20190327 - kpm.jpgPUTRAJAYA – 27 MAC 2019: Wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) bersama dengan akvitis daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah berjumpa dengan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik pada hari ini, untuk membawa isu jaminan kerja yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak di sekolah kerajaan kepada perhatian pihak Kementerian Kesihatan.

Pekerja-pekerja kontrak di sekolah kerajaan termasuk pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan, yang diupah oleh kontraktor swasta. Pekerja-pekerja ini melakukan kerja yang tetap, bukannya kerja bermusim atau sementara, tetapi diupah melalui sistem kontrak yang berjangka masa pendek (biasaya 2 atau 3 tahun). Pekerja-pekerja kontrak ini merupakan rakyat daripada golongan berpendapatan 40% terbawah (B40).

Masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak di premis sekolah kerajaan termasuk:

  • Kontraktor tidak membayar gaji berbulan-bulan;
  • Kontraktor menghilangkan diri;
  • Tiada pemotongan caruman KWSP, PERKESO dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP);
  • Tiada kenaikan gaji;
  • Tiada slip gaji, pengiraan bayaran kerja lebih masa (OT) yang tidak betul;
  • Tiada jaminan kerja – kontrak diperbaharui 3 tahun sekali;
  • Pembuangan pekerja yang berleluasa

Pada awal tahun ini, ramai pekerja pembersihan sekolah dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan dibuang kerja, kerana kontraktor baru yang mengambilalih mengatakan bahawa Kementerian Pendidikan telah mengurangkan peruntukan untuk perkhidmatan sokongan di sekolah kerajaan.

Pekerja-pekerja kawalan keselamatan di sekolah juga menghadapi masalah penurunan gaji kasar secara mendadak apabila waktu kerja pengawal keselamatan di sekolah ditukar daripada 2 syif (12 jam sehari) kepada 3 syif (8 jam sehari). Isu keselamatan juga timbul apabila ditukar kepada sistem 3 syif, kerana hanya seorang sahaja pengawal yang akan bertugas pada sebelah petang dan seorang lagi pada sebelah malam, dengan pengawal keselamatan yang bertugas berseorangan itu tidak ada sokongan rakan sekerja sekiranya berlaku kecemasan.

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) telah mengemukakan cadangannya kepada Kementerian Pendidikan yang merangkumi syor jangkamasa pendek dan syor jangka masa panjang.

Syor jangkamasa pendek JPKK adalah:

  • Kementerian Pendidikan harus menyelesaikan pampasan kepada pekerja yang hilang kerja baru-baru ini;
  • Kementerian Pendidikan patut memulihkan sistem kerja 2 syif untuk pengawal keselamatan sekolah, ATAU menaikkan gaji supaya pengawal keselamatan mendapat jumlah gaji bulanan yang sama dengan sebelum ini apabila ditukar kepada 3 syif;
  • Kementerian Pendidikan harus menyelesaikan segara masalah gaji tertunggak untuk pekerja-pekerja kontrak, khususnya bekas pekerja Time Medi yang tidak dibayar gaji untuk 8 bulan pada tahun 2015;
  • Kementerian Pendidikan harus menyenaraihitamkan kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang pekerjaan.

Syor jangkamasa panjang JPKK adalah:

  • Hapuskan sistem kontrak untuk kerja-kerja tetap di premis sekolah kerajaan dan menjadikan semua pekerja ini sebagai pekerja tetap.

Kerja-kerja perkhidmatan sokongan seperti pembersihan dan kawalan keselamatan ialah kerja tetap yang diperlukan setiap masa selagi sekolah itu masih beroperasi. Penyumberan luar atau pelantikan kontraktor swasta untuk mengupah pekerja ini, mengundang pelbagai masalah kepada pekerja-pekerja berpendapatan rendah ini, dengan ketidakjaminan kerja dan pencabulan hak pekerja yang berterusan. Kerajaan perlu mengembalikan sistem pengambilan pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah seperti yang diamalkan sebelum tahun 1980-an, iaitu semua pekerja di sekolah diupah sebagai pekerja tetap kerajaan.

3 thoughts on “Kementerian Pendidikan harus selesaikan masalah ketidakjaminan kerja pekerja kontrak di sekolah kerajaan

  1. slm…..sy ingin bertny
    Ayh sy bekerja sbgai tukng kebun sekolh slma 7bln
    Tiba2 mndapat pgiln dri pihak kontrak diberhntikn kerja sampai bln 7 tnpa notis.tnpa sbb tnpa bincg dri pihak sekolh dgn tiba2.. Pgiln dibuat pda 30.7..pkl 5pm.Ad satu hri lgi mse untuk bekerja 31.7…potogn kwsp tiada, ke kerja sbgai tukan kebun sekolh tiada kwsp dn sebgainy.. Apa tindakn perlu dibuat??????

    1. Boleh fail tuntutan di Jabatan Tenaga Kerja terdekat untuk gaji ganti notis kerana pemberhentian yang tidak sah.

      Jika nak pulihkan kerja, boleh fail kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *