Pemerasan atau eksploitasi berlaku apabila pekerja dipaksa untuk bekerja, bukan lagi untuk perkembangan diri sendiri, tetapi untuk menghasilkan surplus yang diambilalih oleh kapitalis.
Dalam rencana bertajuk “Nilai Surplus dan Modal”, telah diperkenalkan bahawa aktiviti “beli untuk jual” diungkapkan dalam formula: M-C-M’, di mana M’ > M. Maka perbezaan nilai M’ dengan M, adalah nilai surplus untuk barangan pertukaran (komoditi) tersebut:
M’ – M = s
di mana s = nilai surplus
Selain dipamerkan dalam aktiviti pertukaran komoditi, nilai surplus juga merupakan nilai yang dicipta dalam proses pengeluaran (dalam Mod Pengeluaran Kapitalis).
Nilai sesuatu komoditi yang dihasilkan dalam proses pengeluaran boleh diungkapkan dalam formula ringkas seperti berikut:
W = c + v + s
di mana
W = nilai komoditi
c = modal tetap (constant capital)
v = modal bolehubah (variable capital)
s = nilai surplus
Modal tetap termasuklah wang yang dilaburkan / digunakan untuk mendapatkan:
- Aset tetap, seperti kilang, mesin, tanah dan bangunan;
- Bahan mentah;
- Perbelanjaan sampingan seperti simpan kira, latihan, pembersihan, pengiklanan, insurans, perkhidmatan keselamatan, cukai, levi, rasuah dan sebagainya.
Semua di atas diperlukan sebagai “sumber pengeluaran” (means of production) dalam proses pengeluaran.
Nilai modal tetap tidak akan bertambah kerana pengeluaran, tetapi hanya mengekalkan nilainya kerana pengeluaran.
Modal bolehubah pula merupakan modal wang yang dilaburkan untuk membeli buruh pekerja, iaitu bersamaan dengan pendapatan / gaji yang diterima oleh pekerja. Modal bolehubah itu bolehubah kerana hanya bahagian modal ini yang dapat menghasilkan nilai surplus, membolehkan modal itu bertambah nilai.
Nilai baru dalam sesuatu komoditi yang dihasilkan dalam sesuatu proses pengeluaran dicipta oleh tenaga buruh (iaitu pekerja yang bernyawa).
Dalam semua pengeluaran kapitalis, nilai komoditi yang dihasilkan boleh diwakili dengan formula (c + v + s). Nilai komoditi ini terdiri daripada dua bahagian:
- Nilai yang dibekukan atau dikekalkan, iaitu c;
- Nilai yang baru dicipta, iaitu v + s.
Tenaga buruh mempunyai dwifungsi:
- Mengekalkan nilai yang sedia ada dalam alat, mesin, tanah, kilang dan sebagainya, dan memindahkan sebahagian daripada nilai ini ke dalam proses pengeluaran (c).
- Mencipta nilai baru, yang terdiri daripada dua bahagian, yang pertama adalah nilai surplus, iaitu keuntungan yang diperoleh apabila barangan itu dijual (s), dan satu lagi bahagian adalah nilai yang bersamaan dengan gaji pekerja (v).
Kadar keuntungan = (nilai surplus) / (jumlah pelaburan modal)
r = s / (c + v)
di mana
r = kadar keuntungan (rate of profit)
s = nilai surplus
c = modal tetap
v = modal bolehubah
Misalnya, jika seorang pemodal melaburkan sebanyak RM 80 sebagai modal tetap (kos untuk membeli mesin, bahan mentah, sewa bangunan dan sebagainya) dan RM 20 untuk gaji pekerja untuk menghasilkan satu unit barangan, jumlah modal yang dilaburkan untuk menghasilkan unit barangan itu adalah RM 100. Kemudiannya, pemodal itu menjual barang itu dengan harga RM 150. Maka, keuntungannya (nilai surplus) adalah RM 50. Oleh itu, kadar keuntungannya adalah RM 50 dibahagi dengan RM 100, bersamaan dengan ½.
Kadar nilai surplus = s/v
s = nilai surplus
v = modal bolehubah
Jika kita ambil contoh di atas, di mana nilai surplusnya adalah RM 50 dan gaji pekerja adalah RM 20 untuk menghasilkan satu unit barangan, maka kadar surplusnya adalah RM 50 dibahagi dengan RM 20, bersamaan dengan 2.5.
Kadar nilai surplus juga merupakan kadar eksploitasi, iaitu tahap eksploitasi ke atas pekerja. Semakin tinggi nilai output (nilai barangan yang dihasilkan) berbanding dengan nilai input (kombinasi modal tetap dan modal bolehubah), bermaknanya semakin hebatnya eksploitasi atau pemerasan ke atas tenaga kerja (yang bernyawa).
Kita perlu faham bahawa nilai baru yang dicipta dalam sesuatu proses pengeluaran itu adalah bergantung pada buruh, bukannya modal. Nilai baru yang dicipta dalam pengeluaran komoditi, iaitu nilai surplus (keuntungan) dan modal bolehubah (gaji pekerja), adalah hasil usaha buruh. Dalam erti kata lain, tanpa tenaga kerja, tiadanya nilai baru yang dicipta.
Tanpa pekerja untuk bekerja, bermakna tiada keuntungan untuk kapitalis. Tanpa pekerja untuk bekerja, pekerja itu tidak dapat mencipta nilai baru yang akan dibayar kepadanya dalam bentuk gaji.
Dalam mengkritik terhadap teori ekonomi klasikal, Karl Marx telah membangunkan konsep komposisi organik modal. Komposisi organik modal (organic composition of capital) merupakan konsep yang menyatakan bentuk hubungan antara sumber pengeluaran dengan kuasa buruh yang diwujudkan oleh mod pengeluaran kapitalis, yang menentukan produktiviti buruh dan penciptaan barangan surplus. Hubungan ini mempunyai kedua-dua aspek teknikal dan sosial, mencerminkan hakikat bahawa nilai guna dan nilai tukar komersial dihasilkan secara serentak.
Komposisi organik modal = c/v
Konsep komposisi organic modal tidak diaplikasi untuk semua aset modal, tetapi hanya untuk modal yang dilaburkan dalam proses pengeluaran barangan.
Kecenderungan komposisi organik modal semakin meningkat
Apakah logik ekonomi yang mendorong golongan kapitalis untuk bersaing, meningkatkan produktiviti dan menambah mesin untuk pengeluaran? Logiknya adalah mendapatkan keuntungan sebanyak mungkin. Untuk berbuat demikian, kapitalis akan menambahkan nisbah modal tetap (c) ke atas modal bolehubah (v), iaitu kecenderungan asas sistem kapitalis itu. Ini bermakna komposisi organik modal itu sentiasa berkecenderungan untuk meningkat. Dengan perkembangan automasi (iaitu menggantikan buruh manual dengan mesin), dan peningkatan produktiviti yang berterusan kerana keperluan untuk bersaing dalam sistem kapitalis, bahagian modal yang terdiri daripada mesin dan bahan mentah itu sentiasa bertambah, tetapi bahagian yang terdiri daripada gaji pekerja itu pula tiada kecenderungan untuk sentiasa bertambah.
Peningkatan komposisi organik modal mewakili proses permodalan yang berterusan, iaitu proses berterusan dari penghasilan nilai surplus oleh pekerja yang kemudiannya ditukar oleh kapitalis untuk menjadikannya tambahan untuk kilang, mesin, bahan mentah dan pekerja.
Operasi asas sistem kapitalis adalah pengeluaran nilai surplus. Namun, nilai surplus itu akan tersimpan dalam barangan itu tanpa apa-apa makna, sekiranya hanya mengeluarkan produk tanpa menjualkannya. Barangan yang tidak dijual tidak akan dapat memperoleh nilai surplus yang dihasilkan. Jika barangan tidak dijual, maka tiada nilai surplus yang boleh dijadikan modal untuk membeli mesin baru, dan produktiviti tidak akan ditingkatjan. Untuk membeli mesin baru dan meningkatkan produktiviti, kapitalis perlu menjualkan produk yang dihasilkan itu terlebih dahulu. Pendapatan yang diperolehi daripada jualan itu, sebahagiannya boleh digunakan untuk membeli mesin baru, untuk menambahkan modal tetap. Dengan pertambahan modal tetap, iaitu dengan mesin baru, produktiviti dapat dipertingkatkan dan menjana lebih keuntungan kepada kapitalis.
Merealisasikan nilai surplus (iaitu melalui penjualan produk keluaran tenaga buruh) adalah syarat keperluan untuk pengumpulan modal. Realisasi nilai surplus, bermaksud bahawa nilai surplus yang dihasilkan oleh pekerja itu hanya dapat dikatakan wujud apabila barangan yang dihasilkan oleh pekerja itu dijual kepada pembeli yang membayar secukupnya.
Pengumpulan modal (capital accumulation) adalah permodalan (kapitalisasi) nilai surplus, iaitu proses menukarkan nilai surplus kepada modal.
Apabila sesuatu barangan hasil pengeluaran dijual, kapitalis memperoleh sejumlah wang di mana nilainya terdiri daripada 3 bahagian, iaitu c (modal tetap), v (nilai baru yang dicipta oleh pekerja dan dibayar kepada pekerja dalam bentuk gaji), dan s (nilai surplus, iaitu nilai baru yang dicipta oleh pekerja tetapi dimiliki sepenuhnya oleh kapitalis).
Nilai surplus yang dihasilkan itu, sebahagiannya digunakan oleh kapitalis itu secara bukan pengeluaran (iaitu untuk kegunaan sendiri). Ini kerana kapitalis pun seorang manusia (kan?), dia juga perlu menyara hidup dirinya sendiri dan keluarganya serta orang suruhannya, maka semua wang yang dihabiskan untuk tujuan sebegini adalah terpisah daripada pengeluaran. Sebahagian lagi nilai surplus pula dikumpulkan. Bahagian nilai surplus ini akan digunakan sebagai modal. Bahagian nilai surplus yang ditukar kepada modal itu, boleh sama ada menjadi modal tetap (untuk membeli lebih bahan mentah atau membeli mesin baru atau menaiktarafkan kilangnya), atau menjadi modal bolehubah (untuk mengupah lebih pekerja).
Oleh yang demikian, pandangan bahawa “kapitalis mencipta peluang pekerjaan” adalah tidak benar sama sekali. Untuk kapitalis itu mengupah pekerja baru, membeli mesin baru dan membeli bahan mentah yang lebih, perlu adanya nilai surplus yang dicipta oleh pekerja, yang boleh kemudiannya dijadikan modal oleh kapitalis. Pada hakikatnya, segala kekayaan kebendaan di dunia ini, iaitu semua kilang, mesin, jalanraya, landasan keretapi, pelabuhan, lapangan terbang dan sebagainya, adalah ciptaan pekerja dengan tenaga buruh mereka. Namun, semua ciptaan hasil titisan peluh pekerja ini ditukar kepada buruh tanpa bayaran, menjadi harta milik kapitalis dan modal kepunyaan kapitalis. Inilah buktinya bahawa kelas pekerja sentiasa diperas sejak wujudnya sistem kapitalis.
Dalam sistem kapitalis, golongan kapitalis sentiasa memerlukan tenaga buruh (iaitu pekerja yang menerima gaji) yang patuh pada perintah kapitalis. Kekayaan yang dicipta oleh pekerja, sebahagiannya dijadikan gaji yang dibayar kepadanya untuk menyara hidup, dan sebahagian lagi dijadikan keuntungan yang membolehkan kapitalis itu terus kaya.
Demi memaksimumkan keuntungan, gologan kapitalis sentiasa berusaha untuk meningkatkan kadar pemerasan. Cara untuk meningkatkan pemerasan termasuklah:
- Kurangkan gaji pekerja (melalui cara seperti membawa masuk lebih ramai pekerja dari tempat yang mempunyai pengangguran yang tinggi demi menekan gaji pada paras yang rendah);
- Panjangkan masa kerja (kerja lebih masa, kerja hari cuti dan sebagainya).
- Memerah lebih kuantiti buruh pekerja (melalui cara “mempercepatkan kadar buruh”, seperti mempercepatkan kadar perjalanan mesin supaya pekerja boleh menghasilkan lebih barangan dalam satu tempoh masa);
- Menggunakan teknologi baru yang membolehkan lebih barangan dikeluarkan dengan kuantiti buruh yang sama dengan sebelum ini, iaitu apa yang dipanggil “meningkatkan produktiviti”!
One thought on “Pemerasan”