20190304.jpg

PETALING JAYA, SELANGOR – 4 MAC 2019: Penduduk-penduduk dan pemilik-pemilik unit Blok 1 hingga 5 Pangsapuri Gugusan Dedap di Kota Damansara telah menyerahkan satu memorandum kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada hari ini, dengan membawa persoalah tentang wang pampasan pengambilan tanah Gugusan Dedap Kota Damansara untuk projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansaran – Shah Alam (DASH).

Berikutan pengambilan sebahagian tanah Lot 50794 PN 26621 di kawasan perumahan Gugusan Dedap Blok 1-5 untuk pembinaan Lebuhraya DASH, bayaran sejumlah RM5,014,500 telah dibuat kepada Akaun Badan Pengurusan Bersama (JMB) Blok 1-5 Pangsapuri Gugusan Dedap. Para penduduk di blok-blok pangsapuri berkenaan telah menerima kepastian daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di Putrajaya, yang menyatakan bahawa pembayaran pampasan telah dibuat kepada JMB Blok 1-5 Pangsapuri Gugusan Dedap.

Penduduk-penduduk Blok 1-5 Pangsapuri Gugusan Dedap juga telah membuat laporan polis kerana mengesyaki bahawa Pengerusi JMB yang bernama Suhaimi bin Harun telah menghilangkan diri dengan sebahagian wang tersebut dan kes polis pecah amanah telah difailkan terhadap Pengerusi JMB tersebut.

Namun, sehingga kini, pihak JMB mahupun Pesuruhjaya Bangunan (COB) di MBPJ gagal memberikan suatu penerangan yang jelas mengenai status wang pampasan tersebut.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Mohd Azizi bin Mohd Zain selaku Datuk Bandar Petaling Jaya, Penduduk-penduduk Blok 1-5 Pangsapuri Gugusan Dedap telah membangkitkan beberapa persoalan kepada MBPJ dan COB MBPJ sebagai pihak yang memantau akaun dan urusan JMB. Persoalan-persoalan yang dibangkitkan termasuk:

1. Pada sekitar bulan Jun 2018 satu perjumpaan yang diaturkan oleh COB MBPJ dan JMB telah diadakan di Blok 7. Dalam perjumpaan tersebut, tiada keterangan atau perincian mengenai wang pampasan berkenaan. Mengapa perincian akaun JMB Blok 1-5 tidak dibentangkan untuk penelitian para penduduk?

2. Apakah status wang pampasan yang telah dibayar kepada JMB tersebut? Adakah wujudnya kesalahan pecah amanah terhadap keseluruhan jumlah RM 5,014,500 atau sebahagiannya?

3. Adakah akaun JMB tersebut telah dibekukan? Berapakah jumlah yang masih berada dalam akaun JMB Blok 1-5 sekarang?

4. Apakah tindakan pihak COB MBPJ dan juga pihak JMB baru dalam kes ini?

5. Penduduk mendapat berita bahawa beberapa penduduk telah menerima wang pampasan ini. Mengapa hanya segelintir penduduk memperolehi wangpampasan ini? Adakah berita ini benar? Para penduduk juga dapat berita bahawa wang pampasan itu juga telah dibahagikan kepada beberapa pertubuhan dan individu di Gugusan Dedap. Pihak MBPJ perlu mengesahkan sama ada ini benar atau tidak.Ini merupakan satu penipuan yang serius. Sebagai pemantau pentadbiran JMB, pihak COB MBPJ harus bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan sepenuhnya kepada penduduk terbabit?

Penduduk-penduduk dan pemilik-pemilik unit Gugusan Dedap Blok 1-5 yang juga merupakan pembayar cukai kepada MBPJ berhak mengetahui maklumat keseluruhan mengenai bayaran pampasan dan juga kes pecah amanah ini. Mereka memohon pada Datuk Bandar Petang Jaya dan COB MBPJ untuk mengaturkan satu mesyuarat bersama dengan penduduk untuk menerangkan status terkini wang pampasan ini.

Turut bersama dengan penduduk-penduduk dan pemilik-pemilik unit Blok 1-5 Pangsapuri Gugusan Dedap semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah A. Sivarajan (Setiausaha Agung PSM).

One thought on “Mana perginya wang pampasan pengambilan tanah Gugusan Dedap untuk pembinaan Lebuhraya DASH?

  1. Mana perginya wang pampasan pengambilan tanah Gugusan Dedap untuk pembinaan Lebuhraya DASH? 2024 now, no more follow up???

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *