oleh Nik Aziz Afiq bin Abdul
Kongres Maruah Melayu yang berlangsung pada 6 Oktober 2019 telah dihadiri kira-kira 5,000 peserta dan menghasilkan beberapa resolusi utama yang menjadi tuntutan kepada pihak kerajaan. Kami merasa terpanggil untuk menjawab YB Ustaz Fadhli Shaari selaku pembentang resolusi daripada kluster agama sebagaimana yang dilaporkan akhbar bahawa resolusi itu bermaksud, semua jawatan utama dan penting negara hanya boleh dipegang oleh kaum Melayu Muslim sahaja. Kami di Pemuda PSM berpendirian bahawa kenyataan ini adalah dangkal dan membelakangkan konsep negara Malaysia yang berbilang kaum.
Merit dan prestasi jadi ukuran
Perlantikan seseorang dalam sesuatu jawatan seharusnya mengutamakan calon yang mempunyai merit, kredibiliti, keupayaan dalam menjalankan tugas-tugas tersebut. Dengan cara ini, tugas itu dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. Peguam Negara, Tommy Thomas, misalnya mempunyai rekod lampau yang baik dan dibanggakan bahkan pernah dilantik mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam membela isu royalti petroleum negeri itu yang dinafikan kerajaan pusat dan Petronas sebelum Ustaz Fadhli Shaari bergelar “Yang Berhormat” lagi di negeri itu. Sekiranya beliau tidak cemerlang dalam tugasan, maka seseorang yang lebih berupaya dari segi merit perlu dipilih sebagai pengganti. Formula itu lebih tepat dan adil untuk diguna pakai dan bukan untuk sesuatu kaum sahaja yang layak untuk menjawat jawatan tersebut.
Tiada kaum kelas kedua
Negara kita dibina hasil curahan tenaga dan sumbangan semua kaum dan bangsa. Maka bagaimana mungkin timbulnya idea untuk hanya satu kaum sahaja mendominasi segala jawatan penting negara? Apakah beliau cuba mengatakan bahawa kaum selain Melayu adalah kelas kedua, lebih rendah martabat atau maruahnya tidak sepenting maruah Melayu? Kita bukanlah negara yang mengamalkan sistem apartheid. Semua kaum telah berganding bahu dan memberi sumbangan buat tanah air tercinta, maka semua kaum harus mendapat tempat bersama dalam pentadbiran dan pengagihan ekonomi negara.
Berlapang dada dalam isu mazhab
Selain mengusulkan kriteria pemimpin jawatan utama kerajaan sebagai mestilah Melayu Islam, resolusi ini disempitkan lagi oleh beliau dengan menegaskan bahawa penjawat mestilah berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja. Suka saya ingin menarik perhatian beliau kepada kenyataan yang dicapai dalam Amman Message (2004) yang mengiktiraf 8 mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali, Syiah Jaafari, Syiah Zaidiyah, Zahiri dan Ibadi, serta dilarang mengkafirkan mazhab-mazhab ini. Amman Message yang bersidang lebih kurang 15 tahun lebih awal dari Kongres Maruah Melayu itu telah disertai sebanyak 84 buah negara Islam yang dipengerusikan oleh Raja Abdullah II sebagai Raja Jordan pada waktu itu dan Malaysia turut menghantar seramai 8 orang delegasi yang diketuai mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Maka cukup-cukuplah mahu mencari dan mencetuskan perbezaan, sebaliknya lihatlah pada persamaan yang lebih menguntungkan.
Tuding jari tidak selesaikan masalah
Kami berpendapat bahawa penganjuran kongres adalah satu usaha baik kerana ia menjadi langkah pelaksanaan menuju satu wawasan. Namun, kongres seperti Kongres Maruah Melayu harus menjadi medan untuk muhasabah dan membaiki diri daripada kelemahan-kelemahan dalaman yang berpunca dari diri sendiri. Cara ini lebih bermaruah daripada menuding jari meletakkan kesalahan kepada kaum lain atas kelemahan yang ditanggung ketika ini. Apa lagi jika ianya menimbulkan keresahan dan ketakutan di kalangan kaum lain dan ini menyebabkan tumbuhnya masyarakat reaksioner atau masyarakat melatah. Masyarakat reaksioner akan bertindak gopoh, tidak berpandukan kewarasan dan dengan hanya satu percikan permusuhan sahaja negara akan berantakan.
Kerajaan PH lemah menangani perkauman
Semenjak mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihanraya umum lalu, kita sentiasa dihidang dengan isu-isu perkauman yang semakin meruncing. Lebih malang lagi kerajaan dilihat lemah dan gagal mengatasi isu perkauman. Sedangkan perkara sebegini amat berbahaya dan mengancam kestabilan negara. Pimpinan Pakatan Harapan (PH) walaupun duduk dalam satu koalisi, dilihat tidak sepakat walau menamakan diri mereka sebagai Pakatan, namun seolah-olah hanya mahu menjadi jaguh kaum masing-masing. Ini seperti kata pepatah “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Ini bukanlah Malaysia Baru yang diidamkan bahkan ini boleh jadi lebih teruk daripada “Malaysia Lama”.
Membela maruah Melayu
Bangsa Melayu dan apa jua bangsa sekalipun sekiranya serius mahu mengangkat martabat bangsa, terdapat pelbagai cara: Misalnya menyatukan tenaga melawan rasuah di kalangan pemimpin bangsa sendiri, mengatasi masalah jenayah, penderaan seksual, penyalahgunaan dadah, pembasmian kemiskinan dan banyak lagi perkara yang berlaku dalam bangsa sendiri. Analoginya, jika mahu berpakaian cantik, jahit lubang di samping sendiri bukan mengoyakkan pakaian orang lain.
YB Ustaz Fadhli sebagai seorang yang pernah menjadi setiausaha kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz seharusnya mencontohi lebih dekat peribadi Almarhum yang begitu disenangi dan disanjungi semua kaum di dalam negara kerana prinsip beliau yang menyanggah nasionalis perkauman. Almarhum tidak perlu menanggalkan serban atau jubah yang dipakai untuk mendapat penghormatan daripada kaum lain, cukup dengan beliau tidak memakai pemikiran diskriminasi perkauman sempit yang merugikan.
Sebagai penutup saya berpesan buat diri saya sendiri untuk sama-sama merenung firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat 8;
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
==========
Nik Aziz Afiq bin Abdul ialah Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).