Bandaraya yang menjadi pusat kewangan antarabangsa, Hong Kong, sedang dilanda gelombang protes besar-besaran yang terbaru, apabila Kerajaan Hong Kong pimpinan Ketua Eksekutif Carrie Lam berdegil untuk memperkenalkan rang undang-undang ekstradisi yang bakal menghakis autonomi bandaraya tersebut dan membolehkan perluasan cengkaman kuasa daripada pihak pemerintah Beijing.
Pada hari ini (12 Jun 2019), puluhan ribu rakyat Hong Kong telah mengepung bangunan Dewan Perundangan dan pusat pentadbiran kerajaan di Admiralty. Jalanraya telah diduduki oleh para demonstran, seolah-olah ulang tayang aksi Occupy yang pernah berlaku pada tahun 2014. Polis cuba menggunakan kekerasan untuk menyuraikan para demonstran dan tercetusnya pertembungan yang sengit di jalanan. Gas pemedih mata dan peluru getah ditembak ke arah demonstran yang tidak bersenjata.
Bacaan kedua untuk rang undang-undang ekstradisi yang dijadualkan pada hari telah ditangguhkan berikutan protes besar-besaran di luar Dewan Perundangan. Pihak polis Hong Kong telah menyifatkan apa yang berlaku ini sebagai “rusuhan”. Puluhan orang demonstran cedera akibat tindakan ganas polis.
Undang-undang yang bakal menghakis ruang demokrasi
Kerajaan Hong Kong telah mencadangkan satu rang undang-undang untuk meminda Ordinan Pesalah Pelarian (Fugitive Offenders Ordinance) dan Ordinan Bantuan Perundangan Bersama dalam Perkara-perkara Jenayah (Mutual Legal Assistance in Criminal Matters Ordinance), supaya pengaturan untuk proses penyerahan suspek jenayah boleh dilakukan di antara Hong Kong dengan mana-mana tempat di luar Hong Kong, termasuk Tanah Besar China.
Rang Undang-undang ini menimbulkan kontroversi dan kebimbangan ramai kerana ia membuka pintu kepada ancaman penghakisan terhadap sistem kehakiman di Hong Kong, di samping meningkatkan risiko warga Hong Kong dan warganegara asing yang mengunjungi bandaraya tersebut untuk ditangkap dan diserahkan kepada Tanah Besar China bagi dihadap di mahkamah di bawah penguasaan politik pemerintah Beijing. Hong Kong dan Tanah Besar China mengamalkan sistem kehakiman yang berbeza. Sistem kehakiman di Tanah Besar China mempunyai pelbagai masalah kerana sering digunakan untuk tujuan politik dan melenyapkan suara kritikan terhadap pihak pemerintah. Tindakan Kerajaan Hong Kong untuk melaksanakan pindaan undang-undang ini secara tergesa-gesa, turut mengundang kerisauan tentang cengkaman politik yang semakin kuat daripada Beijing terhadap Hong Kong dan menghakis ruang demokrasi dengan lebih lanjut lagi.
Dari 12 ribu hingga lebih 1 juta orang
Fron Hak Asasi Manusia Sivil (CHRF), sebuah organisasi masyarakat sivil yang memfokus pada isu demokrasi di Hong Kong, telah menganjurkan aksi membantah rang undang-undang ekstradisi, dengan perarakan yang pertama diadakan pada 31 Mac 2019 dan disertai oleh 12,000 orang.
Kemudiannya pada 28 April 2019, perarakan bantah rang undang-undang ekstradisi anjuran CHRF yang kedua disertai oleh 130,000 orang, satu jumlah yang agak besar sejak aksi protes Gerakan Payung pada 5 tahun yang lalu. Namun, ini bukan lagi kemuncaknya.
Pada 9 Jun 2019, dianggarkan 1.03 juta orang turun ke jalanraya untuk menyertasi perarakan bantah rang undang-undang ekstradisi anjuran CHRF yang ketiga. Ini merupakan aksi demonstrasi yang terbesar di Hong Kong sejak tahun 1989. Jumlah penyertaan aksi telah melebihi demonstrasi membantah rang undang-undang keselamatan negara pada tahun 2003 yang disertai hampir 700,000 orang.
Revolusi Payung 2.0?
Walaupun menghadapi bantahan yang hebat, Kerajaan Hong Kong yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif Carrie Lam telah mengeluarkan kenyataan pada malam 9 Jun 2019 yang mengatakan bahawa Kerajaan akan meneruskan dengan usahanya meluluskan rang undang-undang ekstradisi di Dewan Perundangan. Ini telah membangkitkan kemarahan ramai orang, khususnya golongan anak muda, sehingga mencetuskan gelombang protes yang terbaru.
Berikutan pengumuman Kerajaan Hong Kong untuk meneruskan bacaan kedua rang undang-undang ekstradisi, semakin ramai orang menyeru untuk mengambil tindakan yang lebih drastik untuk berprotes. Semalam sebelum rang undang-undang ekstradisi dijadualkan untuk bacaan kedua, ramai orang sudah pun berkumpul untuk bermalam di sekitar bangunan Dewan Perundangan.
Pada pagi 12 Jun 2019, demonstran mula menduduki jalanraya di sekeliling kompleks bangunan kerajaan di Admiralty. Ini bagaikan ulang tayang apa yang berlaku semasa protes “Revolusi Payung”. Adakah ini menandakan permulaan satu gelombang aksi anti-kerajaan yang baru setelah Revolusi Payung 2014?
Latar belakang sejarah
Hong Kong pernah dijajah oleh kuasa British dari kurun ke-19 hingga ke tahun 1997. Apabila Hong Kong diambilalih oleh kerajaan British selepas Perang Candu pada tahun 1840-an, rakyat Hong Kong tidak pernah menikmati hak demokratik untuk menentukan nasib mereka sendiri. Apabila kerajaan British dan kerajaan China yang berpusat di Beijing menandatangani satu kenyataan bersama pada bulan Disember 1984 berkenaan dengan masa hadapan Hong Kong, rakyat Hong Kong itu sendiri telah dikecualikan dalam rundingan dua pihak tersebut. Rakyat Hong Kong telah menganjurkan aksi solidariti yang paling besar di luar Tanah Besar China pada tahun 1989 dalam menyokong gerakan demokrasi rakyat China, tetapi pembunuhan ramai-ramai dan penindasan ke atas gerakan demokratik di China pada masa itu juga telah meninggalkan kesan ketakutan dan kebimbangan yang amat mendalam kepada rakyat Hong Kong.
Selepas Hong Kong “dikembalikan” pemerintahannya kepada negara China pada tahun 1997, walaupun Hong Kong sebagai sebuah “wilayah pentadbiran khas” yang menikmati tahap autonomi yang tinggi atas prinsip “Satu Negara Dua Sistem”, tetapi rakyat Hong Kong masih tidak lagi menikmati demokrasi yang sebenar, kerana rakyat Hong Kong tidak dapat memilih secara terus Ketua Eksekutifnya melalui pilihanraya umum, tambahan pula dengan Dewan Perundangannya juga tidak terdiri daripada wakil yang dipilih sepenuhnya melalui pengundian universal.
Sementara itu, ketegangan antara Hong Kong dengan Tanah Besar China juga menjadi semakin sengit sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dengan menyaksikan campurtangan Beijing yang semakin menonjol dalam politik Hong Kong, ancaman pemodal besar dari Tanah Besar China yang semakin menghimpit kehidupan rakyat biasa di Hong Kong, serta ekonomi pasaran bebas tanpa kawalan yang menyebabkan masalah jurang pendapatan yang semakin serius.
Perarakan 1 Julai 2003 merupakan demonstrasi jalanan yang terbesar selepas Hong Kong “dikembalikan” kepada China. Rakyat Hong Kong juga menuntut pilihanraya yang sebenar untuk bertahun-tahun lamanya tetapi tidak menampakkan hasil akibat daripada keengganan pihak pemerintah mengambil kira suara hati rakyat biasa. Untuk satu dekad yang lalu, tercetusnya banyak aksi protes yang membantah kepincangan pemerintah Hong Kong, misalnya protes menentang projek keretapi berhalaju tinggi Hong Kong – Guangzhou pada tahun 2009-2010, gerakan menolak pendidikan nasional dalam sekolah pada tahun 2012-2013, mogok pekerja perlabuhan pada 2013 dan juga perjuangan membantah projek pembangunan di Timur Laut New Territory yang memuncak pada tahun 2014. Pada bulan September 2014, tercetusnya gelombang protes besar-besaran yang bergelar “Revolusi Payung” apabila puluhan ribu orang menduduki jalanraya di kawasan Admiralty, Causeway Bay dan Mongkok untuk tempoh masa lebih 2 bulan. Selepas Revolusi Payung, ruang demokrasi semakin mengecut apabila Kerajaan Hong Kong mengambil tindakan yang keras terhadap gerakan masyarakat sivil dan pembangkang, termasuk membatalkan kelayakan wakil rakyat yang dipilih dalam pilihanraya, pendakwaan dan pemenjaraan ramai aktivis politik yang terlibat dalam aksi protes, serta pengawasan polis yang semakin ketat terhadap aktivis politik.
One thought on “Hong Kong: Payung bertemu gas pemedih mata lagi”