Persidangan Global Rakyat Menentang IMF-Bank Dunia (Peoples’ Global Conference Against the IMF-World Bank) yang dijadualkan untuk diadakan pada 11 Oktober 2018 di Auditorium Radio Republik Indonesia di Denpasar, Bali, Indonesia, telah diganggu oleh polis Indonesia.
Persidangan rakyat yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Menentang IMF-WB, yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaaan dan organisasi masyarakat Indonesia, dengan tujuan mengemukakan alternatif kepada dasar-dasar yang dibawa oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (WB). Persidangan rakyat tersebut diadakan bersempena dengan persidangan tahunan IMF-WB yang diadakan tahun ini di Nesa Dua, Bali, Indonesia. Namun, program persidangan rakyat terpaksa dibatalkan selepas dihalang oleh polis Indonesia.
Aktivis-aktivis yang dihalang untuk bersidang di Denpasar telah mengadakan protes untuk membantah tindakan pihak berkuasa.
Menurut Rahmat Ajiguna, Ketua Aliansi Gerakan Reforma Agraria (AGRA) yang juga merupakan ahli jawatankuasa pengelola persidangan, persiapan untuk program tersebut berjalan lancar sehingga 10 Oktober 2018, tetapi pengurusan Radio Republik Indonesia membatalkan tempahan tempat persidangan pada saat-saat terakhir. Pengajur kemudianya cuba mencari satu tempat alternatif di Nirmala Hotel & Convention Centre yang juga terletak di Denpasar. Namun, pengurusan hotel tersebut juga membatalkan tempahan tempat pada saat-saat terakhir dengan alasan penganjur
tidak mempunyai permit daripada pihak polis Indonesia. Pengurusan hotel telah mengaku bahawa mereka didatangi pegawai perisikan polis yang memberitahu mereka bahawa program tersebut tidak dibenarkan untuk diadakan di situ.
Amat jelas sekali Kerajaan Indonesia amat pilih kasih terhadap pemodal-pemodal besar antarabangsa. Ketika Kerajaan Indonesia sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menganjurkan persidangan tahunan IMF-WV yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat, persidangan rakyat yang membincangkan alternatif pula dihalang oleh pihak berkuasa Indonesia.
Pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan kawalan keselamatan di Nusa Dua, yang terletak di selatan pulau Bali, untuk menghadapi persidangan tahunan IMF-WB di situ, dengan kehadiran lebih kurang 32,000 orang delegasi, termasuk menteri-menteri kewangan dan pengurus bank pusat dari seluruh dunia. Persidangan tersebut menumpu pada perbincangan tentang bagaimana mengekalkan kepentingan pemodal besar sedunia dalam situasi ekonomi yang semakin tidak menentu, di samping ketegangan perdagangan yang semakin hebat antara Amerika Syarikat dan China. Namun, dasar-dasar yang dibawa IMF-WB tidak mendatangkan faedah kepada rakyat biasa, sebaliknya mengorbankan hak rakyat demi menyelematkan keuntungan korporat.