oleh Mohanarani Rasiah
Parti Sosialis Malaysia (PSM) kecewa dengan kenyataan Kementerian Pendidikan (Berita Harian online 26/2/19) yang menafikan peranan Kementerian dalam isu kehilangan kerja 12,000 orang pengawal keselamatan dan mungkin lebih ramai pekerja pembersihan di sekolah-sekolah kerajaan . Perkara ini berlaku berikutan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengurangkan perbelanjaannya.
Pada permulaan tahun ini, sebilangan pekerja kontrak di sekolah kerajaan – pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan – tidak diupah semula apabila kontrak lama tamat dan kontraktor baru mengambilalih. Kebanyakan mereka ini bukannya pekerja baru dan telah bekerja di sekolah yang sama untuk beberapa tahun di bawah kontraktor-kontraktor berlainan. Biasanya apabila satu kontrak tamat selepas tiga tahun, pekerja-pekerja ini diambil semula di bawah kontrak baru, tetapi kali ini, mereka ditimbul nasib malang. Secara tiba-tiba mereka menjadi penganggur, tanpa diberi sebarang notis atau pampasan. Semua komitmen kewangan mereka terganggu – bayaran sewa, bil-bil dan sebagainya – menyebabkan mereka yang kebanyakannya daripada keluarga B20 (golongan berpendapatan terbawah 20%) ini menjadi lebih miskin dan berhutang.
Siapa yang bertanggungjawab terhadap kehilangan kerja pekerja-pekerja kontrak ini? KPM menafikan bahawa mereka menjadi punca masalah ini dan memilih untuk menyalahkan kontraktor/syarikat swasta. Menurut KPM, “KPM tidak terbabit dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan adalah perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta… malah ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan.”
Penjelasan KPM tidak masuk akal, malah menunjukkan contoh buruk nilai bertanggungjawab. Memang di bawah sistem kontrak yang diwujudkan oleh KPM, tugas pengambilan pekerja telah disubkontrak kepada kontraktor. Kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya atas pemilihan pekerjanya, iaitu dia boleh memilih siapa sahaja dia mahu untuk menjadi pekerjanya.
Tetapi perkara-perkara seperti bilangan pekerja untuk sesebuah premis KPM, jumlah gaji dan bilangan syif diputuskan oleh KPM. Sekiranya dalam harga kontrak, KPM memperuntukan bayaran gaji untuk empat orang pekerja sahaja untuk sesebuah sekolah, maka tentulah kontraktor berkenaan akan mengambil empat orang pekerja sahaja. Sekiranya kontrak sebelum itu mengupah enam orang pekerja, maka dua orang akan hilang kerja. Adakah ini kesalahan kontraktor atau berpunca daripada dasar KPM?
KPM tidak harus mencuci tangan dan perlu mengakui bahawa kehilangan kerja pekerja kontrak berpunca daripada keputusannya. Keputusan KPM untuk mengurangkan belanjawan untuk perolehan perkhidmatan adalah hak mereka, tetapi KPM harus sedar bahawa beribu-ribu pekerja dan keluarga mereka daripada golongan B20 akan terjejas dan merana akibatnya. KPM harus sedar bahawa pekerja kontrak yang bekerja di premisnya adalah manusia yang mempunyai keperluan asas tertentu dan bukannya robot, maka sebarang keputusan atau perubahan dasar akan menjejaskan mereka.
KPM sepatutnya memastikan bahawa wang bayaran ganti notis dan pampasan diperuntukkan untuk pekerja yang bakal hilang kerja. KPM sebagai kerajaan tidak harus bersembunyi di belakang justifikasi undang-undang berkaitan “kontrak”.
Sistem kontrak yang diamalkan oleh KPM dan jabatan-jabatan kerajaan lain memang tidak adil dan menyebabkan kehilangan jaminan kerja dan mencetuskan kemiskinan di kalangan masyarakat miskin. Sistem kontrak digunapakai untuk kerja-kerja bukan sementara bagi mengurangkan kos bagi kerajaan, tetapi menindas pekerja.
PSM menuntut supaya semua pekerja yang kehilangan kerja, yang mungkin dalam lingkungan 25,000 orang (12,000 pengawal keselamatan dan jumlah yang sama atau lebih untuk pekerja pembersihan), akibat perubahan dasar KPM ini dibayar pampasan pemberhentian kerja dan bayaran ganti notis untuk jumlah tempoh perkhidmatan mereka di premis KPM. KPM juga harus mengambil langkah-langakh untuk memastikan pekerja-pekerja ini menerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) memandangkan mereka telah mencarum untuknya.
==========
Mohanarani Rasia ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak (JPKK).