iran cuba menggunakan kesempatan untuk mewujudkan sentimen perpaduan nasional untuk mengalihkan ketidakpuasan hati rakyat Iran dan memobilisasi massa dalam jumlah yang besar untuk menghadapi ancaman AS. Namun, atas kesilapan teruknya yang meragut nyawa orang yang tidak bersalah, tambahan pula dengan kemarahan terhadap pemerintahan kuku besi yang masih terpendam di kalangan rakyat, gerakan protes dihidupkan semula dan mencabar kekuasaan golongan pemerintah di negara itu.
Rakyat Iran yang memprotes terhadap rejim pemerintahan di negara itu amat jelas bahawa mereka tidak mahu menjadi boneka kepada kuasa imperialis kerana hendak menjatuhkan pemerintahan yang bersifat kuku besi, tetapi pada masa yang sama juga tidak mahu membiarkan pemerintahan kuku besi berterusan kerana hendak melawan ancaman imperialis.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pelajar-pelajar Iran yang berprotes di Universiti Teknologi Amir Kabir di Tehran, mereka yang berprotes mengatakan,
“Hari ini, kita dikelilingi oleh ‘kejahatan’ dari setiap pihak. Sementara dasar ekonomi dan penindasan politik yang membawa rakyat untuk menamatkan kekuasaan mereka, bayangan perang juga muncul di atas kepala kita. Pada ketika ancaman berterusan oleh kuasa-kuasa ketenteraan, apa yang kekurangan hari ini dalam iklim politik Iran adalah suara rakyat. Yang lebih penting daripada perkara lain, rakyat menuntut kebebasan dan kesamarataan, dan mereka telah membangkitkan suara mereka dalam bentuk paling lantang pada bulan November untuk membawa mesej mereka kepada orang lain.”
“Peristiwa-peritiwa sepanjang dua bulan yang lalu, merupakan bukti yang jelas tentang ketidakcekapan sepenuhnya rejim pemerintah di Iran, sebuah rejim di mana jawapannya terhadap setiap krisis hanyalah menggunakan kekerasan. Adalah tugas kita hari ini untuk menyalurkan semua usaha kita untuk menentang keseluruhan sistem penindasan, sama ada dalam bentuk kerajaan yang menindas atau kuasa imperialis.”
“Dalam beberapa tahun yang lalu, kehadiran Amerika di Timur Tengah tidak membawa apa-apa kecuali peningkatan dalam ketidakamanan dan kekecohan. Pendekatan kita terhadap kuasa agresif itu adalah agak jelas. Namun, adalah juga jelas untuk kita bahawa ancaman Amerika di rantau ini tidak harus digunakan sebagai alasan untuk penindasan dalam negara.”
“Satu-satunya cara untuk melepaskan diri daripada krisis sekarang adalah kembali kepada dasar yang berasaskan hak demokratik rakyat, satu dasar yang tidak akan tergesa-gesa jatuh dalam tangan imperialisme kerana ketakutan pada pemerintahan kuku besi, dan yang tidak mengesahkan pemerintahan kuku besi atas nama penentangan dan perjuangan melawan imperialisme. Ya, satu-satunya cara untuk menolak dan melepaskan diri daripada situasi sekarang adalah sama-sama menolak kedua-dua pemerintahan kuku besi dan imperialisme. ”
Kenyataan ini telah mencerminkan sentimen dan hasrat rakyat Iran yang berprotes pada masa kini, memperjuangan pembebasan daripada cengkaman kedua-dua kuasa pemerintahan kuku besi dalam negara dan kuasa imperalis dari luar.
Sememangnya kuasa imperialis AS tidak pernah membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat Iran. Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS pernah merancang kudeta yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Mohammad Mosaddegh pada tahun 1953 hanya kerana Mosaddegh hendak memiliknegarakan industri minyak di Iran, sesuatu yang menjejaskan kepentingan kuasa imperialis barat. Kerajaan AS telah menyokong rejim pemerintahan Shah Pahlavi yang menindas golongan pembangkang dengan cara yang kuku besi. Selepas Revolusi Iran pada tahun 1979 yang menjatuhkan pemerintahan Shah dan membentuk kerajaan baru yang mengambil pendirian anti-AS, Kerajaan AS bukan sahaja memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran, malah cuba untuk menjatuhkan Kerajaan Republik Islam Iran dengan pelbagai cara, termasuk menyokong Kerajaan Saddam Hussein di Iraq untuk berperang dengan Iran. Tentera Laut AS pernah menembak jatuh pesawat Penerbangan 655 Iran Air yang meragut nyawa seramai 290 orang pada tahun 1988. Kerajaan AS telah beberapa kali mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran sejak tahun 1979. Sekatan ekonomi ke atas Iran pernah dihentikan selepas penandatanganan Perjanjian Nuklear Iran pada tahun 2015. Namun, Kerajaan AS pimpinan Trump telah menarik diri daripada Perjanjian Nuklear Iran secara unilateral pada tahun 2018 dan mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas Iran. Krisis ekonomi terbaru di Iran yang membawa penderitaan kepada ramai rakyat Iran merupakan salah satu impak sekatan ekonomi oleh AS.
Kebangkitan rakyat Iran merupakan sebahagian daripada lanjutan gelombang kebangkitan rakyat sedunia yang menular di peringkat global. Gelombang protes di negara jiran Iran, Iraq, yang tercetus sejak bulan Oktober 2019, telah menyuarakan bantahan rakyat terhadap sistem pemerintahan di negara itu yang penuh dengan kepincangan, menolak campurtangan kuasa Iran dan pendudukan tentera AS di negara itu. Melawan autoritarianisme, sektarianisme dan imperialisme, merupakan teras kepada kebangkitan perjuangan rakyat di Timur Tengah untuk pembebasan yang sebenar.
Untuk kita yang berada di luar rantau Timur Tengah, adalah penting untuk kita menyokong usaha rakyat di Timur Tengah memperjuangkan keadilan sosial dan pembebasan, di samping menentang segala ancaman perang oleh kuasa besar seperti AS. Kita perlu terus menolak campurtangan kuasa imperialis AS di rantau Timur Tengah dan memperkuatkan suara anti-perang. Peperangan hanya membawa kemusnahan dan penderitaan yang hebat kepada rakyat biasa, di samping menghancurkan usaha kebangkitan rakyat untuk pembebasan masyarakat dan keadilan sosial.
One thought on “Iran: Tragedi yang cetuskan semula protes rakyat”