Evo Morales menang dalam pusingan pertama Pilihanraya Presiden yang menyaksikan persaingan sengit, dan meneruskan kepresidenannya untuk kali keempat berturut-turut.
Pada 24 Oktober 2019, dengan 99.9% undi telah dikira, Tribunal Pilihanraya Agung Bolivia (TSE) mengisytihar secara rasminya Evo Morales sebagai pemenang Pilihanraya Presiden yang diadakan pada 20 Oktober 2019.
Evo Morales, calon daripada Gerakan untuk Sosialisme (Movimiento al Socialismo, MAS), memenangi sebanyak 47.07% undi, dengan perbezaan sebanyak 10.56 titik peratusan mendahului pesaing terdekatnya Carlos Mesa, calon daripada Comunidad Ciudadana, yang memperoleh 36.51% undi. Seramai 9 orang calon bertanding untuk Presiden Boliva kali ini.
Pilihanraya Presiden Bolivia menggunakan sistem dua-pusingan yang diubaisuai, iaitu seorang calon akan diisytihar sebagai pemenang sekiranya dia mendapat undi lebih daripada 50% jumlah undi yang sah, atau lebih daripada 40% dan lebih 10 titik peratusan berbanding pesaingnya yang terdekat. Walaupun tidak mendapat lebih 50% undi, tetapi dengan 10.56 titik peratusan mendahului pesaing terdekatnya, Morales menang untuk kali keempat dalam Pilihanraya Presiden dan tidak perlu memasuki pengundian pusingan kedua.
Evo Morales telah menyandang jawatan Presiden Bolivia sejak tahun 2006, selepas menang untuk kali pertama dalam Pilihanraya Presiden pada penghujung tahun 2005. Morales ialah Presiden Bolivia yang pertama datang daripada masyarakat orang asal negara itu (di mana presiden-presiden sebelumnya sejak tahun 1825 semua datang daripada keturunan orang Eropah). Beliau berasal sebagai penanam koka dan pemimpin kepada kesatuan campesino (buruh luar bandar), menjadi terkenal dalam perjuangan rakyat Cochabamba menentang penswastaan air pada tahun 1999-2000 dan kebangkitan rakyat mempertahankan sumber gas asli yang memuncak pada tahun 2003. Morales dipilih menjadi Presiden 14 tahun dahulu hasil daripada perjuangan gerakan sosial yang hebat di Bolivia. Selepas menjadi Presiden, Morales telah mengambil pendirian untuk mengurangkan pengaruh kuasa Amerika Syarikat di negara itu dan menjalin hubungan erat dengan kerajaan-kerajaan berhaluan kiri di Amerika Latin, serta membentuk Pakatan Bolivarian untuk Amerika (ALBA) bersama dengan Venezuela dan Kuba. Morales memperkenalkan Perlembagaan baru yang diluluskan dalam satu referendum pada tahun 2009, yang menjadikan Bolivia sebuah negara plurinasional (iaitu negara dengan berbilang bangsa wujud secara bersama). Morales mengkritik dengan hebatnya dasar ekonomi neoliberal, dan berusaha mengurangkan kebergantungan Bolivia terhadap Bank Dunia dan IMF.
Peratusan undi yang diperoleh Morales dalam pilihanraya kali ini adalah paling rendah berbanding 3 kali sebelumnya, di mana beliau memperoleh 53.74% pada tahun 2005, 64.05% pada tahun 2009 dan 61.35% pada tahun 2014. Ini disebabkan puak pembangkang berhaluan kanan telah berusaha kuat dalam cuba menjatuhkannya seperti yang ingin dilakukan oleh orang suruhan imperialis AS di Venezuela. Calon yang ditawarkan oleh blok pembangkang utama, Carlos Mesa, seorang pendukung dasar ekonomi neoliberal pernah menjadi Presiden Bolivia pada tahun 2003-2005, bukan menang dalam pilihanraya sebagai calon Presiden, tetapi hanya menggantikan Presiden yang meletak jawatan pada tahun 2003 berikutan gelombang protes yang hebat, dan dia sendiri meletak jawatan pada tahun 2005 selepas protes hebat terhadap tindakannya yang tunduk pada tekanan Bank Dunia, IMF dan syarikat multinasional.
Selepas proses mengira undi bermula, keadaan tegang timbul apabila golongan berhaluan kanan cuba mempertikaikan keputusan yang belum dimuktamadkan pada ketika itu dan mengatakan pengundian pusingan kedua perlu diadakan kerana perbezaan undi tidak sampai 10 titik peratusan. Golongan berhaluan kanan telah mula memobilisasi untuk aksi jalanan sejak 21 Oktober 2019 untuk menolak keputusan pilihanraya dan menuduh bahawa adanya penipuan dalam proses pilihanraya.
Di beberapa buah bandar di seluruh Bolivia, penyokong-penyokong Mesa telah melakukan sabotaj bersifat keganasan terhadap pejabat MAS dan bangunan kerajaan serta menyerang anggota-anggota MAS. Sementara itu, penyokong-penyokong MAS mengadakan mobilisasi secara aman untuk mempertahankan demokrasi.
Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS), yang sentiasa menurut dasar imperialis yang menentang usaha progresif dan sosialis di rantau Amerika Latin, tanpa menghairankan pada 21 Oktober 2019, menyatakan “kebimbangan mendalam dan terkejut pada perubahan drastik dan susah diperjelaskan dalam trend keputusan awal yang ditunjukkan selepas pengundian ditutup”. Kemudiannya pada 23 Oktober 2019, rombongan pemantau pilihanraya daripada OAS mengumumkan dalam satu sidang akhbar bahawa pengundian pusingan kedua patut diadakan untuk menenangkan protes daripada calon pembangkang. Persoalannya pada masa itu keputusan muktamad belum diumumkan lagi dan OAS sudah membuat kesimpulan perlu mengadakan pengundian pusingan kedua; lebih-lebih lagi, kemenangan Morales adalah mengikut ketetapan peraturan pilihanraya, tetapi tidak diakui oleh golongan berhaluan kanan.
Sebagai respon kepada tuduhan penyelewengan pilihanraya yang dilemparkan oleh puak pembangkang berhaluan kanan dan OAS yang pro-imperialis, Morales telah menjemput kerajaan-kerajaan negara luar untuk mengadakan audit terhadap keputusan pengundian, dan menjanjikan pengundian pusingan kedua jika menemui apa-apa penipuan.
Dengan sokongan undi yang sudah berkurangan berbanding pilihanraya sebelumnya, dan juga golongan berhaluan kanan yang akan terus menimbulkan kekecohan demi menyahstabilkan kerajaan Bolivia yang tidak disukai oleh kuasa imperialis, sudah pasti penggal baru kepresidenan Morales akan mengharungi cabaran politik yang tidak kurang hebatnya yang dihadapi oleh Kerajaan Bolivar Venezuela. Morales akan mengangkat sumpah untuk memegang jawatan Presiden bagi penggal baru pada bulan Januari 2020.
4 thoughts on “Bolivia: Morales menang dalam Pilihanraya Presiden untuk kali ke-4”