Filem merupakan sejenis seni moden yang muncul pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, melibatkan gabungan seni persembahan, seni visual dan seni bunyi. Dari pemutaran pita filem ke media digital hari ini, perkembangan seni filem telah memperkayakan warisan budaya manusia di seluruh dunia.

Seperti bentuk seni yang lain, seni filem menjadi satu saluran untuk meluahkan perasaan, mengemukakan pemikiran, menyampaikan pandangan dunia dan menyebarkan idea kreatif para pengkarya kepada orang ramai. Filem boleh digunakan sebagai ekspresi tentang ketidakpuasan hati terhadap realiti dan aspirasi untuk perubahan masyarakat yang lebih baik. Namun, filem juga boleh digunakan sebagai alat propaganda golongan pemerintah untuk memperkukuhkan pengaruh ideologinya terhadap rakyat yang diperintah. Di zaman kapitalisme yang penuh dengan budaya konsumerisme, filem juga menjadi alat untuk memabukkan penonton dengan “hiburan” atau mengalihkan perhatian mereka daripada kontradiksi utama dalam masyarakat. Penonton yang semata-mata mencari hiburan melalui filem boleh dipukau dengan ilusi dunia filem dan dipesongkan pemikirannya daripada kritikan terhadap realiti dunia yang penuh dengan penindasan serta penderitaan.

Walau bagaimanapun, terdapatnya ramai pengkarya dan seniman menggunakan filem sebagai medium untuk mengkritik realiti masyarakat kontemporari yang penuh dengan percanggahan di samping mempersembahkan pandangan dunia yang bersifat revolusioner.

bd3.jpg

Filem dan dunia nyata

Sama ada bersifat revolusioner atau reaksioner atau cuba bersifat “neutral”, seni termasuk seni filem tidak boleh pisahkan diri daripada masyarakat atau dunia nyata yang kita hidup dalamnya. Sama ada secara sedar atau tidak sedar, kesenian itu adalah refleksi ataupun bayangan untuk dunia nyata. Ia boleh berbentuk hanya sekadar bayangan maya, tetapi juga boleh merupakan respon kepada realiti, malah ada yang cuba untuk mencetuskan tindakan untuk mengubah realiti masyarakat.

Filem yang reaksioner

Filem senyap terkenal yang diterbitkan pada tahun 1915, The Birth of a Nation, arahan D. W. Griffith, yang dikatakan perintis kepada filem cetera (iaitu filem dengan jangka masa tayangan penuh, biasanya sekurang-kurang 40 minit), telah mencetuskan kontroversi kerana memberikan gambaran negatif terhadap orang berkulit hitam dan mengagung-agungkan kumpulan rasis Ku Klux Klan. Filem sebegini walaupun dikatakan “hebat”, tetapi bersifat reaksioner kerana hanya berfungsi untuk memperkukuhkan ideologi perkauman yang dibawa oleh golongan pemerintah. Pemerintah zalim seperti Nazi dan Fasis, menggunakan filem sebagai salah satu alat untuk mempropagandakan fahaman reaksioner mereka supaya rakyat dipengaruhi secara halus untuk setia pada rejim yang bersifat zalim ini.

Begitu juga dengan kerajaan yang berhaluan kanan, selalu suka menyokong pembikinan filem yang bertujuan untuk mencetuskan semangat “patriotik” dan “nasionalis”, sebagai satu proses pembodohan rakyat ataupun pembentukan pemikiran massa yang memberi kesetiaan secara buta tuli kepada rejim yang berkuasa. Di negara “sosialis” bersifat birokratik yang diperintah oleh parti-parti Stalinis, seperti Kesatuan Soviet yang pernah wujud, seni filem juga digunakan sebagai alat propaganda satu hala untuk memperkukuhkan kekuasaan pemerintahan birokratik golongan Stalinis. Di Amerika Syarikat dengan perkembangan pesat industri filem yang seringkali  dikenali sebagai Hollywood, seni filem merupakan manifestasi ideologi kapitalisme Amerika Syarikat yang paling ketara, di mana tidak susah untuk kita menemui sifat-sifat yang mengagung-agungkan kapitalisme Amerika Syarikat dalam filem arus perdananya.

Filem sebagai pencetus inspirasi untuk melawan

Sepanjang sejarah perjuangan masyarakat dalam menentang segala bentuk penindasan dan menuntut pembebasan, seni menjadi satu medium yang penting untuk mendedahkan realiti dunia yang penuh dengan ketidakadilan, di samping memberikan inspirasi untuk bertindak.

Filem-filem yang mengisahkan perjuangan rakyat dan revolusi untuk pembebasan, boleh menjadi pencetus inspirasi untuk rakyat melawan kekuasaan yang zalim dan berjuang untuk pembebasan dirinya.

Marilah kita mengimbas kembali sebahagian daripada filem-filem sebegini…

Revolusi Rusia

Sergei Eisenstein, perintis dalam penggunaan teknik “montaj” dalam seni filem, telah mengarahkan beberapa filem klasik yang menceritakan tentang perjuangan rakyat dalam menentang penindasan kelas dan memperjuangkan pembebasan masyarakat pada tahun 1920-an.

Filem yang paling terkenal arahan Eisenstein ialah Battleship Potemkin (diterbitkan tahun 1925), sebuah filem yang mengisahkan pemberontakan anak kapal terhadap pegawai atasan mereka di atas kapal perang Rusia Potemkin pada tahun 1905. Filem ini adalah tentang perjuangan kelas. Adegan yang memaparkan keganasan askar Rusia terhadap orang awam di atas tangga Odessa, merupakan adegan aksi yang paling klasik dan terkenal.

Adegan tangga Odessa yang terkenal dalam filem “Battleship Potemkin”

Filem arahan Eisenstein yang lain termasuk “Mogok” (Stachka, juga diterbitkan pada tahun 1925 sebelum Battleship Potemkin), “Oktober: Sepuluh Hari yang Mengejutkan Dunia” (October: Ten Days That Shook the World, diterbitkan tahun 1928, mengisahkan peristiwa Revolusi Oktober 1917), “Alexander Nevsky” (diterbitkan tahun 1938) dan “Ivan the Terrible” (Bahagian 1 diterbitkan pada tahun 1944, Bahagian 2 pada 1958).

StrikeMovie960.jpg
Stachka, 1925

Revolusi Rusia pada tahun 1917 merupakan peristiwa perjuangan pembebasan masyarakat yang amat penting dan kemuncak perjuangan kelas pada awal abad ke-20. Filem “Oktober ”arahan Eisenstein yang dibikin bersempena dengan ulangtahun ke-10 Revolusi Oktober, merupakan sebuah filem klasik yang mempersembahkan peristiwa revolusi yang penting ini secara visual. Eisenstein secara sedarnya menggunakan filem “Oktober” sebagai makmal untuk eksperimen “montaj intelek”, sejenis penyuntingan yang abstrak di mana hubungan antara babak filem adalah secara konsep, bukannya secara visual atau emosi. Cara persembahan sebuah filem tentang revolusi itu pun amat revolusioner sekali. Di samping itu, ramai watak penting dalam file mini dimainkan oleh pelakon bukan profesional, misalnya watak Lenin dimainkan oleh seorang pekerja kilang simen.

Eisenstein_October_01_W.jpg
Filem “Oktober”, 1928

Namun, agak malangnya adalah Revolusi Rusia selepas 10 tahun telah mengalami pelbagai masalah, dan Joseph Stalin dengan golongan birokrat yang diwakilinya telah berjaya  menyingkirkan pemimpin revolusioner yang lain, khususnya Leon Trotsky, pada masa filem “Oktober” dalam pembikinan. Kepimpinan birokrat Stalinis telah memaksa Eisenstein untuk menyunting keluar satu pertiga adegan daripada filem “Oktober” yang menyentuh tentang Trotsky. Oleh itu, kemunculan Trotsky dalam filem sejarah yang penting ini adalah amat minimum.

Terdapat juga sebuah filem Hollywood yang mengisahkan Revolusi Rusia, iaitu “Reds” (diterbitkan pada tahun 1981) yang diarahkan dan dibintangi oleh Warren Beatty. Filem ini mengisahkan tentang kehidupan John Reed, seorang aktivis sosialis dan wartawan dari Amerika Syarikat, yang telah menulis buku berjudul “Ten Days That Shook the World”, salah satu catatan penting tentang Revolusi Rusia. Filem ini telah memenangi 3 anugerah Akademi pada tahun 1982, iaitu Pengarah Terbaik (Warren Beatty), Pelakon Wanita Sokongan Terbaik (Maureen Stapleton  yang memainkan watak aktivis anarkis Emma Goldman) dan Sinematografi Terbaik (Vittorio Storaro).

Unsur-unsur subversif di Hollywood

B004DAT01I_moderntimes_S00._RI_SX940_.jpg
Modern Times, 1936

Charlie Chaplin, seorang pelawak, pelakon dan pengarah filem yang muncul pada era filem senyap, pernah menghasilkan filem yang mengkritik sistem kapitalis, dan yang terkenal ialah “Modern Times” (1936), sebuah filem senyap komedi Hollywood yang menggambarkan kesusahan yang dialami ramai orang semasa Zaman Meleset yang hebat pada tahun 1930-an akibat daripada krisis ekonomi kapitalis. Oleh sebab pembikinan filem yang mengkritik realiti masyarakat, Charlie Chaplin telah dianggap sebagai “penyokong komunis” oleh Kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1950-an dan dimasukkan dalam “Senarai Hitam Hollywood”.

MV5BYmRlMGRiODEtMGNmMC00ZWQ4LWE2OWEtMGVkMmE1YTUzODYwXkEyXkFqcGdeQXVyMTE2NzA0Ng@@._V1_.jpg
Salt of the Earth, 1954

Sebut tentang “Senarai Hitam Hollywood”, adanya sebuah filem drama berjudul “Salt of the Earth” yang diterbitkan pada tahun 1954, dihasilkan oleh pembikin filem yang disenaraihitamkan oleh kerajaan Amerika Syarikat dan tauke besar Hollywood, kerana pendirian politik mereka yang berpihak pada golongan pekerja yang tertindas, sesuatu yang dianggap amat subversif bagi pemerintah Amerika Syarikat.

Pengarah filem “Salt of the Earth”, Herbert Biberman, antara mereka yang terawal disenaraihitamkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat dengan tuduhan terlibat dengan aktiviti komunis. Penulis skrip untuk filem ini, Michael Wilson, dan penerbit filem ini, Paul Jarrico, turut disenaraihitamkan! Cerita filem “Salt of the Earth” berasaskan perjuangan pekerja lombong di Grant County, New Mexico, pada tahun 1951, melawan syarikat Empire Zinc Company. Pengarah filem telah menggunakan pekerja lombong yang sebenar dan ahli keluarga mereka sebagai sebahagian pelakon dalam filem ini. Filem ini amat unik kerana merupakan filem yang paling awal menceritakan sesuatu perjuangan melalui sudut pandangan sosial dan politik feminis.

Walaupun Hollywood selama ini sentiasa menghasilkan filem arus perdana yang mencerminkan ideologi dominasi dalam sistem kapitalis, namun tidak kurang juga filem yang mempunyai unsur “subversif” yang mengkritik sistem kapitalis.

matrix-neo-bullets.jpg
The Matrix, 1999

Misalnya, filem “The Matrix” (1999) yang diarahkan oleh adik-beradik Wachowski. Menurut Yanis Varoufakis, seorang ahli ekonomi Greece yang berhaluan kiri, “Filem The Matrix, bukannya sebuah filem fiksyen sains yang futuristik, tetapi ia adalah dokumentari tentang dunia yang kita hidup dalamnya.” Dalam filem ini, “Matrix” itu boleh disamakan dengan ideologi kelas pemerintah yang mengekalkan kesedaran rakyat biasa pada tahap yang seolah-olah dia hidup bebas, tetapi sebenarnya hanya merupakan bateri yang membekalkan tenaga kepada sistem mesin itu berfungsi. Ini adalah metafora kepada masyarakat kapitalis di mana pekerja diperas titisan peluhnya dan ditindas teruk, tetapi dilumpuhkan secara intelek ataupun dibodohkan oleh media dan juga segala pengaruh ideologi golongan pemerintah yang wujud di sekelilingnya. Watak utama dalam filem The Matrix melawan untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman ideologi kelas pemerintah ini. Suatu metafora yang subversif kan?

matrix-batteries-timothyjwelsh.png
Adegan bateri daripada manusia dalam filem The Matrix

Adik-beradik Wachowski juga mengarahkan satu lagi filem yang membawa mesej subversif secara terang-terangan, iaitu “V for Vendetta” (2005). “V for Vendetta” walaupun telah dicairkan sifat subversifnya berbanding dengan karya novel grafik asal oleh Alan Moore, tetapi masih mempunyai banyak mesej dan adegan simbolik yang menyampaikan pandangan politik anarkis. Salah satu slogan dalam filem ini adalah “rakyat tidak patut takut pada kerajaan mereka. Kerajaan patut takut pada rakyatnya!” Bunyinya agak subversif kan?

V-for-Vendetta-1280.jpg
V for Vendetta, 2005

Filem Eropah yang lagi subversif

Gelombang kebangkitan anak muda yang dipengaruhi oleh pemikiran kiri yang radikal pada tahun 1960-an di Eropah, turut memperkayakan seni filem dengan pelbagai jenis filem yang subversif.

Jean Luc Godard, perintis gerakan filem “Gelombang Baru Perancis” (La Nouvelle Vague), telah banyak dipengaruhi oleh pemikiran kiri. Pada tahun 1967 sahaja, Godard menghasilkan 3 buah filem yang menyatakan kritikannya terhadap sistem kapitalis: 1. Filem yang bertajuk “Dua atau Tiga Perkara Aku Tahu Tentang Dia” (Deux ou Trois choses que je sais d’elle), menggambarkan bagaimana hidup seorang wanita di Paris dalam sebuah masyarakat yang dipenuhi dengan konsumerisme; 2. Filem “Perempuan China” (La Chinoise) mengisahkan kehidupan sekumpulan penyokong muda Parti Komunis Perancis yang sangat radikal, di mana mereka akan menghafal petikan kata Mao Zedong dan mengkritik imperialis Amerika Syarikat; 3. Filem “Week-end” (1967) mengkritik dengan sepenuhnya terhadap seluruh sistem masyarakat kapitalis Perancis pada masa itu.

la-chinoise.jpg
La Chinoise, 1967

Situationist International yang muncul pada akhir tahun 1950-an hingga awal tahun 1970-an, telah menghimpunkan ramai golongan intelek Marxis yang anti-autoritarian dan artis avant-garde di Eropah. Filem bertajuk “Bolehkah Dialektik Memecahkan Bata?” (La dialectique peut-elle casser des briques?, diterbitkan 1973) merupakan sebuah filem Situationist yang menggantikan sepenuhnya dialog sebuah filem Kung Fu Hong Kong dengan dialog yang bersifat politikal. Teknik yang mencipta semula sebuah karya yang sedia ada dengan cara yang subversif ini digelarkan “détournement”. Konsep membuat filem ini adalah untuk mengubahsuai sebuah filem yang “bersifat pertunjukan” (spectacular) kepada kritikan radikal terhadap hegemoni budaya dan menjadikannya alat untuk menyebarkan idea-idea revolusioner yang subversif.

Can-Dialectics-Break-Bricks.jpg

candialecticsbreakbricks2.jpg
Bolehkah Dialektik Memecahkan Bata?, 1973

Ken Loach

Pengarah filem Inggeris, Ken Loach, telah menghasilkan banyak filem yang membawa kritikan terhadap isu-isu masyarakat dan juga idea-idea sosialis. Beliau pernah menghasilkan beberapa filem yang berkaitan dengan perjuangan masyarakat.

Ken Loach sendiri terlibat dalam pelbagai aktivisme sosial, seperti kempen memboikot Israel untuk menyokong Palestin. Ken Loach pernah menyertai beberapa kumpulan politik kiri. Beliau menyokong Jeremy Corbyn untuk menjadi pemimpin Parti Buruh UK.

Antara filem yang terkenal Ken Loach adalah:

  • Land and Freedom (1995), mengisahkan pengalaman seorang ahli parti komunis Britain yang berjuang bersama golongan Republikan dalam Perang Saudara Sepanyol menentang golongan Nasionalis Franco;
  • Bread and Roses (2000), mengisahkan perjuangan pekerja pembersihan di Los Angeles untuk layanan kerja yang lebih baik dan hak untuk menubuhkan kesatuan sekerj;
  • The Navigators (2001), menceritakan tentang reaksi pekerja landasan keretapi terhadap penswastaan penyelenggaraan landasan keretapi dan kesan-kesannya.
  • The Wind That Shakes the Barley (2006), berkenaan dengan perjuangan Tentera Republikan Ireland menentang Britain untuk kemerdekaan Ireland.
site_28_rand_1448126766_wind_that_shakes_the_barley_maxed.jpg
The Wind That Shakes the Barley, 2006

Michael Moore

Di Amerika Syarikat, pembikin filem dokumentari Michael Moore pula menghasilkan banyak filem dokumentari yang mengkritik tentang sistem kapitalis dan dasar imperialis Amerika Syarikat. Filem Moore dipersembahkan dalam bentuk komedi, di mana penonton akan terasa ketawa walaupun isu yang dibincangkannya itu agak serius.

Antara filem terkenal Michael Moore adalah:

  • Fahrenheit 9/11 (2004), memberi pandangan kritis terhadap dasar yang diamalkan oleh George W. Bush semasa menjadi Presiden Amerika Syarikat dan Perang terhadap Keganasan (War on Terror) yang diterajui Bush.
  • Sicko (2007), mengkritik terhadap sistem insurans kesihatan dan industry farmaseutikal di Amerika Syarikat, dengan membandingkan sistem kesihatan Amerika Syarikat yang bermotifkan keuntungan dengan sistem kesihatan universal bukan untuk keuntungan di Kanada, UK, Perancis dan Cuba.
  • Capitalism: A Love Story (2009), mendalami kritikan terhadap sistem ekonomi kapitalis di Amerika Syarikat dengan meninjau bagaimana Wall Street berfungsi sebagai kasino, pengusiran terhadap peminjam wang yang tidak mampu membayar balik hutang perumahan, masalah gaji rendah untuk ramai pekerja, pengaruh bank pelaburan terhadap pembuat dasar di Washington dan sebagainya.
  • Where to Invade Next (2015), Moore menjelajah ke beberapa buah negara untuk meninjau model alternatif yang mampu menyelesaikan masalah sosial di Amerika Syarikat.
michael-moore-save-our-ceos
Michael Moore

Filem sebagai pemangkin perjuangan

Kontradiksi masyarakat yang menjelma sebagai ketidakadilan dan penindasan sentiasa wujud selagi masyarakat kita masih disusun mengikut kelas sosial. Seni filem boleh menjadi saluran untuk kita mengenali dunia nyata kita dan pemangkin untuk mencetuskan idea-idea yang radikal untuk perubahan. Filem yang membawa pandangan dunia yang kritikal dan radikal boleh membantu dalam membentuk perspektif kita untuk pembebasan masyarakat.

Filem-filem yang disebut dalam tulisan ini hanya sebahagian kecil daripada banyak lagi filem yang berkaitan dengan politik kiri, perjuangan kelas dan pembebasan masyarakat. Akhbar Sosialis akan berkongsi dengan pembaca lebih banyak tentang filem sebegini pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *