Tahun 2020 menjelang, dengan Wawasan 2020 yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4 yang juga ke-7 hanya tinggal dalam ingatan untuk generasi yang hidup dalam 3 dekad yang kebelakangan ini. Retorik dalam Wawasan 2020 yang berbunyi sedap seperti “negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama”, “masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju”, “masyarakat demokratik yang matang”, “masyarakat liberal dan bertolak ansur”, “masyarakat saintifik dan progresif”, “sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri”, “masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama” dan sebagainya, hanya tinggal omong kosong, dengan politikus-politikus sama ada daripada parti-parti pemerintah yang bergabung dalam Pakatan Harapan ataupun parti-parti pembangkang aliran utama yang diterajui oleh UMNO-BN masih berpegang pada fahaman ekonomi pro-kapitalis dan terus mempermainkan politik perkauman untuk kepentingan masing-masing.
Walaupun negara Malaysia telah melalui perubahan rejim dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada tahun 2018 (begitu ironinya di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri yang datang daripada rejim lama) yang boleh dikatakan bersejarah, namun harapan untuk perubahan yang lebih baik menjadi semakin pudar dengan pembaharuan politik, ekonomi dan sosial yang diinginkan dibantutkan oleh pelbagai faktor, sama ada kelemahan kerajaan yang memerintah ataupun sabotaj daripada puak berhaluan kanan. Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, sebagai versi Wawasan 2020 yang ditangguhkan, akan ditangguhkan juga realisasinya, sekiranya negara kita masih meneruskan pengurusan ekonomi dengan kerangka yang tunduk pada kekuasaan golongan korporat dan permainan politik yang berkisar pada sentimen perkauman yang sempit.
Dalam suasana menyambut tahun yang baru dan memberi kesimpulan kepada dekad yang kedua untuk abad ke-21, adalah mustahak untuk kita bersama-sama renungi cabaran yang sedang kita hadapi sekarang dan berusaha dalam mencari jalan untuk mengatasinya. Secara ringkasnya, masyarakat Malaysia menghadapi 4 cabaran utama pada masa ini.
Yang pertama, adalah masalah pengagihan kekayaan masyarakat yang tidak adil. Yang kaya menjadi lebih kaya, yang miskin menjadi miskin, telah mengundang pelbagai masalah sosial. Punca asas untuk masalah ini adalah penumpuan kuasa dalam tangan segelintir kecil golongan korporat yang hanya mengutamakan keuntungan. Walaupun ekonomi negara kita memang sudah membangun dengan pesat, tetapi kekayaan negara yang dicipta hasil daripada titik peluh semua pekerja yang membanting tulang seumur hidup mereka masih tidak dikongsi secara adil dengan merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin, kerana terdapat halangan daripada syarikat korporat, kapitalis besar dan golongan mahakaya yang berkuasa. Kita perlu menyekat kekuasaan korporat ini dengan pembentukan sistem sosio-ekonomi yang menjamin pengagihan kekayaan secara samarata, untuk mengelakkan jurang pengagihan kekayaan masyarakat yang semakin melebar. Ini adalah satu perjuangan yang anti-kapitalis dan usaha sosialis untuk membina sebuah masyarakat yang menjamin kesejahteraan bersama semua.
Yang kedua, adalah krisis iklim sedunia. Ini adalah satu ancaman tahap kepupusan untuk manusia sejagat. Krisis iklim yang mengancam seluruh dunia ini wujud akibat daripada logik sistem kapitalis yang memaksimumkan keuntungan korporat tanpa mengira akibatya. Rakyat biasa yang tidak berkuasa sering kali menjadi mangsa yang menerima kesan yang paling teruk daripada krisis iklim. Kita tidak boleh memisahkan perjuangan untuk keadilan iklim dan perlindungan alam sekitar daripada perjuangan menentang sistem kapitalis. Kita perlu mendesak kerajaan kita untuk mengambil tindakan konkrit yang segera untuk menangani krisis iklim sedunia dengan mengubah sistem yang sedia ada.
Yang ketiga, adalah ruang demokrasi yang sering diancam. Kita perlu memastikan hak kebebasan demokratik kita tidak dihakis oleh golongan yang menggilakan kuasa. Ruang demokrasi bukan sahaja bermakna hak mengundi setiap 5 tahun dalam pilihanraya ataupun bebas bersuara dalam ruang siber, tetapi merangkumi ruang untuk rakyat biasa terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan di semua peringkat pentadbiran masyarakat, dari peringkat komuniti dan tempatan, sehinggalah peringkat nasional dan antarabangsa. Demokrasi juga perlu diperluaskan ke bidang ekonomi, di mana golongan pekerja berkuasa untuk terlibat dalam proses membuat keputusan tentang pengeluaran kekayaan masyarakat dan pengagihannya. Untuk memastikan demokrasi berkembang secara pesat dan menjadi matang, kita perlu menyekat penumpuan kuasa dalam tangan segelintir kecil orang.
Yang keempat, adalah politik perkauman yang sedang meracuni minda rakyat dan memecah-belahkan masyarakat. Politik perkauman yang berlandaskan pandangan dunia yang sempit, chauvinis, penuh dengan sikap prejudis dan sering menabur kebencian terhadap orang lain, sedang digunakan oleh puak berhaluan kanan di seluruh dunia termasuk negara Malaysia untuk kepentingan golongan yang berkuasa atau golongan yang ingin berkuasa. Politik perkauman yang toksik ini telah menimbulkan ketidakpercayaan sesama diri antara kumpulan etnik yang berbeza ataupun sikap bermusuhan terhadap golongan migran (xenofobia). Kita perlu membina gerakan masyarakat yang merentasi batasan kaum dan agama, dalam objektif perjuangan bersama untuk mewujudkan masyarakat yang menjamin kesejahteraan bersama.
Keempat-empat cabaran ini memang sangat hebat dan bukan mudah untuk mengatasinya. Kita hanya dapat mengatasi empat cabaran hebat ini dengan membina kuasa rakyat dari bawah, yang berlandaskan aspirasi untuk sebuah masyarakat yang berpegang teguh pada semangat pembebasan, demokrasi sejati, kesamarataan, keadilan, persaudaraan, kekitaan dan kesejahteraan bersama.
Selamat menyambut Tahun Baru 2020 dan teruskan perjuangan pembebasan rakyat!