1200px-ICERD-members.PNG
Warna hijau ialah negara yang menandatangani ICERD; warna kuning ialah negara yang menandatangani ICERD tetapi belum lagi meratifikasi; warna merah ialah negara yang belum menandatangani ICERD.

Isu ICERD menjadi satu topik hangat di negara kita baru-baru ini, apabila terdapatnya golongan berhaluan kanan yang giat membarakan sentimen perkauman dan keagamaan untuk membantah usaha Kerajaan Malaysia untuk menandatangani dokumen hak asasi manusia antarabangsa ini. Ketika kumpulan berhaluan kanan memobilisasi untuk himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018, Kerajaan Pakatan Harapan telah menekan brek dalam usaha menandatangani ICERD dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 23 November 2018 yang menyatakan bahawa “Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD” .

Namun, apakah yang ditakuti oleh mereka yang membantah ICERD ini? Adakah pandangan atau hujah golongan membantah ICERD ini berasas?

Marilah kita memahami sedikit fakta tentang ICERD.

Apa itu ICERD?

ICERD merupakan singkatan kepada Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination). ICERD ialah sebuah perjanjian antarabangsa yang diterima dan dibuka untuk tandatangan pada tahun 1965 oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). ICERD mula berkuatkuasa untuk negara anggota PBB yang menandatanganinya pada tahun 1969.

Baca teks penuh ICERD di sini.

ICERD diwujudkan oleh negara-negara anggota PBB sebagai respon terhadap diskriminasi kaum yang semakin menjadi-jadi pada tahun 1960-an, khususnya dasar apartheid di Afrika Selatan mencapai kemuncaknya pada ketika itu. Hampir semua negara di dunia, termasuklah Malaysia, mengecam dengan hebatnya dasar apartheid yang memisahkan rakyat mengikut kaum. Perhimpunan Agung PBB menerima Deklarasi mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum pada 20 November 1963, dan Deklarasi ini menjadi dokumen awal yang penting untuk pembentukan ICERD.

Tujuan utama ICERD adalah menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum dan mencegah serta melawan amalan rasis, supaya memupuk persefahaman antara kaum di samping membina sebuah komuniti antarabangsa yang bebas daripada diskriminasi yang berasaskan perkauman.

ICERD merupakan salah satu daripada 9 instrumen hak asasi manusia yang terutama di peringkat dunia. Selain ICERD yang diwujudkan pada tahun 1965, instrumen hak asasi manusia terutama yang lain ialah:

  • Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), 1966
  • Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESR), 1966
  • Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), 1979
  • Konvensyen Menentang Penyeksaan (CAT), 1984
  • Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), 1989
  • Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka (ICMW), 1990
  • Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan yang Dipaksa (CPED), 2006
  • Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), 2006

Pada takat ini, negara Malaysia hanya menandatangani 3 daripada 9 instrumen hak asasi manusia antarabangsa yang utama ini, iaitu CEDAW, CRD dan CRPD.

Malaysia adalah antara 14 buah negara di dunia yang belum lagi menandatangani ICERD. Selain Malaysia, negara yang belum menandatangani ICERD termasuk Korea Utara, Myanmar dan Brunei.

Kenapa sesebuah negara itu menandatangani dan meratifikasi ICERD?

Apabila sesebuah negara menandatangani ICERD, ia bermakna negara tersebut menunjukkan komitmennya dalam mengecam diskriminasi kaum dan berjanji untuk melakukan apa-apa yang perlu untuk menghapuskan diskriminasi dalam negara itu.

“Menunjukan komitmen” untuk mengecam diskriminasi kaum itu mungkin hanya sekadar “pertunjukan” sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil, begitu juga janji untuk melakukan sesuatu akan tetap tinggal janji sahaja sekiranya tiada tindakan yang konkrit. Oleh itu, menandatangan sebuah konvensyen hak asasi manusia adalah satu perkara, melaksanakannya pula satu perkara yang lain.

Menandatangani ICERD bermakna negara kita memberitahu kepada dunia bahawa negara kita berkomited untuk menghapuskan dan mencegah diskriminasi kaum.

Apa yang yang perlu dilakukan oleh negara Malaysia sekiranya menandatangani dan meratifikasi ICERD?

ICERD seperti satu kontrak yang ditandatangani secara sukarela. Sebagai negara anggota kepada sesebuah konvensyen antarabangsa, jika menandatangani ICERD, negara kita perlu mengikut semua terma-terma yang terkandung dalamnya, kecuali klausa-klausa yang negara kita pilih untuk dikecualikan. Ya, negara kita boleh mengecualikan dirinya daripada terma-terma yang tidak dipersetujuinya walaupun menandatangani ICERD.

Sekiranya menandatangani ICERD, negara Malaysia perlu mengambil langkah-langkah untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum, termasuk memperkenalkan undang-undang dan dasar-dasar untuk menghapuskan diskriminasi kaum dan memupuk toleransi kaum, menjadikan ucapan atau tindakan yang menimbulkan kebencian terhadap kaum yang lain sebagai sejenis jenayah, serta mewujudkan saluran undang-undang bagi individu yang menjadi mangsa diskriminasi untuk mendapatkan keadilan di sisi undang-undang.

Antara langkah yang boleh dilakukan bersesuaian dengan ICERD termasuk memperkenalkan undang-undang yang menghukum orang yang mengeluarkan kenyataan yang menghina kaum lain, menghalang mana-mana syarikat daripada mengamalkan dasar mengambil pekerja daripada kaum tertentu atau menghalang pemilik rumah daripada enggan menyewa rumah kepada sesuatu kaum, mewujudkan suruhanjaya atau badan yang menerima aduan daripada orang awam yang menjadi mangsa diskriminasi kaum. Ya, jika anda seorang anak muda Melayu yang dinafikan hak untuk menyewa bilik daripada tuan rumah kerana anda seorang Melayu, anda boleh membuat aduan dan mendapatkan keadilan kerana amalan diskriminasi tuan rumah terhadap penyewa.

Sekiranya menandatangani ICERD, negara Malaysia perlu bertanggungjawab kepada badan pemantau pelaksanaan ICERD, iaitu Jawatankuasa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (CERD), untuk melaporkan perkembangan pelaksanaan ICERD. CERD dan negara anggota yang lain dalam ICERD boleh mencadangkan kepada Malaysia tentang bagaimana boleh mematuhi ICERD dengan lebih baik.

Sekiranya mana-mana negara anggota dalam ICERD merasakan negara anggota yang lain tidak mematuhi ICERD, boleh membawa perkara berkenaan kepada perhatian CERD. Negara anggota yang berkenaan perlu memberikan penjelasan kepada CERD berkaitan dengan kegagalannya memathui ICERD dan memberitahu apa-apa langkah yang diambil untuk memperbetulkan masalah berkenaan. CERD boleh menubuhkan suruhanjaya secara ad hoc untuk menyiasat aduan dan memberi cadangan. Maknanya, Malaysia boleh membawa perkara penindasan terhadap masyarakat Uyghur oleh kerajaan China (yang juga negara anggota ICERD) kepada perhatian CERD, jika Malaysia berani untuk mencabar kekuasaan negara China.

Walaupun jumlah negara yang menandatangani ICERD itu sangat besar, kecuali segelintir negara seperti Malaysia yang belum menandatanganinya, pelaksanaan ICERD tidak begitu memuaskan di banyak negara dan CERD juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan laporan daripada sesetengah negara.

Adakah menandatangani ICERD akan menggadaikan kedaulatan negara kita?

TIDAK. Undang-undang tertinggi negara Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan. Semua undang-undang yang digubal atau dipinda, termasuk undang-undang yang digubal atau dipinda bagi tujuan mematuhi syarat ICERD, TIDAK BOLEH bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, jika tidak, akan terbatal secara sendiri. Pindaan Perlembagaan Persekutuan boleh dilakukan, tetapi memerlukan undian 2/3 dalam Parlimen.

Walaupun negara yang menandatangani ICERD perlu bertanggungjawab pada CERD yang memantau pelaksanaannya dan juga pada negara-negara lain yang juga sebahagian daripada ICERD, negara anggota ICERD masih bebas untuk melaksanakan Konvensyen ini dalam cara yang bersesuaian dengan sistem undang-undangnya sendiri.

Peruntukan yang dinyatakan dalam ICERD sebenarnya bersifat agak umum secara relatif, misalnya Perkara 7 ICERD hanya secara umumnya menyatakan keperluan untuk negara anggota mempromosi toleransi dan persahabatan antara kumpulan etnik, dan tiada apa-apa lagi yang lebih khusus tentang peruntukan ini. ICERD telah mengambilkira hakikat bahawa setiap negara adalah berbeza sesama sendiri dan akan mencapai matlamat ICERD dengan cara berbeza. Maka, setiap negara yang menandatangani ICERD boleh melakukan perkara yang difikirkan perlu mengikut keadaan negara untuk mencapai matlamat penghapusan diskriminasi kaum dan pemupukan toleransi yang termaktub dalam ICERD.

Adakah menandatangani ICERD akan menjejaskan kedudukan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia?

TIDAK. Hampir semua negara Islam atau negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, telah menandatangani atau menjadi anggota ICERD, termasuklah Arab Saudi, Mesir, Iran, Iraq, Oman, Pakistan dan sebagainya. Kedudukan agama Islam di negara-negara berkenaan langsung tidak dipengaruhi dengan ICERD.

Adakah menandatangani ICERD akan menjejaskan kedudukan institusi raja di negara Malaysia? 

TIDAK. Negara Arab Saudi, UAE dan Oman yang menandatangani ICERD merupakan negara yang masih mengamalkan sistem raja mutlak. Sistem monarki mutlak di negara-negara tersebut tidak terjejas ataupun dihapuskan kerana ICERD. Jika sistem monarki mutlak tidak terjejas dengan ICERD, apatah lagi dengan negara Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan? Negara-negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang menandatangani ICERD termasuklah United Kingdom, Denmark, Sweden, Sepanyol, Belgium, Belanda, Jordan, Thailand dan Kemboja.

Adakah menandatangani ICERD akan menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan? 

TIDAK. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang “kedudukan istimewa” orang  Melayu  dan  anak  negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak. Perkara 153 ini diwujudkan adalah untuk mengiktiraf kedudukan masyarakat Melayu dan masyarakat Orang Asal Sabah/Sarawak sebagai “penduduk asal” di bumi Malaysia, di samping memperkenalkan rizab kuota dalam beberapa bidang seperti pemilikan tanah, pengambilan kakitatangan awam, pendidikan dan sebagainya, bagi memastikan masyarakat kaum Melayu dan orang asal di Sabah dan Sarawak tidak tertinggal dalam pembangunan negara.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja tidak bercanggah dengan ICERD, malah bersesuaian dengan semangat ICERD, seperti yang termaktub dalam Perkara 1(4) dan 2 (2) ICERD.

Perkara 1(4) ICERD menyatakan bahawa “langkah-langkah khusus diambil untuk tujuan semata-mata mencapai kemajuan yang mencukupi bagi sesetengah kaum atau kumpulan etnik atau individu yang memerlukan perlindungan sedemikian seperti mana yang perlu demi memastikan kumpulan atau individu berkenaan untuk menikmati atau memperoleh hak asasi manusia dan kebebasan asas secara samarata TIDAK AKAN dianggap sebagai diskriminasi kaum, dengan syarat, langkah-langkah sedemikian tidak, sebagai akibatnya, membawa kepada pengekalan hak berasingan untuk kumpulan kaum berlainan, dan langkah-langkah ini tidak akan diteruskan setelah objektif untuk langkah-langkah ini diambil sudah tercapai.”

Perkara 2(2) ICERD pula menyatakan bahawa “Negara-negara anggota, apabila dalam keadaan yang dibenarkan, mengambil, dalam bidang-bidang sosial, ekonomi, budaya dan lain, langkah-langkah khusus dan konkrit untuk memastikan pembangunan dan perlindungan yang mencukupi bagi kumpulan-kumpulan kaum tertentu atau individu bersangkut dengan mereka, dengan tujuan menjamin mereka dalam menikmati secara sepenuhnya dan samarata hak asasi manusia dan kebebasan fundamental. Langkah-langkah ini tidak patut mengakibatkan pengekalan hak tidak samarata atau berasingan untuk kumpulan kaum berlainan selepas objektif untuk langkah-langkah ini diambil sudahpun tercapai. ”

Jadi, mengambil “langkah-langkah khusus” untuk memastikan kumpulan etnik yang ketinggalan dalam bidang sosio-ekonomi dapat menikmati hasil pembangunan negara secara adil, adalah serasi dengan prinsip ICERD. Malah, memang adalah semangat asas Perkara 153 untuk memastikan tiada kumpulan etnik ketinggalan dalam kemajuan negara kita.

Golongan yang mengungkitkan isu Perkara 153 bertujuan bukan yang lain tetapi hanya untuk mengapi-apikan sentimen perkauman yang mewujudkan ketegangan hubungan kaum. Selalunya pengapi-apian sentimen perkauman berkait rapat dengan kuasa, sama ada untuk mengekalkan kuasa politik golongan berkuasa ataupun untuk merampas kuasa.

Lebih-lebih lagi, dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum yang dibawa oleh UMNO-BN sebelum ini dengan alasan mengangkat Perkara 153, sebenarnya masih tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan masyarakat Melayu marhaen, sebaliknya hanya segelintir elit politik-ekonomi yang rapat dengan pihak pemerintah mendapat keuntungan daripadanya. Kita perlu menggantikan dasar tindakan afirmatif berasaskan kaum yang dibawa oleh UMNO-BN sebelum ini dengan dasar tindakan afirmatif yang berasaskan kelas dan keperluan. Ini sekaligus akan menghancurkan asas untuk pembiakan politik perkauman yang memecah-belahkan rakyat mengikut kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *