oleh Gandipan Nantha Gopalan

Berkaitan laporan New Straits Times Malaysians are not saving enough for their children’s education’ oleh Pengurus Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Abdul Ghafar Yusop, yang diterbitkan pada 28 September 2018.

Kenyataan Abdul Ghafar Yusop yang mengatakan bahawa faktor gaji yang kurang digunakan sebagai alasan ibu bapa untuk tidak menabung bagi pendidikan anak, menunjukkan bahawa pengurus PTPTN itu langsung tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang realiti kehidupan rakyat Malaysia. Ia membimbangkan apabila pegawai-pegawai badan berkanun kerajaan yang sepatutnya lebih arif dan mengetahui masalah-masalah rakyat memberi pandangan yang tidak selari dengan realiti kehidupan rakyat.

Faktanya, hutang isi rumah pada tahun ini, seperti yang dilaporkan dalam The Star Online pada 28 Mar 2018, berita bertajuk ‘Bank Negara: Household debt grew moderately at 4.9%’, adalah 84.3%. Angka ini menunjukkan bahawa paras hutang yang ditanggung isi rumah rakyat Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia. Dalam situasi sebegini, kerajaanlah yang sepatutnya memastikan gaji sosial yang secukupnya untuk setiap individu bagi memastikan taraf kehidupan yang berkualiti. Antara gaji sosial yang boleh dilaksanakan kerajaan adalah pendidikan percuma dan juga berkualiti.

Abdul Ghafar Yusop juga tidak harus lupa bahawa punca asas seseorang berhutang untuk menimba ilmu di Malaysia. Mengikut laporan Bank Negara Malaysia ‘The Living Wage: Beyond Making Ends Meet, pendapatan isi rumah bagi golongan B40 hanya meningkat 3.8% setahun antara 2014 hingga 2016 yang pastinya tidak selaras dengan kenaikan kos harga barang dan rumah di pasaran Malayisa. Kebanyakan mereka dari kalangan B40 juga mempunyai pendapatan yang kurang daripada RM 2700 sebulan (gaji yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia untuk seseorang pekerja yang mencapai taraf kehidupan berkualiti minimum). Beban rakyat Malaysia pula masih sama dengan kenaikan RM 50 dalam gaji minimum yang langsung tidak selaras dengan kenaikan kos harga barang dan rumah di pasaran.

Rakyat juga terpaksa berhutang dengan institusi-institusi kewangan, seperti bank-bank komersial dan PTPTN, untuk menimba ilmu dan melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tertiari. Ini adalah kerana kos pendidikan agak tinggi di institusi swasta bermotifkan keuntungan yang menjual pendidikan. Kementerian Pendidikan dan badan-badan yang berkaitan seharusnya menganalisis dan mencari punca sesebuah masalah, bukan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas.

Pendidikan bukan satu perniagaan, tetapi adalah salah satu hak asasi manusia. Perubahan yang sebenar dalam pendidikan hanya berlaku jikalau seorang rakyat biasa dapat melanjutkan pendidikan tanpa kebimbangan tentang kos-kos berkaitannya. Ia adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk memastikan peluang pendidikan sentiasa terbuka untuk rakyat yang hendak melanjutkan pengajian dan memastikan sistem pendidikan tidak mendiskriminasikan rakyat berdasarkan status kewangan.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda PSM.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s