Puak pelampau kanan anti-demokratik yang mengapi-apikan sentimen agama dan fahaman nasionalis yang sempit menang dalam pilihanraya di negara yang kononnya demokrasi terbesar di dunia, adalah tamparan yang hebat kepada demokrasi borjuasi.
Pakatan Demokratik Nasional (National Democratic Alliance, NDA) yang diterajui oleh Parti Bharatiya Janata (BJP), sebuah parti nasionalis Hindu pelampau kanan yang dipimpin oleh Narendra Modi selaku penyandang jawatan Perdana Menteri India, telah berjaya mempertahankan kuasa pemerintahannya dalam pilihanraya umum di India, setelah memenangi sebanyak 355 daripada 542 kerusi dalam Lok Sabha (iaitu Dewan Rakyat untuk Parlimen India). Kerusi yang dimenangi NDA telah bertambah sebanyak 19 kerusi berbanding pilihanraya umum India pada tahun 2014. BJP sendiri menang sebanyak 303 kerusi, bertambah sebanyak 21 kerusi berbanding 282 kerusi pada tahun 2014.
Pakatan Progresif Bersatu (United Progressive Alliance, UPA) yang diterajui oleh Parti Kongres Nasional India (INC), walaupun berjaya menambahkan 32 kerusi dengan menguasai sebanyak 92 kerusi dalam Lok Sabha, tetapi gagal mencabar kekuasaan BJP. INC sendiri menang 52 kerusi, bertambah sebanyak 8 kerusi berbanding pilihanraya umum lalu.
Pilihanraya umum India kali ini diadakan dalam 7 fasa dari 11 April hingga 19 Mei 2019, dengan pengiraan undi dan pengumuman keputusan berlangsung pada 23 Mei 2019. Lebih 8,000 orang calon bertanding dalam pilihanraya umum kali ini. Lebih 67% daripada sejumlah lebih kurang 900 juta pengundi keluar mengundi, satu peratusan yang paling tinggi dalam sejarah India. Namun yang menjadi ironinya adalah, pilihanraya dengan penyertaan pengundi yang paling ramai di dunia ini telah menghasilkan satu keputusan yang memperkukuhkan sebuah rejim bersifat fasis di negara hampir mengatasi negara China sebagai negara berpenduduk terbanyak di dunia.
Kemenangan BJP yang dipimpin oleh Modi untuk penggal kedua ini merupakan daripada sebahagian trend dunia, dari Amerika Syarikat ke Brazil dan Itali, yang menyaksikan perluasan kuasa golongan populis berhaluan kanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kempen pilihanraya umum di India pada kali ini dipenuhi dengan politik keagamaan yang dipermainkan oleh parti-parti berhaluan kanan, khususnya BJP. BJP banyak menekankan pada isu agama, keselamatan negara dan kebanggaan nasional. Kempen BJP memfokus banyak kepada penyebaran kebencian agama dan serangan terhadap golongan minoriti.
Sebelum berlangsungnya pilihanraya umum, kerajaan India pimpinan Modi melakukan beberapa serangan udara ke atas Pakistan dan tercetus keadaan tegang antara dua negara yang bermusuhan itu, di mana digunakan oleh BJP untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat di samping mengapi-apikan sentimen nasionalis yang sempit.
Politik populis berhaluan kanan yang mempermainkan sentimen perkauman dan sensasi personaliti nampaknya telah mengakibatkan ramai pengundi lupa pada janji-janji yang tidak ditepati oleh politikus-politikus yang berkuasa selama tempoh 5 tahun yang lalu, dan tidak mengundi berasaskan kepentingan kelas, sebaliknya terus menyokong kerajaan yang mengamalkan dasar-dasar yang anti-pekerja dan mencatatkan kadar pengangguran yang tertinggi (6.1% pada tahun 2017-18, dengan kadar pengangguran di kalangan anak muda jauh lebih tinggi) dalam 4 dekad kebelakangan ini.
Kerajaan BJP juga mengancam institusi demokrasi dan akademik di negara India. Pada tahun 2016, kerajaan BJP mengatur serangan terhadap Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) yang terkenal dengan persekitaran kampusnya yang progresif, apabila ramai ramai pelajar, termasuk presiden kesatuan pelajar Kanhaiya Kumar, ditahan atas pertuduhan menghasut. (Kanhaiya Kumar bertanding dalam pilihanraya kali ini sebagai calon Parti Komunis India di kawasan Begusarai di negeri Bihar, tetapi kalah dengan memperoleh 269,976 undi.)
Ramai bimbang bahawa kemenangan besar untuk BJP akan memburukkan lagi polarisasi agama dan serangan terhadap minoriti serta suara kritikan dalam negara India. Kerajaan BJP pimpinan Modi yang memerintah selama 5 tahun sebelum ini, telah melaksanakan berbagai dasar ekonomi neo-liberal yang menekan kelas pekerja, dan membawa kepada peningkatan pengangguran serta masalah ekonomi.
Kemenangan yang lebih besar untuk BJP, pastinya memberi keyakinan kepada Modi untuk meneruskan dasar ekonominya yang pro-kapitalis. Kerajaan Modi juga tidak akan ragu-ragu untuk mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam isu keselamatan nasional dengan mencetuskan lebih ketegangan ketenteraan sekiranya masalah ekonomi India berterusan.
Parti-parti serantau yang bergabung dalam Federal Front, rata-rata mengalami penurunan sokongan, dengan salah satu parti pengasas gabungan ini, All India Trinamool Congress yang bertapak di Bengal Barat, berkurangan sebanyak 12 kerusi menjadikannya hanya menguasai 22 kerusi.
Parti-parti kiri utama di India, Parti Komunis India (CPI) dan Parti Komunis India (Marxis) [CPI(M)] telah mengalami kekalahan yang agak teruk. CPI menang 2 kerusi (bertambah 1 kerusi berbanding tahun 2014), sementara CPI(M) hanya menang 3 kerusi (berkurangan sebanyak 6 kerusi berbanding tahun 2014). CPI(M) menang 1 kerusi di Kerala dan 2 kerusi di Tamil Nadu, sementara CPI juga menang 2 kerusi di Tamil Nadu.
Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan [CPI(ML)Liberation] pula tidak dapat menang apa-apa kerusi, walaupun calonnya yang popular, Raju Yadav yang bertanding di kawasan Arrah di negeri Bihar, mendapat lebih 400,000 undi.
Pengukuhan kuasa puak pelampau kanan memberi cabaran yang besar kepada golongan kiri India dalam perjuangan mempertahankan republik demokratik sekular daripada serangan fasis dan menegakkan hak rakyat.