oleh Jason Wong
Sambutan Hari Pekerja akan diadakan tidak lama lagi. Namun, masalah pekerja sentiasa menghantui para pekerja dan penyelesaian kepada masalah ini jarang dilihat sekali. Antara masalah terbesar yang melanda para pekerja adalah gaji yang tidak mencukupi selama berkurun lamanya sedangkan kos sara hidup sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Saya secara peribadi menganggap isu pekerja adalah isu yang sangat penting kerana pekerja adalah tunjang utama masyarakat kita. Isu ini berkait rapat dengan isu mahasiswa juga, kerana mahasiswa zaman kini adalah pekerja zaman hadapan. Malah, ada mahasiswa yang bekerja sambil belajar untuk menampung yuran dan kos sara yang hidup yang tinggi. Namun begitu, ramai wira papan kekunci mengkritik keterlibatan mahasiswa dalam mempersoalkan isu ekonomi negara. Mereka berpendapat bahawa isu ini bukan urusan kami, kami seharusnya berada di dalam kelas dan kami tidak ada hak untuk mencampurtangan dalam urusan politik sehinggalah kami bergraduasi. Mereka salah. Sama ada mahasiswa sedar atau tidak, gaji adalah isu mahasiswa di beberapa peringkat yang utama.
Mahasiswa dan siswazah bergaji rendah
Sekiranya anda bekerja semasa belajar, mengambil latihan industri sebagai sebahagian daripada kursus, atau bekerja sementara selepas bergraduasi sebelum mendapat kerja yang memerlukan sijil ijazah, anda mungkin akan dibayar pada kadar atau lebih sedikit daripada gaji minimum. Bagi meletakkan perkara dalam perspektif, sebahagian besar pelatih industri dalam tenaga kerja di sini tidak dibayar langsung, bahkan mereka yang dibayar hanya dibayar RM1000 sebulan bulan. Cadangan Pakatan Harapan untuk gaji minimum RM1100 sebulan berkuatkuasa pada Januari 2019, namun selepas itu Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran telah mengeluarkan satu lagi kenyataan pada bulan Februari yang lepas menyatakan bahawa kerajaan akan mengkaji gaji pokok yang lebih “relevan”bagi sektor tertentu kerana RM1100 terlalu tinggi bagi sesetengah sektor.
Sekiranya anda mempunyai lebihan tenaga untuk bekerja lebih masa (12 jam sehari), anda mungkin akan dapat RM1250 sebulan. Dan sekiranya anda berjaya mencari pekerjaan profesional sebagai siswazah, sangat sedikit jawatan yang menawarkan gaji permulaan RM2500 sebulan, bahkan laporan Bank Negara baru-baru ini mencadangkan bahawa gaji untuk sara hidup di Kuala Lumpur adalah RM2700 sebulan.
Secara ringkasnya, sesiapa saja yang bekerja tanpa memerlukan sijil ijazah akan mendapat manfaat secara langsung dengan tuntutan gaji minimum RM1800 sebulan. Sesiapa saja yang bekerja dengan apa-apa kerja akan mendapat manfaat secara langsung sekiranya cadangan Bank Negara gaji RM2700/bulan diikuti. Melawan untuk gaji yang lebih baik akan membantu ramai mahasiswa dan siswazah untuk menyimpan dengan lebih awal dan membantu keluarga mereka.
Kebanyakan mahasiswa daripada golongan B40
Sebahagian besar mahasiswa univesiti tempatan datang daripada keluarga B40. Bahkan di Universiti Malaya saja, lebih separuh mahasiswa datang daripada keluarga B40. Ini pun disebabkan skim PTPTN dan juga kerana mahasiswa daripada keluarga berada selalunya memilih untuk belajar di luar negara.
Namu,n sudah tentu pinjaman tersebut perlu dibayar balik. Sementara kerajaan telah mencadangkan untuk meletakkan tahap gaji tertentu untuk pembayaran semula, ia masih lagi di peringkat cadangan. Gaji yang baik akan mengurangkan tempoh pembayaran semula PTPTN oleh ribuan mahasiswa. Yang lebih penting, ramainya mahasiswa B40 bermakna gaji minimum yang lebih tinggi akan memberi manfaat kepada keluarga mereka, sama ada ibubapa atau adik-beradik yang lebih tua yang sedang membiayai pendidikan mahasiswa tersebut. Oleh kerana kebanyakan mahasiswa ini datang daripada pekan kecil, gaji yang lebih tinggi akan meningkatkan pendapatan boleh guna untuk penduduk kawasan yang kurang membangun di Malaysia.
Isu gaji minimum justeru adalah isu ketercapaian kepada pendidikan. Kita seharusnya memperjuangkan pendidikan percuma, dan pada masa yang sama memperjuangkan gaji yang lebih tinggi supaya segala perbelanjaan keperluan mahasiswa seperti makanan, sewa, bil-bil, perjalanan dan rekreasi adalah dalam kemampuan kuasa beli mereka.
Perjuangan gaji minimum adalah perjuangan kesatuan pekerja
Kritikan lain yang biasa adalah “apa bebalnya pekerja dan pelajar ni! Mereka fikir pandangan mereka penting kepada Tun kami!” Dan mereka betul. Sesiapa sahaja yang serius untuk memenangi gaji yang mencukupi di Malaysia cukup tahu bahawa selagi kaum pekerja tidak membuat bising, kerajaan Pakatan Harapan akan menuruti bos-bos ini dan mengekalkan gaji yang rendah. Dalam keadaan ekonomi yang merosot ini, kerajaan akan sentiasa dipaksa untuk membuat pilihan antara dua strategi: sama ada untuk membiarkan golongan kaya terus mengaut keuntungan dengan cara apa pun, supaya ekonomi berkembang, walaupun pekerja dan golongan susah terus berlapar; ataupun mengagihkan kekayaan kepada golongan susah, agar mereka dapat membeli, mengekalkan tahap hidup, mengembangkan pangkalan pengguna serta ketercapaian kepada pendidikan untuk membuka laluan bagi memulihkan ekonomi.
Sekiranya kerajaan enggan mendengar bantahan secara aman, pilihan seterusnya bagi kaum pekerja untuk mempertahankan gaji dan kerja mereka adalah dengan mogok. Ini memerlukan kesatuan pekerja yang kuat. Dan kesatuan pekerja yang kuat terbina apabila pekerja ditawarkan tuntutan yang baik untuk diperjuangkan dan masyarakat menyokong perjuangan mereka. Ini menjadi sebab kami menuntut RM1800 sebulan dan mengapa kami cuba untuk menyebarkan perjuangan kepada setiap seksyen masyarakat termasuklah golongan mahasiswa. Kita dapat membina semula gerakan kesatuan pekerja kita melalui kempen gaji minimum ini. Kesatuan pekerja yang kuat dan konsisten adalah satu-satunya jaminan yang kita akan mendapat gaji minimum yang lebih tinggi. Ia adalah jaminan agar kita dapat mempertahankan gaji tersebut selepas berjaya dituntut daripada kerajaan. Ia juga adalah satu-satunya jaminan yang individu di tempat kerja dapat bersama melawan majikan yang melanggar perintah gaji minimum atau mengeksploitasi kelemahan undang-undang. Dengan cara yang serupa, kami ingin membina semula kesatuan mahasiswa supaya mahasiswa mempunyai kawalan terhadap bagaimana kampus kami diurus. Hanya kesatuan
mahasiswa yang kritikal dapat memastikan era Najib yang memotong dana universiti tidak diulangi, kerajaan Pakatan Harapan bergerak ke arah pendidikan percuma, autonomi dan pemansuhan AUKU dilaksanakan, dan dana yang diterima kampus kita dibelanjakan kepada staf dan mahasiswa, dan bukannya birokrat.
Kita ada tanggungjawab kepada masyarakat
Kami mengambil contoh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya pada tahun 1960-an, yang kerap memobilisasi bukan saja isu-isu mahasiswa bahkan isu-isu luar kampus seperti gaji petani yang tidak dibayar dan mempertahankan peneroka bandar. Slogan mereka “Mahasiswa Suara Rakyat” menggariskan pemahaman mereka bahawa mahasiswa harus menggunakan kedudukan mereka dan kemahiran mereka untuk kebaikan masyarakat. Walaupun bukan semua mahasiswa Universiti Malaya mempelajari sejarah atau politik, namun oleh kerana mereka memahami tanggungjawab mereka kepada masyarakat, kesatuan mahasiswa mereka memastikan semua orang mendapat maklumat terkini tentang isu-isu semasa. Apabila kesatuan mahasiswa menyeru mahasiswa untuk menyokong pekerja dan golongan miskin, mereka beramai-ramai meninggalkan dewan kuliah untuk menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan. Kesatuan mahasiswa di seluruh dunia masih lagi terus aktif dengan politik. Suara mereka digeruni dan dihormati oleh masyarakat kerana melawan untuk golongan yang tidak dapat bersuara untuk diri sendiri. Apabila sekumpulan besar mahasiswa berhenti sekejap daripada kuliah untuk membawa isu rakyat, orang sekeliling akan mendengar. Kempen gaji minimum adalah mobilisasi pertama kelas pekerja sejak pilihanraya pada 9 Mei tahun lepas.
Pakatan Harapan dan kelas borjuis sedang memerhatikan dengan rapat, dan mereka akan membuat dasar buruh untuk 4 tahun lagi berdasarkan bagaimana kelas pekerja mampu untuk menyusun gerakan mereka dan melawan. Beberapa cukai baru telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2019 oleh kerajaan. Seharusnya cukai yang diperkenalkan dalam belanjawan ini dikenakan terhadap golongan kaya raya dan syarikat, tetapi pada hakikatnya golongan pekerja yang dibebankan. Kita sepatutnya memperjuangkan pengagihan harta yang samarata kepada semua golongan.
Kita harus memberi pengertian baru kepada halatuju universiti
Kini, kita dipaksa untuk mempercayai bahawa kita pergi ke universiti untuk manfaat sendiri, untuk mendapat gaji dan kerja yang baik selepas mendapat ijazah. Kita dipaksa untuk memikir bahawa kita adalah pelanggan universiti, yang mana pendidikan kita terima adalah produknya. Namun, hakikatnya majikan kita pada masa hadapan adalah pelanggan universiti, universiti adalah penyedia perkhidmatan dan mahasiswa adalah produknya. Siswazah mugkin akan menghasilkan 10 atau 20 kali ganda kualiti berbanding pekerja yang kurang berkemahiran kepada bos mereka, namun mereka hanya dibayar tiga atau empat kali ganda sahaja. Baki daripada produktiviti tersebut akan terus masuk ke poket bos mereka. Lalu mereka akan membuat kita bersaing sesama sendiri untuk jawatan agar mereka dapat membayar kita dengan lebih rendah. Bos-bos ini berjaya memperbodohkan semua orang untuk memikirkan universiti adalah syarikat dan bukannya perkhidmatan awam. Tidak ada industri di muka bumi di mana produknya diharapkan untuk membayar prosesnya sendiri! Dan kita dihambat dengan kenaikan demi kenaikan yuran, sedangkan kerajaan kurang mencukai perniagaan-perniagaan besar dan kerap mengurangkan dana kepada universiti-universiti kita. Ini mengapa perjuangan mahasiswa dan perjuangan pekerja adalah satu dan sama.
Mahasiswa memerlukan kesatuannya tersendiri untuk memastikan pendidikan didanai dengan baik dan wang kerajaan dibelanjakan dengan berhemah dan saksama. Pekerja memerlukan kesatuan pekerja untuk memastikan mereka dibayar dengan nilai yang setimpal dengan kerja yang dilakukan. Kedua-dua kesatuan pekerja dan kesatuan mahasiswa perlu bertindak apabila ahli mereka berada dalam bahaya. Kita mesti melakukan apa yang dalam kuasa kita untuk saling membantu dalam membina semula kesatuan kita. Kami menyeru kepada semua mahasiswa dan pekerja untuk hadir pada 1 Mei ini untuk
bersama-sama dalam menuntut hak-hak kita yang sepatutnya diberikan oleh kerajaan sejak dulu lagi!
(Rencana ini diterbitkan oleh Jawatankuasa Mei 2019 di laman facebook “Sambutan Hari Pekerja Mei 1 2019”)