oleh Wan Zamzahidi Wan Zahid

Rakan-rakan kita yang beragama Hindu merayakan Hari Deepavali pada hari ini yang merupakan perayaan terbesar dalam agama Hindu. Deepavali kalau diterjemahkan ke Bahasa Melayu bererti Perayaan Cahaya.

Mengikut sejarah, perayaan ini dirayakan dengan semangat kemenangan cahaya menentang kegelapan, kebaikan menewaskan kejahatan dan pengetahuan menumpaskan kejahilan.

Kita hadir ke dunia ini, dari suatu alam yang penuh kegelapan, keluar melihat cahaya yang wujud di dunia ini, dididik bahawa kebaikan itulah yang perlu kita lakukan dan bukannya kejahatan yang bukan sekadar memberikan dosa kepada kita secara peribadi, malah mendatangkan keburukan kepada makhluk lain di dunia ini, sama ada ianya adalah juga manusia, atau haiwan, unggas dan serangga, atau tumbuh-tumbuhan serta juga alam di mana kehidupan ini berlangsung.

Kita dilahirkan dengan penuh kejahilan, terpaksa bergantung kepada orang lain yang menentukan apa perlu kita makan, perlu kita pakai dan sebagainya sehingga kita mula belajar satu persatu tentang apa yang ada di dunia ini dan dengan pengetahuan yang kita pelajari itu, kita mengambilalih kuasa untuk menentukan apa yang terbaik untuk diri kita sendiri, serta juga makhluk lain yang turut mendapat manafaat dari kewujudan kita di muka bumi ini.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada rakan-rakan beragama Hindu yang menyambutnya. Kepada rakan-rakan lain, selain dari bercuti sempena Hari Deepavali ini, marilah kita mengambil semangat ini untuk terus melengkapkan diri kita dengan ilmu pengetahuan, agar diri kita tidak diselubungi kejahilan yang antara lain mengakibatkan kita menjadi keliru untuk menilai antara kebaikan dan keburukan, seterusnya mungkin menjerumuskan diri kita ke arah yang salah yang impaknya bukan hanya pada diri kita tetapi juga pada manusia-manusia lain, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan juga alam di sekeliling kita. Seterusnya, janganlah kejahilan dan kejahatan itu meninggalkan kita dalam kegelapan yang tidak berkesudahan di mana akhirnya menjadikan kita seorang manusia atau makhluk yang tidak bernilai apa-apa.

Gunakanlah pengetahuan, kebaikan dan cahaya yang ada untuk kita menikmati perayaan sebegini dengan selamat. Berhati-hati dan bertimbangrasa adalah perlu semasa kita di jalan raya. Gunakanlah peluang yang ada untuk kita berinteraksi sesama kita dalam suasana harmoni tanpa ada rasa perkauman dalam diri kita. Banyak perkara yang kita boleh pelajari dari suasana perayaan ini sebenarnya.

Di samping itu juga, janganlah kita lupa pada insan-insan sekeliling kita yang tak mampu merayakannya kerana keadaan yang tak mengizinkan samada kurang kemampuan, sakit dan sebagainya. Hulurkan tangan semampunya untuk membantu, semoga dengan bantuan dari semua pihak, semua orang mampu untuk menang mengalahkan kegelapan, menewaskan kejahatan dan menumpaskan kejahilan bersama-sama.

Selamat Menyambut Hari Deepavali.

==========

Wan Zamzahidi Wan Zahid ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ahli Perhubungan PSM Negeri Pahang dan Terengganu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s