Jawatankuasa Teknikal Pusat PSM yang bermesyuarat untuk kali kedua mengenai PRK Semenyih pada 3 Februari 2019 telah mengambil keputusan sebulat suara untuk bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih.
PSM Cawangan Semenyih telah membuat keputusan untuk meletakkan calon dalam satu mesyuarat pada 24 Januari 2019. Sementara itu, Jawatankuasa Pusat PSM telah bersetuju secara prinsip untuk bertanding dalam PRK Semenyih pada 26 Januari 2019. Keputusan ini kemudiannya dimuktamadkan pada 3 Februari 2019.
Keputusan ini diambil setelah mengambilkira beberapa perkara, seperti faktor sejarah, kerusi tradisi yang ditandingi PSM, jentera PSM di Semenyih, pandangan ahli dan penyokong-penyokong parti, kewibawaan calon yang menepati syarat parti dan suasana politik tanahair yang mahukan suara ketiga yang menepati kehausan kehendak rakyat.
Calon yang akan bertanding akan diumumkan sebelum hari Penamaan Calon pada 16 Februari 2019.
PSM dengan ini mengalu-alukan bantuan dari segi kewangan dan tenaga sukarela untuk memantapkan lagi jentera parti.
Bersama Membina Kuasa Rakyat.