oleh S. Arutchelvan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Bank Negara sebagai Bank Pusat yang bertanggungjawab dalam menentukan regulasi bank tempatan supaya campurtangan dengan segera untuk menghentikan kerakusan dan ketamakan bank-bank komersial yang hendak mengenakan bayaran tambahan terhadap perkhidmatan kaunter dan mesin deposit tunai (CDM) bagi pembayaran bil kad kredit dan pembiayaan pinjaman.
Tindakan tamak bank komersial ini dikatakan mempunyai motif untuk memaksa lebih ramai orang untuk menggunakan perkhidmatan internet. PSM membantah tindakan ini atas sebab-sebab berikut:
- Tindakan ini akan membebankan ramai orang terutamanya golongan yang berpendapatan rendah, kurang pendidikan, tinggal di kawasan luar bandar dan sebagainya. Golongan yang akan menjadi mangsa caj tambahan ini bukan golongan yang berada tetapi majoritinya gologan yang tidak berada.
- Tindakan ini juga akan mengurangkan peluang pekerjaan dan ini sekali gus akan meningkatkan pengangguran. Yang akan untung hanyalah pemegang saham, kakitangan berpendapatan tinggi di bank manakala pekerja-pekerja yang kerja di kaunter akan kehilangan kerja. Ini akan membawa padah dan memberikan tekanan kepada ekonomi negara. Buat masa sekarang, ramai pekerja bank diancam oleh pembuangan kerja kerana automasi kerja dan juga penggabungan bank-bank.
- Jika hendak menjimat wang, maka bank boleh mengambil langkah untuk mengurangkan dividen kepada pemegang saham atau gaji CEO-CEO bank ini. 5 daripada 10 orang ketua pegawai eksekutif (CEO) yang menjadi penerima pendapatan paling tinggi di negara kita untuk tahun 2019 ialah CEO bank, umpamanya CEO Public Bank menerima RM 27 juta setahun (RM 2.25 juta sebulan), CEO Hong Leong Bank dengan RM 12 juta setahun atau pendapatan gaji bersama ganjaran lain sebanyak sejuta ringgit sebulan, manakala CEO sebuah bank syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – Malayan Banking Berhad pula mendapat gaji dan ganjaran lain sebanyak RM 8.7 juta setahun atau pendapatan sebulannya RM 725.000. CEO CIMB bank pula mendapat elaun dan ganjaran lain sebanyak RM 9.89 juta setahun atau RM 824,000 sebulan. Antara bank yang sudahpun mengenakan caj tambahan ini adalah CIMB dan Public Bank manakala Maybank dijangka akan bermula bulan depan.
Sepatutnya pendapatan daripada golongan maha kaya ini disalurkan untuk membantu rakyat. Tindakan bank mengenakan caj ini berkemungkinan untuk meningkatkan dividen kepada pemegang saham dan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan tertinggi manakala golongan pekerja bawahan dibuang kerja dan rakyat dibebankan dengan caj tinggi.
Bank Negara Malaysia yang telah banyak kali mengatakan bahawa gaji pekerja Malaysia adalah rendah dan sebagainya, harus menjalankan tanggungjawabnya untuk memastikan rakyat Malaysia tidak lagi dibebankan dengan caj tinggi bank tempatan, di mana Bank Negara mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat. Laporan Tahunan Bank Negara tahun 2018 mengatakan bahawa pekerja Malaysia mendapat gaji yang lebih rendah berbanding dengan produktiviti. Kerajaan Pakatan Harapan (PH), terutamanya Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi, harus bertindak dan memberikan isyarat jelas sama ada mereka bersama korporat bank atau bersama rakyat Malaysia yang semakin menanggung beban dan kos tinggi dalam keadaan gaji minimum ditekan pada paras rendah.
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).