oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Parti Sosialis Malaysia (PSM) kecewa namun tidak begitu terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan dalam akhbar The Star pada 15 Januari 2019. Perdana Menteri Dr. Mahathir mengatakan bahawa kemiskinan merupakan masalah “Melayu” dan nampaknya tidak mengaku bahawa terdapatnya perbezaan sosio-ekonomi yang ketara dalam masyarakat Melayu. Pendekatan sebegini untuk menangani kemiskinan telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) melakukan 2 kesilapan utama dalam tempoh 60 tahun yang lepas.

Yang pertama, BN menjadi langsung tidak mempeduli tentang kemiskinan Bukan Melayu, dan ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan golongan miskin beretnik India dan Cina yang sepatutnya juga dimasukkan dalam tindakan afirmatif yang dilaksanakan untuk golongan Melayu miskin. Negara kita akan menjadi sebuah negara yang lebih bersatupadu dan harmoni jika ini telah dilakukan!

Kesilapan utama yang kedua, iaitu kegagalan untuk mengenali perbezaan kelas dalam masyarakat Melayu, telah membawa kepada layanan istimewa kepada golongan kaya dalam masyarakat Melayu di beberapa sektor yang menyebabkan masalah yang serius untuk golongan B40 (40% keluarga berpendapatan rendah) dalam masyarakat Melayu. Salah satu contoh adalah peruntukan kuota yang berlebihan kepada agensi pengimport buruh yang dimiliki Melayu yang menyebabkan pembanjiran pasaran buruh Malaysia dengan pekerja-pekerja asing (pada takat ini berjumlah 5-6 juta) dan penekanan gaji lantai ke paras lebih rendah lagi untuk rakyat Malaysia yang berada dalam kategori B40. Ramai ahli perniagaan Melayu menjadi kaya raya dengan cara ini kerana sejumlah RM 10,000 boleh diperah daripada setiap pekerja asing yang diimport ke dalam Malaysia. Namun, orang Melayu dan rakyat Malaysia lain yang merupakan B40 telah dibiarkan untuk berdepan dengan masalah kekurangan pekerjaan dan kehilangan kuasa tawar-menawar dalam pasaran buruh.

Satu lagi contoh adalah memberikan kontrak pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah kerajaan, hospital-hospital kerajaan dan bangunan-bangunan kerajaan yang lain kepada kontrator swasta Melayu. Ini telah menyebabkan lebih 150,000 orang pekerja kontrak, kebanyakan daripada mereka Melayu dan India, terperangkap dalam kehidupan yang dibelenggu oleh ketidakjaminan pekerjaan (kerana kontrak perlu diperbaharui setiap 3 tahun), gaji rendah dan perlindungan sosial yang amat sedikit (tiada pencen, tiada pinjaman perumahan, tiada perlindungan mendapat rawatan di IJN, tiada faedah pemberhentian kerja jika tidak diupah semula apabila tempoh kontrak tamat, dan sebagainya). Suatu usaha untuk memupuk usahawan Melayu ini sebenarnya mendatangkan kesan buruk kepada pekerja-pekerja yang diupah oleh usahawan-usahawan ini!

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu belajar daripada kesilapan ini dan mengelakkan daripada menggunakan hujah beremosi tentang kemiskinan Melayu sebagai alasan untuk memberi ganjaran kepada individu Melayu T20 (golongan berpendapatan teratas 20%) dengan kontrak, peruntukan saham dan tawaran penswastaan. Perbezaan kelas dalam masyarakat Melayu perlu diiktiraf dengan jelasnya dan setiap cadangan untuk memperbaiki status ekonomi Melayu perlu dianalisis berkenaan kesan-kesannya yang berbeza pada strata sosial yang berbeza dalam masyarakat Melayu.

Salah satu contoh adalah niat Dr. Mahathir untuk menswastakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjaya kepada individu Melayu supaya pemilikan ekuiti lebih seimbang dari segi kaum. Tetapi kita mesti mempersoalkan bahawa adakah langkah ini dapat memanfaat golongan Melayu B40? Jika GLC yang berjaya masih di bawah kawalan kerajaan, keuntungan yang dijana daripadanya dapat digunakan untuk membiayai program-program tindakan afirmatif untuk keluarga-keluarga B40. Lebih-lebih lagi, sebagai contohnya, kerajaan boleh meminta GLC ini supaya menjadi perintis dalam peruntukan penjagaan kanak-kanak dan melaksanakan kadar gaji yang lebih tinggi daripada gaji minimum untuk pekerja-pekerjanya di peringkat terbawah. Namun, sekiranya GLC ini dijual kepada individu Melayu dengan harga yang murah, kerajaan akan hilang kawalan terhadap GLC ini. Jadi, kepentingan siapa yang dipenuhi melalui amalan penswastaan ini? Ini merupakan persoalan yang patut dibangkitkan dan dibahaskan oleh pemimpin-pemimpin PH yang lain, jika kita ingin mengelakkan dasar-dasar yang memihak kepada elit Melayu yang kaya tetapi menjejaskan Melayu B40.

Bagaimanapun, PSM bersetuju bahawa wujudnya keperluan untuk campurtangan kerajaan bersasarkan secara etnik dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang masih kekal dalam domain Bukan Melayu. Terdapat banyak halangan kemasukan dalam sektor ini dari segi pengetahuan, teknologi, sumber-sumber komponen dan pasaran, dan peniaga Melayu menghadapi kesukaran dalam mendirikan perniagaan mereka dalam sektor ini. Kerajaan boleh membantu dari segi kredit, latihan dan peruntukan untuk pasaran melalui program vendor yang dilaksanakan oleh GLC (satu lagi sebab untuk mengekalkan GLC di bawah kawalan kerajaan!) dan agensi kerajaan termasuklah Kementerian kerajaan. Namun, bantuan ini perlu diberi dengan syarat yang ketat – ia hanya diberikan untuk membangunkan kapasiti peniaga-peniaga Melayu, dan akan ditarikbalik sekiranya ia disalahgunakan untuk menjana pendapatan bersifat “sewa” melalui urusan Alibaba.

Merenung kembali 60 tahun yang lalu secara objektif, prestasi kita sebagai sebuah negara tidaklah teruk sangat! Kita patut mengaku bahawa sebahagian dasar BN telah membawa kita berada di jalan menuju sebuah masyarakat yang lebih seimbang secara kaum. Sekarang ini terdapat lebih ramai orang Melayu yang merupakan graduan, professional dan berada dalam golongan M40, berbanding dengan ketika negara kita baru mencapai kemerdekaan. Negara kita menjadi lebih stabil sebagai sebuah masyarakat majmuk hasil daripadanya. Kawasan luar bandar kita sekarang dilengkapi lebih baik dengan jalan, sekolah, bekalan air dan kemudahan kesihatan, walaupun masih ada banyak lagi usaha perlu dilakukan di Sabah dan Sarawak. Memang adanya kemajuan, dan kita patut mengakuinya.

Jika PH ingin menggerakkan negara kita ke hadapan lagi sepanjang jalan menuju masyarakat di mana status ekonomi dan kaum tidak lagi berhubungkait, ia harus mengubah pendekatan untuk memastikan semua rakyat Malaysia daripada golongan B40 ialah penerima faedah tindakan afirmatif; memastikan program yang membantu Melayu T20 tidak merugikan B40; memastikan program yang efektif dilaksanakan untuk membina kapasiti SME Melayu; memastikan keseimbangan etnik yang lebih baik dalam perkhidmatan awam; dan memastikan pemikiran ekonomi neoliberal tidak menghalang usaha membentuk jaring kebajikan yang komprehensif untuk semua rakyat Malaysia.

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengetahui tentang masalah ekonomi yang dihadapi oleh golongan miskin daripada masyarakat lain selain etnik kita sendiri, dan melobi untuk menyokong usaha yang menyelesaikan masalah mereka. Kita semua perlu berfikir sebagai rakyat Malaysia jika kita inginkan negara Malaysia bergerak maju ke hadapan sebagai sebuah masyarakat yang harmoni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *