oleh Dr. Nasir Hashim
Semenjak beberapa minggu kebelakangan ini, telah menjadi satu isu yang hangat dibincangkan sama ada Malaysia Baru perlu menandatangani dan meratifikasi satu Konsensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD). Di kedua-dua pihak, iaitu mereka yang percaya bahawa menandatanganinya adalah satu langkah ke hadapan dan mereka yang menentangnya kerana khuatir bahawa kedudukan istimewa orang Melayu seperti digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan akan terhapus, hanya saling bertukar kenyataan media, melontarkan tuduhan-tuduhan dan saling menentang antara sama lain. Baru-baru ini, mereka yang menentang ICERD telah mendesak Menteri Perpaduan Negara, Senator P. Waythamoorthy, untuk meletakkan jawatan.
Malangnya, tidak ada satu usaha pun diwujudkan untuk mengadakan satu dialog terbuka antara kedua-dua pihak bagi mendengar kebimbangan dan ketakutan sebenar kedua-dua pihak.
PSM yakin bahawa cabaran terbesar kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk membuang ketakutan yang wujud di kalangan sebilangan besar orang Melayu bahawa hak-hak istimewa yang dinikmati mereka selama ini akan dihapuskan apabila ICERD ini ditandatangani. Adalah salah jika menganggap bahawa kebimbangan terhadap ICERD ini hanyalah ditimbulkan oleh golongan pimpinan sayap dalam UMNO dan PAS yang mencari kelangsungan politik sahaja. Ini adalah kebimbangan yang turut dirasai oleh golongan marhaen Melayu (petani, pekebun kecil, pekerja, peniaga kecil, kakitangan kerajaan berjawatan rendah) yang setelah 61 tahun di bawah dasar berasaskan kaum, masih merasa tertinggal dalam arus kemajuan ekonomi negara ini. Mereka tidak salah sepenuhnya dengan tanggapan ini juga.
Dasar berasaskan kaum yang dibawa oleh UMNO-Barisan Nasional selama ini hanya mengkayakan golongan 20% teratas sahaja, sekaligus meninggalkan masyarakat marhaen Melayu yang tiada bezanya dengan apa yang dialami oleh golongan marhean kaum lain. Tahap pendapatan yang rendah di kalangan etnik Melayu juga semakin melebar. Jadi, ianya menjadi satu ketakutan yang sahih untuk marhaen Melayu, yang tidak mampu dalam usaha untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka. Walaupun mereka tidak berjaya untuk berada dalam golongan 20% teratas, mereka masih boleh bergantung kepada hak-hak istimewa yang terjamin di bawah perlembagaan seperti kuota pendidikan, lesen-lesen serta Tanah Rizab Melayu. Tetapi dengan ICERD, mereka bimbang bahawa keistimewaan ini juga akan dicabar dan ditarik balik daripada mereka.
PSM percaya bahawa Malaysia perlu melangkah ke satu arah untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi berasaskan kaum, tetapi perlu adanya tindakan afirmatif yang berdasarkan pada kelas. Satu agenda keterangkuman sosial yang tidak memandang warna kulit akan mampu menyelesaikan masalah jurang sosio-ekonomi dalam masyarakat dan menyingkirkan kelas pemodal pencari sewa (rentier) Melayu yang membolot keuntungan daripada dasar berasaskan kaum gaya UMNO sebelum ini.
Ini adalah sebenarnya apa yang pernah dicadangkan oleh organisasi politik dan sosial berhaluan kiri di Malaya pada 71 tahun dahulu, dalam cadangan Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947 yang dikemukakan oleh AMCJA-PUTERA (All Malayan Council for Joint Action – Pusat Tenaga Rakyat). Halangan berasaskan kaum dihapuskan pada masa itu, apabila Perlembagaan Rakyat untuk Malaya 1947 mencadangkan bahawa sesiapa yang lahir di Malaya dan menerima kewarganegaraan Malaya akan dikenali sebagai Melayu walaupun mereka dari keturunan Cina atau India. Jadi, segala pelan tindakan, dalam bentuk kuota, lesen-lesen, pembahagian, subsidi adalah berdasarkan kelas sepertimana cadangan AMCJA-PUTERA, dan bukannya berasaskan kaum. Golongan pekerja, petani, pekebun kecil dan nelayan beretnik Melayu yang memerlukan bantuan akan mendapat manafaat secara langsung tanpa campurtangan kroni-kroni UMNO yang akan menyalahgunakan program-program afirmatif ini.
Berbekalkan semangat yang sama, satu-satunya wakil rakyat PSM dalam Parlimen sebelum ini, iaitu Dr Jeyakumar Devaraj, selaku Ahli Parlimen Sungai Siput ketika itu telah mengemukakan satu usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan satu Usul Persendirian yang bertajuk Akta Keterangkuman Sosial (Social Inclusion Act 2014 – SIA 2014) dalam persidangan Parlimen pada bulan Mac 2014. Rasional usul persendirian ini adalah perlunya satu paradigma baru yang memfokuskan pada penyelesaian jangka panjang untuk mewujudkan keadilan sosial dan masyarakat yang lebih bersifat berketerangkuman (inklusif). Bagi menangani masalah pokok kemiskinan dan peminggiran secara non-partisan and tidak berasaskan kaum, pendekatan sedemikian dapat memastikan sumber kerajaan tidak dirampas oleh segolongan Bumiputera yang mempunyai hubungan rapat dengan golongan tertentu dan memastikan faedah daripada program afirmatif yang dirancang dapat disalurkan sepenuhnya kepada Bumiputera marhaen dan juga golongan miskin bukan Bumiputera yang jumlahnya lebih kecil. Malangnya, usul tersebut telah ditolak oleh Speaker.
Kerajaan Pakatan Harapan harus memastikan bahawa tidak mengulangi kesilapan dasar berasaskan kaum yang dibawa oleh UMNO-BN yang hanya melebarkan jurang di kalangan kaum Melayu. Pakatan Harapan perlu menyedari bahawa dalam PRU-14 yang lalu, mereka hanya menerima 20% hingga 25% undi Melayu dan yang lainnya terbahagi antara UMNO (lebih kurang 50%) dan PAS (30%). Ini menunjukkan bahawa masih wujud rasa sangsi di kalangan pengundi Melayu, yang bimbangkan bahawa Pakatan Harapan akan lebih mengikut rentak orang-orang Cina dan India.
PSM menyarankan Pakatan Harapan untuk turun padang ke akar umbi di kalangan kelas pekerja, petani, penoreh, pekebun kecil dan peniaga runcit untuk menyakinkan mereka bahawa tindakan-tindakan afirmatif berasaskan kelas akan diteruskan untuk membantu mereka secara lebih bersasar dan lebih berkesan.
Jika Pakatan Harapan berjaya menjalankan perancangan sebegitu dan membuktikan keberkesanannya, majoriti rakyat akan mampu melihat betapa teruknya sesuatu dasar berasaskan kaum itu. Dan akhirnya, sama ada kita menerima ICERD atau tidak, apa yang penting adalah sama ada kerajaaan mampu melaksanakan dasar, peraturan dan program yang konkrit untuk benar-benar mencapai keterlibatan sosial. Banyak negara yang menandatangani ICERD, tetapi tidak pernah mengambil apa-apa langkah untuk menghentikan diskriminasi kaum. Banyak negara yang gagal melaporkan kepada PBB tentang tahap kemajuannya dan juga tidak mempedulikan komitmen mereka sendiri.
Rancangan Menteri untuk menangguhkan penerimaan ICERD dan mengadakan lebih banyak perbincangan dan konsultasi hanya mengurangkan sebahagian ketegangan buat sementara waktu. UMNO dan PAS tentunya akan menjadikannya sebagai modal untuk meraih sokongan, yang pada masa yang sama, hanya akan meningkatkan lagi ketegangan antara kaum. Kita perlukan satu tindakan segera dan polisi-polisi yang boleh menyakinkan serta mengurangkan ketakutan di kalangan majoriti Melayu. Pakatan Harapan perlu membuktikan yang mereka betul-betul serius dalam menangani masalah kemiskinan Melayu. Hanya pendekatan berdasarkan kelas mampu untuk mengutarakan masalah kemiskinan di kalangan orang Melayu dan pendekatan sedemikian juga akan dapat membantu golongan bukan Melayu yang miskin yang juga terperangkap dalam masalah yang sama (seperti masalah flat kos rendah yang tidak disenggara dengan betul, masalah graduan bergaji rendah dengan hutang yang tinggi dan khidmat hospital kerajaan yang semakin teruk). Pendekatan berdasarkan kelas ini akan dapat menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira etnik mereka.
Akan tetapi, pendekatan sebegini hanya akan dapat dicapai jika ahli-ahli politik itu sendiri mampu menggugurkan analisis dan kepercayaan mereka yang berasaskan kaum, dan menyahut cabaran untuk mewujudkan naratif berdasarkan kelas serta mendidik rakyat tentangnya. Jika kita gagal melakukannya, naratif politik akan diisi oleh golongan sayap kanan yang akan mewujudkan kebencian dan melaga-lagakan antara satu kaum dengan yang lain.
==========
Dr Mohd Nasir Hashim ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).